Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 256: HUKUM MEMBAWA PULANG MAKANAN DARI BUFET RAMADAN

HUKUM_MEMBAWA_PULANG_MAKANAN_DARI_BUFET_RAMADAN.jpg

 

SOALAN: “Pada bulan puasa yang lepas, saya sekeluarga berbuka puasa di sebuah bufet Ramadan berbayar. Sebelum pulang, saya telah mengambil beberapa makanan yang tidak habis dimakan di sana, dan membungkusnya untuk dibawa balik. Perkara ini sering bermain di fikiran saya sehingga sekarang. Bolehkah saya mengambil makanan tersebut, kerana kami telah bayar untuk makanan itu. Seingat saya, tidak ada ditulis di situ bahawa tidak boleh bawa balik makanan. Lagi pun, akhirnya lebihan makanan itu akan dibuang juga oleh pengurusan hotel tersebut? Mohon pencerahan daripada Mufti Wilayah.”

RINGKASAN JAWAPAN:

Secara kebiasaannya, jualan hidangan secara bufet ini hanyalah untuk dimakan dan diminum di premis perniagaan tersebut sahaja. Justeru itu, segala makanan dan minuman yang dibawa keluar dari premis tersebut mestilah mendapatkan kebenaran daripada pihak pemilik atau pengusaha perniagaan bufet itu terlebih dahulu.

HURAIAN JAWAPAN:

Perniagaan hidangan bufet Ramadan secara umumnya telah menjadi tradisi yang dilakukan oleh ramai pengusaha perniagaan makanan pada bulan Ramadan, sama ada perniagaan tersebut dijalankan di hotel, restoran, dewan dan seumpamanya.

Dengan sejumlah wang yang dibayar oleh pelanggan kepada pengusaha perniagaan, maka pelanggan tersebut boleh menikmati juadah makan dan minuman yang dihidangkan sebanyak mana yang boleh dimakan dan diminum olehnya.

Hukum perniagaan hidangan secara bufet ini secara asasnya adalah harus, walaupun terdapat elemen gharar (ketidakjelasan) dalam kontrak tersebut, namun elemen gharar tersebut hanyalah sedikit sahaja, seperti yang boleh dirujuk huraian mengenai perkara ini pada artikel:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5551-irsyad-al-fatwa-siri-ke-762-hukum-jual-beli-hidangan-bufet.

Secara kebiasaannya, pengusaha perniagaan secara bufet di Malaysia ini mensyaratkan agar makanan dan minuman yang dihidangkan itu mestilah dimakan dan diminum di dalam premis sahaja, dan tidak dibawa keluar. Bahkan, terdapat juga pengusaha perniagaan bufet ini yang mengenakan bayaran tambahan terhadap makanan dan minuman yang diambil tetapi tidak dihabiskan.

Syarat-syarat yang dinyatakan ini biasanya ditulis dan ditampal pada premis-premis perniagaan bufet ini. Justeru itu, apabila pelanggan memasuki premis tersebut dan membayar harga untuk mendapatkan perkhidmatan hidangan bufet, ini bermakna pelanggan tersebut juga telah bersetuju dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pengusaha.

Di dalam sesuatu kontrak transaksi kewangan antara dua pihak atau lebih, kesemuanya adalah terikat kepada syarat-syarat yang telah disepakati bersama, berlandaskan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abū Hurayrah bahawa Rasulullah SAW bersabda:[1]

المسلمونَ على شروطِهم

Terjemahan: "Orang-orang Islam mestilah mematuhi syarat-syarat (yang ditetapkan)"

Sungguhpun jika syarat-syarat ini tidak ditulis dan tidak dipamerkan, namun sudah menjadi kebiasaan yang diketahui secara umumnya bahawa juadah hidangan secara bufet ini hanyalah untuk dimakan dan diminum di premis perniagaan itu sahaja, dan bukannya untuk dibawa keluar dari premis tersebut.

Justeru itu, amalan kebiasaan seperti yang dinyatakan ini juga boleh dianggap sebagai satu syarat yang dipersetujui bersama, seperti yang disebutkan oleh para fuqaha:[2]

المعروف عرفًا كالمشروط شرطًا

Terjemahan: "Sesuatu yang diterima secara adat kebiasaan, adalah dikira sebagai sesuatu syarat yang dipersetujui".

Pelanggan juga tidak wajar untuk menganggarkan bahawa makanan itu akan dibuang, bagi menjustifikasikan tindakannya membawa pulang makanan tersebut. Hal ini demikian kerana, para pengusaha hidangan bufet ini pastinya telah membuat perkiraan mereka dari sudut unjuran untung dan rugi dalam menjalankan perniagaan jualan hidangan secara bufet ini.

Tindakan membawa pulang makanan yang disajikan pastinya akan menyebabkan pengusaha perniagaan tersebut berisiko untuk rugi, apatah lagi sekiranya makanan dan minuman itu adalah dari kategori yang boleh disimpan semula, dan dihidangkan pada hari berikutnya.

Dari sudut pandang ini, jelaslah menunjukkan bahawa perbuatan membungkus makanan di hidangan bufet adalah perbuatan yang dilarang oleh syarak, kerana perbuatan ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada para peniaga yang akan menanggung kerugian. Larangan ini adalah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abū Sa’īd al-Khuḍriy, bahawa Rasulullah SAW bersabda:[3]

لا ضَررَ ولا ضِرارَ

Terjemahan: "Tidak boleh melakukan kemudaratan, dan tidak boleh melakukan perbuatan membalas kemudaratan".

Sekadar hanya telah bayar harga untuk memasuki bufet Ramadan itu juga tidak memadai untuk mengharuskan tindakan membawa balik makanan atau minuman, kerana seperti yang telah dinyatakan tadi bahawa pelanggan terikat dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan, iaitu untuk hanya makan dan minum di premis yang telah disediakan sahaja.

Justeru, tindakan untuk membawa pulang makanan atau minuman dari hidangan bufet tanpa kebenaran adalah merupakan satu kesalahan, dan dikira sebagai mengambil harta orang lain secara batil yang difirmankan oleh Allah SWT, seperti firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

(Al-Nisā', ayat 29)

Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...”

Oleh kerana pengambilan makanan dan minuman daripada hidangan bufet itu tidak mendapat kebenaran, maka nilai makanan atau minuman yang diambil itu mestilah dipulangkan semula kepada pemiliknya seandainya makanan atau minuman yang diambil tersebut telah habis dimakan, ataupun perlu mendapatkan kebenaran daripada pemiliknya. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub bahawa Rasulullah SAW bersabda:[4]

عَلَى اَلْيَدِ مَا أَخَذَتْ حَتَّى تُؤَدِّيَهُ

Terjemahan: "(Kewajipan) ke atas tangan yang mengambil sesuatu (hak) itu untuk memulangkannya semula".

Melainkan jika ternyata pengusaha atau pemilik perniagaan jualan juadah makanan secara bufet tersebut menyatakan bahawa juadah makanan dan minuman yang disediakan itu boleh dibungkus untuk dibawa pulang, maka pada ketika itu tiada masalah bagi pelanggan untuk membawa balik seperti yang telah dibenarkan.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan yang telah diberikan di atas, jelaslah bahawa makanan dan minuman yang berlebihan daripada bufet Ramadan tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa keluar dari premis perniagaan tersebut, melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan bufet tersebut.

Wallāhu A'lam.

 

Rujukan:  

[1] Sunan Abī Dāwūd, 3594.

[2] 'Aliyy Ḥaydar Amīn Afandiy, Durar al-Ḥukkām fī Sharḥ Majallah al-Aḥkām (Dār al-Jīl, 1991), 1:51.

[3] Riwayat al-Ḥākim, 2345.

[4] Sunan al-Tirmidhiy, 1266. Al-Imam al-Tirmidhiy menilai sebagai hadīth ḥasan ṣaḥīḥ.