Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 229: PERBEZAAN IBADAT BERPUASA DALAM ISLAM DAN PELBAGAI AGAMA

PERBEZAAN IBADAT BERPUASA DALAM ISLAM DAN PELBAGAI AGAMA

 

SOALAN

Pada tahun-tahun lepas, beberapa portal berita bebas dalam negara mengeluarkan artikel berkenaan puasa dalam Islam dan pelbagai agama. Sebahagian perbincangan dalam artikel tersebut menunjukkan persamaan antara ibadat berpuasa dalam Islam dengan ibadat berpuasa agama-agama lain. Soalan saya, adakah ibadah berpuasa dalam Islam mempunyai kaitan sejarah dengan ibadah berpuasa agama-agama terdahulu? Bagaimanakah pula pandangan Islam terhadap ibadat berpuasa agama Yahudi, Kristian, Hindu dan Budha?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Puasa merupakan suatu ibadat yang mempunyai sejarah pengamalan daripada umat agama-agama samawi sebelum Nabi SAW. Puasa juga merupakan suatu ibadat yang sejagat merentas sempadan geografi dan agama. Namun demikian, dari sudut spiritual yakni maksud dan tujuan ibadat berpuasa itu sendiri mempunyai perbezaan yang mendasar berasaskan kepercayaan masing-masinig. Ibadat berpuasa dalam setiap agama adalah berbeza daripada aspek spiritual, praktis fizikal dan sejarah ritual. Ibadat berpuasa dalam Islam khususnya di bulan Ramadan merupakan satu kewajipan kepada setiap muslim yang memenuhi syara-syaratnya. Ia juga merupakan salah satu rukun Islam yang menyebabkan sesiapa yang mempertikaikan amalan ibadah ini secara sengaja boleh dipertikaikan keislamannya

 

HURAIAN JAWAPAN

 

Pendahuluan

Puasa merupakan suatu ibadat yang mempunyai sejarah pengamalan daripada umat agama-agama samawi sebelum Nabi SAW. Allah SWT menjelaskan kefarduan ibadat berpuasa dalam ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Surah Al-Baqarah (183)

Ayat di atas memperlihatkan penetapan ibadat puasa dalam kalangan umat pelbagai agama samawi yang beriktikad akan keesaan Allah SWT. [1] Namun begitu, kaifiat ibadat berpuasa yang tepat bagi umat pelbagai agama samawi terdahulu tidak diketahui melainkan Allah SWT. Hal ini kerana tidak ada nas yang sahih daripada Rasulullah SAW yang menjelaskan kaedah ibadat berpuasa tersebut.[2]

Begitu juga kefarduan ibadat berpuasa umat pelbagai agama samawi terdahulu telah ditukar dan diubah oleh Ahli Kitab. Kadang kala puasa ini berlaku dalam waktu musim panas atau sejuk yang melampau, maka Ahli Kitab mengubah ke waktu musim bunga dan menambah sehingga bilangan ke-50 hari sebagai penutup kafarah dosa.[3]

Dalam pada itu, berpuasa juga diamalkan oleh  kebanyakan agama dan kepercayaan lain termasuk penyembah berhala seperti agama Mesir kuno, agama Greek, Rom dan Hindu.[4]  Berpuasa dalam setiap agama adalah berbeza daripada aspek spiritual, praktis fizikal dan sejarah ritual. Antara matlamat  berpuasa dalam agama-agama lain termasuklah bertujuan untuk pengampunan dosa, pengorbanan, penyucian diri, pemfokusan dan mencapai maksud-maksud tertentu dalam agama seperti Nirvana dan Moksha. 

Oleh yang demikian, berikut adalah pandangan Islam terhadap ibadah berpuasa agama Yahudi, Kristian, Hindu dan Budha:

1. Agama Yahudi: 

Terdapat ibadat berpuasa dalam agama Yahudi yang dikenali sebagai Yom Kippur iaitu Hari Penebusan Dosa atau Sabbath bagi semua Sabbath tahunan (Sabbath of Sabbaths). Istilah Yom Kippur mengandungi dua perkataan iaitu Yom dikenali sebagai yawm, perkataan Kippur pula sebagai kafarah. Hari Yom Kippur adalah hari untuk berdoa, beribadat, berpuasa dan menebus segala dosa. Yom Kippur disambut pada setiap tahun pada hari kesepuluh dalam bulan ketujuh Yahudi iaitu Bulan Tishrei. Pada hari suci agama Yahudi ini mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang mesti dipatuhi.[5] Golongan penganut agama Yahudi akan berpuasa selama 25 jam bermula daripada tenggelamnya matahari ke tenggelamnya matahari pada keesokannya.

Sedangkan menurut Islam, Yom Kippur merujuk kepada hari di mana Allah SWT menerima taubat semua penganut agama Yahudi yang telah mengikuti Samiri dalam menyembah patung lembu yang dibentuknya. Ini berlaku setelah Nabi Musa AS menerima 10 Perintah (Ten Commandments) daripada Allah SWT di Gunung Sinai. Dalam Taurat yang wujud ketika hari ini menyatakan pujian ke atas ibadah berpuasa dan golongan orang yang berpuasa. Begitu juga telah sabit bahawa Nabi Musa AS pernah berpuasa 40 hari. Penganut agama Yahudi pada hari ini berpuasa selama seminggu untuk mengingati peristiwa keruntuhan dan rampasan keatas. Begitu juga berpuasa sehari pada bulan Ab (bulan Yahudi yang kesebelas).[6]

2. Agama Kristian: 

Terdapat penetapan Puasa Lent dalam kalangan penganut agama Kristian. Lent berasal daripada Inggeris lama yang bermaksud musim bunga. Lent disambut bersempena dengan 40 hari Jesus Lent yang mengasingkan diri di padang pasir dan diuji dengan pelbagai godaan oleh Syaitan. 40 hari ini bermula daripada Ash Wednesday (Hari Abu Rabu di mana diletakkan abu berbentuk salib di dahi penganut agama Kristian) sehingga ke hari keempat puluh, pada sambutan Easter Sunday, tidak termasuk hari Ahad.

Pada waktu Lent, penganut agama Kristian tidak memakan daging atau hanya memakan sekali sahaja sehari. Mereka juga tidak meminum arak atau berhibur dengan komputer atau telefon bimbit kerana menahan diri dalam ibadat berpuasa Lent. Mereka diminta menyembunyikan bahawa mereka sedang berpuasa dengan tidak bermuka muram dan merapikan rambut.[7] Maklumat lengkap berkenaan kaedah dan kandungan puasa juga berbeza-beza menurut pelbagai mazhab dalam agama Kristian.

Manakala menurut Islam, terdapat dalam kitab Injil yang memuji ibadat puasa dan menganggapnya sebagai ibadat yang dapat mencegah riyak dan untuk menzahirkan kesedihan. Antara puasa yang paling masyhur dan tertua adalah puasa besar yang dilakukan sebelum Perayaan Easter (Pesach atau Passover). Dikatakan bahawa puasa inilah yang telah dilaksanakan oleh Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan para pengikut setia Nabi Isa AS yang dikenali sebagai Hawariyyun. Kemudiannya para ketua penganut agama Kristian telah meletakkan pelbagai jenis puasa yang lain menurut gereja masing-masing.[8]

3. Agama Hindu: 

Penganut agama Hindu didapati berpuasa dengan tidak makan apa-apa atau minum air sahaja pada beberapa perayaan seperti Shivaratri, Saraswati Puja dan Durga Puja (Navaratri).[9] Begitu juga mereka akan berpuasa pada sambutan Ekadasi dan Purnima (bulan mengambang penuh) menurut kaedah dan aliran yang mereka ikuti. Berpuasa bagi mereka  sebagai cara untuk membersihkan diri, bermeditasi dan mendapatkan fokus dalam mengamalkan yoga.

Walaupun demikian,  puasa dalam agama Hindu ini telah melangkaui batasan akidah Islam kerana melakukan perbuatan syirik terhadap Allah SWT dan menjurus kepada lembah kerosakan. Oleh itu, meninggalkan segala bentuk ritual ibadah agama lain merupakan perkara yang wajib bagi umat Islam sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَالُواْ لَنَآ أَعۡمَٰلُنَا وَلَكُمۡ أَعۡمَٰلُكُمۡ سَلَٰمٌ عَلَيۡكُمۡ لَا نَبۡتَغِي ٱلۡجَٰهِلِينَ

Maksudnya: Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil.

Surah Al-Qasas (55)

Ayat diatas menjelaskan bahawa umat Islam mempunyai amal soleh tersendiri yang diterima untuk dilaksanakan. Bagi umat agama-agama lain pula, mereka mempunyai amalan batil yang sepatutnya ditinggalkan. Perkara ini menunjukkan bahawa setiap amalan mempunyai perihal kesibukan dalam urusan masing-masing.[10]

4. Agama Budha: 

Penganut agama Budha juga berpuasa dengan tidak memakan makanan yang keras. Sebaliknya hanya mengambil makanan yang lembut dan meminum air. Ibadat berpuasa dilakukan pada perayaan Budhisme tertentu atau pada waktu bulan mengambang penuh.  Berpuasa dilakukan untuk menyucikan diri dan melawan nafsu sesuai dengan Empat Kebenaran Utama dalam Ajaran Budha iaitu hidup penuh dengan kesengsaraan, sebab untuk kesengsaraan, keperluan menamatkan kesengsaraan dan lapan cara menamatkan kesengsaraan melalui pengertian, fikiran, ucapan, tindakan, penghidupan, usaha, perhatian serta konsentrasi yang benar.[11]

Maka jelas  puasa dalam agama Budha ini mempunyai unsur-unsur adat keagamaan yang bercanggah dengan agama Islam. Oleh itu, umat Islam dilarang untuk mencampuradukkan ibadat berpuasa kerana Allah SWT dengan pelbagai rupa kebudayaan agama lain. Allah SWT berfirman:

 وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌۭ مَّا عَبَدتُّمۡ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ

Maksudnya: Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.

Surah Al-Kafirun (4-5)

Ayat diatas menghuraikan bahawa terdapat perbezaan yang ketara dalam ibadat umat Islam dengan umat agama-agama lain. Perbezaan ini jelas menerusi kepada siapa yang ditujukan ibadat dan bagaimana cara beribadat. Umat Islam melakukan ibadat semata-mata kerana Allah SWT, sedangkan umat agama-agama lain tidak dianggap melakukan ibadat yang sebenar kerana mempunyai unsur syirik beserta kelalaian terhadap Allah SWT.[12]

 

Penutup

Kesimpulan, puasa dari sudut fizikal iaitu menahan makan dan minum adalah satu ibadah yang sejagat merentas sempadan geografi dan agama.  Namun demikian, dari sudut spiritual yakni maksud dan tujuan ibadat berpuasa itu sendiri mempunyai perbezaan yang mendasar berasaskan kepercayaan masing-masinig. Ibadat berpuasa dalam setiap agama adalah berbeza daripada aspek spiritual, praktis fizikal dan sejarah ritual. Ibadat berpuasa dalam Islam khususnya di bulan Ramadan merupakan satu kewajipan kepada setiap muslim yang memenuhi syara-syaratnya. Ia juga merupakan salah satu rukun Islam yang menyebabkan sesiapa yang mempertikaikan amalan ibadah ini secara sengaja boleh dipertikaikan keislamannya.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Zuḥaylī, Wahbah, Al-Tafsīr al-Munīr, (Damsyik: Dār al-Fikr, 1998), 2: 128-129. Teks asal:

إذ يكفي في فهم الآية أن يكون الله كتب صوما ما على الذين من قبلنا، وهذا مسلّم به عند أهل الأديان.

[2] Muḥammad al-Sayyid Tantawi, al-Tafsir al-Wasit Li al-Quran al-Karim, (Kaherah: Dar al-Nahdah al-Misriyyah), 1: 380. Teks asal:

أن عبادة الصوم كانت مكتوبة ومفروضة على الأمم السابقة، ولكن بكيفية لا يعلمها إلا الله، إذ لم يرد نص صحيح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم يبين لنا فيه كيف كان صيام الأمم السابقة على الأمة الإسلامية.

[3] `Ali al-Sabuni, Muhammad, Rawa`i al-Bayan Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Qur’an, (Beirut: Muasasah Manahil Irfan, 1980), 1:97. Teks asal:

أشارت الآية الكريمة إلى أن الصوم عبادة قديمة، فرضها الله على الأمم قبلنا، ولكن أهل الكتاب غيّروا وبدّلوا في هذه الفريضة، وقد كان يتفق الحر الشديد والبرد الشديد، فحوّلوه إلى الربيع وزادوا في عدده حتى جعلوه خمسين يوما كفارة لذلك

[4] Al-Zuḥaylī, Wahbah, Al-Tafsīr al-Munīr, (Damsyik: Dār al-Fikr, 1998), 2: 128-129. Teks asal:

فمن المعروف أن الصوم مشروع في جميع الملل، حتى الوثنية، فهو معروف عند قدماء المصريين واليونان والرومان والهنود.

[5] Torah, Leviticus, 16:29-31. Teks asal:

And this shall be a statute for ever unto you: that in the seventh  month, on the tenth day of the month, ye shall afflict your souls, and  do no work at all, whether it be one of your own country, or a stranger  that sojourneth among you: For on that day shall the priest make  an atonement for you, to cleanse you, that ye may be clean from all  your sins before the LORD. It shall be a sabbath of rest unto you, and ye shall afflict your souls, by a statute for ever.

[6] Al-Zuḥaylī, Wahbah. Al-Tafsīr al-Munīr. Damsyik: Dār al-Fikr, 1998. 2: 129. Teks asal:

وفي التوراة الحالية مدح الصيام والصائمين، وثبت أن موسى عليه السلام صام أربعين يوما، واليهود في هذه الأزمنة يصومون أسبوعا تذكارا لخراب أورشليم وأخذها، ويصومون يوما من شهر آب.

[7] Bible, Matthew, 6:16-18. Teks asal:

When you fast, do not look somber as the hypocrites do, for they disfigure their faces to show men they are fasting. I tell you the truth, they have received their reward in full. But when you fast, put oil on your head and wash your face, so that it will not be obvious to men that you are fasting, but only to your Father, who is unseen; and your Father, who sees what is done in secret, will reward you.

[8] Al-Zuḥaylī, Wahbah. Al-Tafsīr al-Munīr. Damsyik: Dār al-Fikr, 1998. 2: 129. Teks asal:

وكذلك الأناجيل الحالية تمدح الصيام وتعتبره عبادة كالنّهي عن الرّياء وإظهار الكآبة فيه، وأشهر صوم النصارى وأقدمه الصوم الكبير الذي قبل عيد الفصح، وهو الذي صامه موسى وعيسى والحواريون، ثم وضع رؤساء الكنيسة أنواعا أخرى من الصيام

[9] Sri Swami Sivananda. Hindu fasts and festivals. 8th Edition. Distt. Tehri-Garhwal, Uttar Pradesh, Himalayas, India: Divine Life Society, 1983

[10] Al-Sya’rawi, Muhammad Mutawalli, Tafsir al-Sya’rawi, (Mesir: Matobi’ Akhbar al-Yaum, t.th), 18: 10963. Teks asal:

لنا أعمالنا الخيِّرة التي يجب أنْ نُقبل عليها، ولكم أعمالكم الباطلة التي ينبغي أنْ تُترك، فكلٌّ مِنَّا له شَأْن يشغله

[11] Fisher, Mary Pat. Living religions: an encyclopaedia of the world's faiths. London [u.a.]: Tauris, 1997, 136-137. Teks asal:

  1. To live is to suffer.
  2. Suffering comes from desire.
  • To end suffering end desire.
  1. To end desire is by following noble eightfold path: Right Understanding or Perfect Vision, Right Resolve or Perfect Emotion, Right Speech or Perfect Speech, Right Action or Perfect Action, Right Livelihood or Perfect Livelihood, Right Effort or Perfect Effort, Right Mindfulness or Perfect Awareness Right Meditation or Perfect. Samadhi

[12] Al-Maraghi, Muhammad Mustafa, Tafsir al-Maraghi, (Mesir: Mustafa Bab Al-Halabi Wa Auladuhu, 1946), 30: 256. Teks asal:

الاختلاف التامّ فى المعبود، والاختلاف البيّن فى العبادة فلا معبودنا واحد، ولا عبادتنا واحدة، لأن معبودى منزه عن الندّ والنظير، متعال عن الظهور فى شخص معين، وعن المحاباة لشعب أو واحد بعينه، والذي تعبدونه أنتم على خلاف ذلك .كما أن عبادتى خالصة لله وحده، وعبادتكم مشوبة بالشرك، مصحوبة بالغفلة عن الله تعالى، فلا تسمى على الحقيقة عبادة