Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 240: ADAKAH ORANG YANG DIISYTIHAR MUFLIS WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

ADAKAH ORANG YANG DIISYTIHAR MUFLIS WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

 

Soalan

Assalamualaikum, saya baru-baru ini telah diisytiharkan muflis kerana tidak mampu melangsaikan hutang dalam sesuatu tempoh. Persoalan saya adakah saya wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga saya. Mohon pencerahan pihak Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Mereka yang diisytihar sebagai muflis atau bankrap oleh pihak berautoriti wajib mengeluarkan zakat fitrah atas dirinya atau tanggungannya jika dia memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi pada malam dan pagi hari raya. Namun, sekiranya seseorang yang muflis itu tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain, mahupun harta maka dia tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, bahkan dia berhak menerima zakat.

Huraian Jawapan

Zakat fitrah merupakan zakat yang wajib dikeluarkan bagi setiap individu muslim pada hari terakhir bulan Ramadan setelah terbenam matahari atau pada pagi hari raya[1], apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan syarak. Kewajipan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda:

فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Wajib mengeluarkan zakat Fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam sebanyak satu gantang tamar atau satu gantang tepung barli bagi setiap yang merdeka atau hamba sama ada lelaki atau perempuan muslim.

Riwayat Muslim

Persoalan tentang kewajipan zakat fitrah bagi mereka yang muflis. Dalam hal ini, muflis adalah mereka yang tidak mampu membayar hutang atau bankrap[2]. Oleh sebab itu, pemerintah telah mengisytiharkan mereka sebagai bankrap atau muflis malah mereka juga dilarang menggunakan hartanya[3]. Dalam konteks kerajaan Malaysia seseorang yang bankrap hanya tidak dibenarkan bekerja dalam profesion tertentu seperti peguam, akauntan dan seumpamanya[4]. Namun mereka yang muflis atau bankrap boleh bekerja atau meneruskan pekerjaan yang dibenarkan oleh pihak autoriti[5].

Berdasarkan penjelasan di atas, muflis menggambarkan bahawa mereka yang berhutang dan hutangnya melebihi harta yang dimilikinya. Mereka juga berkemungkinan memiliki pekerjaan bahkan harta, malahan mungkin juga mereka ini tidak termasuk dalam golongan yang susah. Oleh sebab itu, mereka yang muflis atau bankrap juga wajib mengeluarkan zakat sekiranya memenuhi segala syarat-syaratnya iaitu Islam, berkesempatan hidup setelah terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadan dan memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi untuk diri dan tanggungannya pada malam hari Raya dan siangnya[6].

Bagi mereka yang susah dan tidak memiliki makanan asasi yang cukup pada hari yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat iaitu pada malam dan pagi hari Raya, mereka ini tidak diwajibkan untuk mengeluarkan zakat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya:

فَالْمُعْسِرُ لَا فِطْرَةَ عَلَيْهِ، وَكُلُّ مَنْ لَمْ يَفْضُلْ عَنْ قُوتِهِ وَقُوتِ مَنْ فِي نَفَقَتِهِ، لَيْلَةَ الْعِيدِ وَيَوْمَهُ، مَا يُخْرِجُهُ فِي الْفِطْرَةِ، فَهُوَ مُعْسِرٌ، وَمَنْ فَضَلَ عَنْهُ مَا يُخْرِجُهُ فِي الْفِطْرَةِ مِنْ أَيِّ جِنْسٍ كَانَ مِنَ الْمَالِ، فَهُوَ مُوسِرٌ.

Maksudnya: Mereka yang dalam kesusahan tidak wajib membayar zakat fitrah. Mereka ialah orang yang tidak memiliki makanan asasi yang cukup bagi dirinya dan dibawah tanggungannya untuk dikeluarkan sebagai zakat fitrah pada malam dan pagi hari raya maka dia dikategorikan sebagai orang susah. Manakala sesiapa yang mempunyai lebihan daripadanya sesuatu yang boleh dikeluarkan untuk zakat fitrah daripada pelbagai jenis harta maka dia termasuk dalam kalangan orang yang mampu.[7]

Oleh itu, mereka yang diisytihar sebagai muflis atau bankrap oleh pihak berautoriti wajib mengeluarkan zakat fitrah atas dirinya atau tanggungannya jika dia memiliki harta melebihi keperluan makanan asasi pada malam dan pagi hari raya. Namun, sekiranya seseorang yang muflis itu tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain, mahupun harta maka dia tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah, bahkan dia berhak menerima zakat.

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib. (Dar al-Kutub al-Islamiy) Jld. 1, Hlm. 390

(وَيُخْرَجُ) وُجُوبًا فِطْرَةُ هَؤُلَاءِ (فِي الْحَالِ) أَيْ فِي يَوْمِ الْعِيدِ وَلَيْلَتِهِ

[2] Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bankrap

[3] Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 3 Hlm. 97

جَعْلُ الْحَاكِمِ الْمَدْيُونَ مُفْلِسًا بِمَنْعِهِ مِنْ التَّصَرُّفِ فِي مَالِهِ

[4] Rujuk: https://www.mdi.gov.my/index.php/ms/utama/soalan-lazim/103-bankruptcy-faq/1664-25-apakah-kesan-ke-atas-seorang-bankrap-yang-mempunyai-pekerjaan-dalam-profesion-tertentu

[5] Rujuk: https://www.mdi.gov.my/index.php/ms/utama/soalan-lazim/103-bankruptcy-faq/1662-23-memandangkan-saya-memerlukan-kebenaran-kpi-untuk-meneruskan-pekerjaan-sekarang-atau-mendapatkan-pekerjaan-yang-baru-apa-yang-perlu-dilakukan-untuk-mendapatkan-kebenaran-tersebut

[6] Fiqh manhaji, Jld. 1 Hlm. 229

الأول - الإسلام:

فلا تجب على الكافر الأصلي وجوب مطالبة في الدنيا، للحديث السابق ذكره عن ابن عمر رضي الله عنهما.

الثاني- غروب شمس آخر يوم من رمضان:

فمن مات بعد غروب ذلك اليوم، وجبت زكاة الفطر عنه، سواء مات بعد أن تمكن من إخراجها، أم مات قبله، بخلاف من ولد بعده. ومن مات قبل غروب شمسه لم تجب في حقه، بخلاف من ولد قبله.

الثالث- أن يوجد لديه فضل من المال، يزيد عن قوته وقوت عياله ف يوم العيد وليلته

[7] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktabah al-Islamiy, 1412) Jl. 2 Hlm. 299