Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 238: ADAKAH WANITA HAID BOLEH MEMBACA AL-QURAN KETIKA BULAN RAMADAN KERANA BULAN YANG DITURUNKAN AL-QURAN

ADAKAH WANITA HAID BOLEH MEMBACA AL QURAN KETIKA BULAN RAMADAN KERANA BULAN YANG DITURUNKAN AL QURAN

 

Soalan

Assalamualaikum, saya nak kepastian tentang kenyataan yang menyebut bahawa bulan Ramadan merupakan bulan membaca al-Quran, maka wanita yang kedatangan haid pun boleh membaca al-Quran. Mohon pencerahan Pejabat Mufti Wilayah. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Wanita haid dilarang dan haram membaca al-Quran walaupun dalam bulan Ramadan bagi menjaga dan memuliakan al-Quran itu sendiri, demikian juga membaca nas al-Quran yang terdapat dalam buku-buku agama dengan melafazkannya. Namun wanita haid dibenarkan membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut.

Walau bagaimanapun, wanita haid dibenarkan  membaca potongan ayat al-Quran dengan niat zikir seperti membaca al-Ma’thurat, hizib dan seumpamanya. Begitu juga, wanita haid yang berkeperluan mengulang hafalannya agar tidak lupa disebabkan waktu haid yang panjang dengan syarat niat berzikir berdasarkan pandangan sebahagian ulama mutakhir ulama mutakhir Syafi’iyyah.

Meskipun wanita haid terhalang daripada membaca al-Quran, namun mereka masih lagi boleh melaksanakan ibadah-ibadah lain yang bersesuaian sepanjang bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala yang berganda daripada-Nya. Antara amalan yang disyorkan bagi wanita haid dan nifas seperti memperbanyakkan doa, berzikir, sedekah memberi makan kepada orang berpuasa serta beriktikaf di ruang solat rumahnya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang diturunkan al-Quran dan dianjurkan untuk memperbanyakkan amal ibadah, bahkan Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang  berganda. Peluang ini perlu direbut oleh umat Islam termasuklah wanita haid. Walaupun golongan wanita yang mengalami haid dan nifas dilarang untuk menunaikan ibadah puasa mahupun membaca al-Quran, namun terdapat pelbagai ibadah lain yang boleh mereka lakukan seperti zikir, doa, sedekah dan sebagainya.

Kenyataan yang tular baru-baru ini berkenaan dengan membenarkan wanita haid membaca al-Quran dalam bulan Ramadan kerana bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran adalah bercanggah dengan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkannya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar R.A berkata, sabda Nabi SAW:

لَا يَقْرَأُ الْجُنُبُ وَلَا الْحَائِضُ شَيْئًا مِنْ القرآن

Maksudnya: Tidak dibenarkan seseorang yang berjunub dan haid membaca sesuatu daripada al-Quran

Riwayat Ibn Majah (639)

Menurut jumhur fuqaha dari mazhab Hanafi, al-Syafi’i dan Hanbali, haram wanita haid membaca al-Quran berdasarkan hadis dari Nabi SAW[1] seperti yang dinyatakan di atas.

Menurut Ibn Qassim al-Ghazzi perkara yang diharamkan ke atas Wanita haid ada lapan perkara antaranya adalah membaca al-Quran. Lafaznya seperti berikut:

ويحرم على الحيض ثمانية أشياء أحدها: (الصلاة)، فرضا أو نفلا؛ وكذا سجدة التلاوة والشكر. (و) الثاني (الصوم)، فرضا أو نفلا؛ (و) الثالث (قراءة القرآن).

Maksudnya: Haram ke atas wanita haid lapan perkara: Pertama, solat fardu atau sunat, begitu juga sujud tilawah dan syukur. Kedua: Puasa fardu atau sunat. Ketiga membaca al-Quran.[2]

Bagi pandangan yang mengharuskannya, antara sebab-sebab wanita haid boleh membaca al-Quran adalah kerana takut terlupa hafalannya disebabkan waktu haid yang panjang. Selain itu, faktor seorang guru yang mengajar al-Quran dibenarkan membacanya ketika haid, ini kerana dikhuatiri akan terjejas pekerjaannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam karyanya:

اخْتَلَفُوا فِي عِلَّتِهِ عَلَى وَجْهَيْنِ أَحَدُهُمَا أَنَّهَا تَخَافُ النِّسْيَانَ لِطُولِ الزَّمَانِ بِخِلَافِ الْجُنُبِ وَالثَّانِي أَنَّهَا قَدْ تَكُونُ مُعَلَّمَةً فَيُؤَدِّي إلَى انْقِطَاعِ حِرْفَتِهَا

Maksudnya: Perbezaan pada illah (sebab) menurut pandangan yang mengharuskan wanita haid membaca al-Quran ada dua pendapat, pertama: Disebabkan kerana takut lupa hafalannya kerana tempoh yang panjang, beza dengan sebab berjunub. Kedua: Disebabkan dia seorang guru al-Quran sekiranya tidak membaca al-Quran akan mengganggu proses mengajarnya.[3]

Sementara itu, sebahagian ulama mutakhir Syafi’iyyah berpendapat harus membaca seluruh al-Quran  dengan niat zikir bukan tilawah (qiraah)[4], namun ini bukan pandangan yang muktamad di dalam mazhab. Menurut Dr. Muhammad Zuhaili, haram wanita yang haid itu membaca al-Quran berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.Anhuma. Namun, harus sekiranya membaca al-Quran dengan niat zikir seperti mana harus membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut serta harus juga mereka melihat ayat al-Quran. Sebahagian ulama kontemporari mengeluarkan fatwa harus membaca al-Quran kerana darurat untuk mengajar dan belajar di sekolah dan universiti.[5]

Jelas sebagaimana yang disebutkan di atas jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa wanita haid haram membaca al-Quran, larangan ini juga tertakluk ketika dalam bulan Ramadan. Pun begitu, meskipun wanita haid terhalang membaca al-Quran, namun mereka masih lagi boleh melaksanakan ibadah-ibadah lain yang bersesuaian sepanjang bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala. Antara amalan yang disyorkan seperti berikut:

  1. Memperbanyakkan doa dan zikir walaupun zikir dari petikan al-Quran namun hendaklah diniatkan semata-mata untuk berzikir atau doa seperti membaca Ma’thurat, hizib dan seumpamanya[6].
  2. Dibenarkan bagi wanita haid yang menghafal al-Quran dan ingin mengulang hafalannya agar tidak lupa dengan bertaqlid kepada pandangan sebahagian ulama mutakhir Syafi’iyyah yang mengharuskan bacaan seluruh al-Quran dengan niat zikir bukan tilawah[7].
  3. Memperbanyak sedekah seperti memberi makan untuk berbuka puasa yang mana ganjaran pahalanya diumpamakan seperti orang yang berpuasa[8].
  4. Para wanita haid juga boleh beriktikaf di ruang solat rumahnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan pandangan mazhab Maliki[9] dan Hanafi[10].

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Wizarah al-Auqaf al-Kuwaitiyyah, al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil, 1427-1404) Jld. 18 Hlm. 321

فَذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ - الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ - إِلَى حُرْمَةِ قِرَاءَتِهَا لِلْقُرْآنِ لِقَوْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

[2] Muhammad bin Qassim syamsuddin al-Ghazzi, Fath al-Qarib al-Mujib. (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1425) Hlm. 63

[3] Ibid. 2/356

[4] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 1 Hlm. 217

أَمَّا إذَا قَرَأَ شَيْئًا مِنْهُ لَا عَلَى قَصْدِ الْقُرْآنِ فَيَجُوزُ، وَلَوْ عَبَّرَ الْمُصَنِّفُ بِهَا هُنَا كَانَ أَوْلَى لِيَشْمَلَ مَا قَدَّرْتُهُ، بَلْ أَفْتَى شَيْخِي بِأَنَّهُ لَوْ قَرَأَ الْقُرْآنَ جَمِيعَهُ لَا بِقَصْدِ الْقُرْآنِ جَازَ.

[5] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Damsyik: Dar al-Qalam 2011) Jld. 1 Hlm. 117

يحرم علي الحائض قراءة القران، لما رواه ابن عمر رضي الله عنهما: أن رسول الله صلي الله عليه وسلم قال: " لا يقرأ الجنب ولا الحائض شيئا من القران" أما ان قالت ذلك على سبيل الذكر فيجوز، كما يجوز لها أن يمر القران على قلبها بدون قراءة، ويجوز لها النظر فيه، وأفتى المعاصرون بجواز قراءتها لضرورة التعلم والتعليم في المدارس والجامعات.

[6]  Sa'id Ba'isyan al-Hadhrami, Syarh al-Muqadimmah al-Hadhramiyyah. (Beirut: Dar al-Minhaj, 2004) Hlm. 130

فإن لم تقصد القراءة: بأن قصدت الذكر أو المواعظ أو القصص أو التحصن ولم تقصد معها القراءة لم يحرم،

[7] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 1 Hlm. 217

أَمَّا إذَا قَرَأَ شَيْئًا مِنْهُ لَا عَلَى قَصْدِ الْقُرْآنِ فَيَجُوزُ، وَلَوْ عَبَّرَ الْمُصَنِّفُ بِهَا هُنَا كَانَ أَوْلَى لِيَشْمَلَ مَا قَدَّرْتُهُ، بَلْ أَفْتَى شَيْخِي بِأَنَّهُ لَوْ قَرَأَ الْقُرْآنَ جَمِيعَهُ لَا بِقَصْدِ الْقُرْآنِ جَازَ. مغنى المحتاج

[8] Hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

(Riwayat Al-Tirmidzi)

[9] Muhammad bin Abdul Baqi Al-Zarkani, Syarh Al-Zarkani ‘Ala Muwatta’ Imam al-Malik. (Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniah, 2003) Jld. 2 Hlm. 306

وَقَوْلٍ لِلْمَالِكِيَّةِ: يَجُوزُ لِلرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ لِأَنَّ التَّطَوُّعَ فِي الْبُيُوتِ أَفْضَلُ.

[10] Abu Ma’ali Burhanuddin, Al-Muhit al-Burhani al Fiqh al-Nu’mani Fiqh Imam Abi Hanifah. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyya) Jld. 2 Hlm. 405

والأفضل في حق المرأة الاعتكاف في مسجد بيتها يريد به الموضع المعد للصلاة، ولو خرجت واعتكفت في مسجد الجماعة جاز اعتكافها.