Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-320 : BILANGAN TALAK SELEPAS PERKAHWINAN SEMULA DENGAN SUAMI PERTAMA

if320 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ustaz, saya ingin bertanya. Contohnya Ali berkahwin dengan Zahidah dan hidup sebagai pasangan suami isteri. Namun perkahwinan mereka tidak memperoleh zuriat dan kemudian mereka mengambil keputusan bercerai talak satu. Selepas tamat iddah, Zahidah telah berkahwin dengan Osman. Mereka dikurniakan seorang anak hasil perkahwinan tersebut. Selepas beberapa tahun, Osman telah terlibat dalam kemalangan jalanraya dan meninggal dunia. Soalan sayta, jika Zahidah ingin berkahwin dengan suaminya yang pertama, yakni Ali, berapakah bilangan hak talak yang dimiliki oleh Ali? Adakah masih dua kali atau kembali semula menjadi tiga seperti kes kahwin semula selepas talak tiga?

Terima kasih.

 

Jawapan:

 

Waalaikumussalam wrm. wbt,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat. 

Kami membahagikan jawapan lelaki yang berkahwin semula dengan seorang wanita selepas ditalak itu daripada dua sudut:

  • Bilangan talak selepas berlakunya talak ba’in sughra
  • Bilangan talak selepas berlakunya talak ba’in kubra

 

Bilangan talak selepas berlakunya talak raj’ie

Menurut mazhab al-Syafie, bilangan talak bagi suami isteri yang berkahwin semula setelah bercerai dengan talak satu atau dua, sekalipun jika isterinya itu bernikah dengan lelaki lain di antara talak-talak tersebut, ialah mengikut baki talak. Justeru jika seorang lelaki mentalakkan isterinya dengan talak satu, maka dia berbaki dua talak. Jika talak dua, maka dia berbaki satu talak.

Ini berdasarkan atsar yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Saidina Umar al-Khattab RA telah berkata:

أيُّما امرأةٍ طلَّقَها زوجُها طلقةً أو طلقتينِ ثمَّ تزوَّجَت غيرَهُ فماتَ أو طلَّقَها ثمَّ تزوَّجَها الأوَّلُ فإنَّها عندَهُ على ما بقِيَ من طلاقِهِ لَها

Maksudnya: “Sekiranya seorang wanita ditalakkan suaminya dengan talak satu atau talak dua, kemudian wanita itu berkahwin dengan lelaki yang lain, kemudian lelaki yang baharu dikahwini mati atau diceraikan lalu wanita itu kembali menikahi suami yang pertama, maka wanita itu di sisi lelaki itu (boleh ditalak) dengan apa yang berbaki dari talaknya kepada wanita tersebut.”

Riwayat al-Syafie dalam Musnad-nya (no.1276)

Berdasarkan riwayat di atas, Imam al-Syafie berpendapat bahawa sekiranya suami menceraikan isterinya dengan talak satu, atau dua, kemudian wanita tersebut bernikah pula dengan lelaki lain, dan melakukan persetubuhan kemudian, diceraikan pula lelaki yang kedua. Lalu, wanita tersebut bernikah dengan suami yang pertama, maka suami yang pertama hanya memiliki baki daripada talaq yang dilafazkan sebelum ini ke atas wanita tersebut. Begitu juga, sekiranya wanita itu tidak bernikah dengan lelaki lain, dan tidak disetubuh oleh suami yang lain, bilangan talak dikira daripada baki kecuali jika ditalak tiga.

Beliau mengatakan bahawa terdapat perbezaan mengapa bilangan talak diambil daripada baki sekiranya talak satu atau dua, manakala mendapat bilangan penuh sekiranya talak tiga. Hal ini berdasarkan dua firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah : 229)

Firman-Nya lagi:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. 

(Surah al-Baqarah: 230)

Imam al-Syafie mengatakan bahawa firman Allah ﷻ di atas menjelaskan terdapat perbezaan di antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Hal ini kerana, wanita yang ditalaq dengan talaq satu dan dua, boleh dirujuk semula. Berbeza dengan keadaan sekiranya ditalaq dengan talaq tiga, haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahi semula wanita tersebut sehinggalah wanita tersebut bernikah dengan lelaki lain terlebih dahulu.

Selagi mana wanita yang ditalaq dengan talaq tiga oleh suaminya tidak berkahwin dengan orang lain, maka kekal hukum haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahinya. Inilah yang membezakan antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Tidak boleh diqiyaskan perkara yang sudah jelas pengharaman dengan yang tidak diharamkan, kerana talak satu dan dua tidak diharamkan untuk lelaki tersebut untuk kembali kepada isterinya.

Rujuk al-Umm (hlm. 369).

Imam Abi Ishak al-Syirazi menyebut:

فإن طلقها طلقة أو طلقتين فتزوجت بزوج آخر فوطئها ثم أبانها رجعت إلى الأول بما بقي من عدد الطلاق لأنها عادت قبل استيفاء العدد فرجعت بما بقي كما لو رجعت قبل أن تنكح زوجاً غيره.

Maksudnya: Sekiranya dia mentalaqkan dengan talak satu atau talak dua, kemudian wanita itu bernikah dengan lelaki lain, dan bersetubuh, kemudian diceraikan. Lalu, wanita itu kembali kepada lelaki yang pertama. Maka, (kuasa) talaq untuk suami yang pertama berdasarkan baki daripada bilangan yang talaq yang telah digunakan. Kerana wanita itu kembali sebelum cukup bilangan keseluruhan. Maka kembali dengan baki (bilangan talak) sepertimana jika rujuk kembali tanpa bernikah dengan suami lain.

Rujuk al-Muhazzab (3/51)

Berkata Syeikh al-Muti`ie dalam menghuraikan perenggan di atas, antara lain, bahawa inilah pendapat dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ seperti Saiyiduna Umar al-Khattab, Saiyiduna Ali bin Abi Talib dan Saiyiduna Abu Hurairah, ridhwanullah `alaihim. Begitu juga daripada kalangan ahli fiqh seperti Imam Malik, Imam al-Auza`ie, Imam Sufyan al-Tsauri, Imam Ibn Abi Laila, Imam Muhammad bin al-Hasan, dan Imam Zufar. Manakala pendapat kedua menyatakan bahawa bilangan talak kembali kepada tiga. Inilah pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf daripada mazhab Hanafi, dan ini juga merupakan pendapat Ibn Abbas. Rujuk al-Majmu’ (17/287); al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (9/7006) oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili.

Pendapat yang sama direkodkan oleh ulama muta`akhkhirin mazhab al-Syafie. Imam al-Baijuri mengatakan:

لو طلق كل من الحر والعبد دون ما يملكه ثم راجع أو جدد عادت له بما بقي من الطلاق وإن اتصلت بأزواج

Maksudnya: “Sekiranya orang yang bebas atau hamba menjatuhkan talak kurang dari tiga (sama ada satu atau dua) kemudian merujuk kembali atau memperbaharui akad, maka (pasangan ini) hanya berbaki daripada talak-talak meskipun wanita itu berkahwin dengan lelaki-lelaki lain.

Lihat Hasyiah al-Baijuri (2/271).

Ini juga merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Ahmad, seperti kata Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi:

فَعَنْ أَحْمَدَ فِيهَا رِوَايَتَانِ إحْدَاهُمَا تَرْجِعُ إلَيْهِ عَلَى مَا بَقِيَ مِنْ طَلَاقِهَا وَهَذَا قَوْلُ الْأَكَابِرِ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَأُبَيٍّ وَمُعَاذٍ وَعِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَرُوِيَ ذَلِكَ عَنْ زَيْدٍ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ وَبِهِ قَالَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ وَعُبَيْدَةُ وَالْحَسَنُ وَمَالِكٌ وَالثَّوْرِيُّ وَابْنُ أَبِي لَيْلَى وَالشَّافِعِيُّ وَإِسْحَاقُ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَأَبُو ثَوْرٍ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْحَسَنِ وَابْنُ الْمُنْذِرِ وَالرِّوَايَةُ الثَّانِيَةُ عَنْ أَحْمَدَ أَنَّهَا تَرْجِعُ إلَيْهِ عَلَى طَلَاقِ ثَلَاثٍ وَهَذَا قَوْلُ ابْنِ عُمَرَ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَعَطَاءٍ وَالنَّخَعِيِّ وَشُرَيْحٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ وَأَبِي يُوسُفَ؛

Maksudnya: “Daripada Imam Ahmad terdapat dua riwayat; salah satunya kembali kepada apa yang berbaki daripada talak, dan ini merupakan pendapat para sahabat Nabi yang besar, seperti Umar, Ali, Ubayy, Mu`adz, Imran bin Husoin, dan Abu Hurairah. Pendapat ini diriwayatkan jua daripada Zaid, Abdullah bin Amr bin al-`As. Jua pendapat Sa`ied bin al-Musayyib, `Ubaidah, al-Hasan, Malik, al-Tsauri, Ibn Abi Laila, al-Syafie, Ishak, Abu `Ubaidah, Abu Tsur, Muhammad bin al-Hasan, Ibn al-Mundzir. Riwayat kedua daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa ia kembali kepada tiga talak dan ini merupakan pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, Ato’, al-Nakha`ie, Syuraih, Abu Hanifah dana Abu Yusuf.”

Rujuk al-Mughni (7/505)

 

Bilangan talak selepas berlakunya talak ba’in kubra

Sekiranya suami menjatuhkan talak tiga, kemudian berkeinginan untuk berkhawin semula dengan wanita yang sama, maka perlu untuk wanita tersebut menikahi dengan lelaki lain terlebih dahulu sebelum menikahi semula dengan lelaki yang menjatuhkan talak tiga kepadanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. 

(Surah al-Baqarah: 230)

Setelah bernikah dengan lelaki lain dan melaksanakan semua syarat-syarat yang ditetapkan syarak, maka barulah boleh dikahwini semula. Setelah berkahwin semula, perkahwinan ini dianggap pernikahan yang baharu, dan pasangan tersebut mendapat semula bilangan talak yang penuh iaitu tiga kali talak. Hal ini disebutkan di dalam al-Majmu’ (17/287):

وان طلق امرأته ثلاثا ثم تزوجها بعد زوج فانه يملك عليها ثلاث طلقات

Maksudnya: “Dan sekiranya ditalakkan isterinya dengan talak tiga, kemudian bernikah semula setelah wanita itu bernikah dengan lelaki lain, maka dia mendapat (kuasa) tiga talak. “

 

Hal yang sama disebutkan bahawa:

وإذا استوفى ماله ثم جدد نكاحها بعد اتصالها بزوج آخر عادت له بما يملك لأنها زوجة جديدة

Maksudnya: “Dan sekiranya dia telah menggunakan semua (bilangan talak) yang ada padanya, kemudian dia memperbahrui pernikahan dengan wanita tersebut selepas wanita itu dinikahi (terlebih dahulu) dengan lelaki lain dan kembali kepadanya dengan apa yang dimiliki (bilangan talak yang penuh) kerana sesungguhnya (wanita itu) adalah isteri yang baharu.”

Lihat Hasyiah al-Baijuri (2/271); al-Tahzib (6/126).

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah-hujah di atas, jelas bahawa para fuqaha’ mazhab Imam al-Syafie menetapkan bahawa sekiranya seorang lelaki menjatuhkan talak satu atau dua kepada isterinya, kemudian mereka berkahwin semula, maka bilangan talak mereka hanya tinggal dari baki talak yang awal. Sekiranya talak satu, maka berbaki talak dua dan tiga.

Hal ini turut tidak berubah sekiranya wanita tersebut berkahwin dengan lelaki lain sebelum berkahwin semula. Pendapat ini turut disepakati oleh mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Ahmad. Namun, hanya pendapat Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa akan kembali mendapat bilangan talaq yang penuh. Berkata Imam Ala’uddin al-Kasani daripada mazhab Hanafi:

هَلْ يَهْدِمُ مَا كَانَ فِي مِلْكِ الزَّوْجِ الْأَوَّلِ مِنْ الطَّلَاقِ لَا خِلَافَ فِي أَنَّهُ يَهْدِمُ الثَّلَاثَ، وَهَلْ يَهْدِمُ مَا دُونَ الثَّلَاثِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَبُو يُوسُفَ يَهْدِمُ وَقَالَ مُحَمَّدٌ لَا يَهْدِمُ وَبِهِ أَخَذَ الشَّافِعِيُّ

Maksudnya: “Adakah terhapus bilangan talak yang dimiliki oleh suami yang pertama? Tiada khilaf bahawa jika berlaku pada talak tiga akan terhapus; namun adakah terhapus bagi talak di bawah tiga? Berkata Abu Hanifah dan Abu Yusuf: Terhapus. Berkata Muhammad (ibn Hasan al-Syaibani): Tidak terhapus. Inilah pendapat yang diambil oleh al-Syafie.”

Rujuk al-Bada’i` al-Sona’i` (3/189)

Manakala, bagi yang bernikah semula setelah menjatuhkan talaq tiga, mendapat kuasa menjatuhkan talaq sebanyak tiga kali, seakan-akan itu ialah isteri yang baharu baginya.

Semoga kita diberikan kefahaman dalam memahami syariat Islam. Amin.