Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-365 : BETULKAH KURMA BARNI ADALAH NAMA LAIN BAGI KURMA AJWAH?

IF 365 kurma barni

 

 

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Semasa saya ke Madinah dahulu, saya ada mendengar berkenaan kurma Barni. Adakah ia adalah nama lain bagi kurma Ajwah atau sebenarnya bukan? Harap Dato’ dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan satu riwayat daripada Saiditina Aisyah R.Anha bahawa :

مَا أَكَلَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْلَتَيْنِ فِي يَوْمٍ إِلَّا إِحْدَاهُمَا تَمْرٌ

Maksudnya : “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah makan dua kali sehari melainkan salah satunya adalah kurma.” [HR al-Bukhari (6455)]

Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa padanya terdapat isyarat bahawa kurma adalah sesuatu yang mudah bagi mereka mendapatkannya berbanding dengan makanan yang lain. Selain itu, terdapat isyarat lain yang menunjukkan bahawa boleh jadi mereka tidak ada sesuatu (untuk dimakan pada hari tersebut) melainkan ia cukup untuk sekali makan sahaja sehari. Sekiranya mereka mendapati adanya makanan yang mencukupi bagi dua kali makan (pada hari tersebut), maka salah satunya adalah kurma. [Lihat : Fathu al-Bari (11/292)]

Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah RA menyatakan bahawa :

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ طَعَامٍ وَاحِدٍ ثَلَاثًا حَتَّى قُبِضَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الْأَسْوَدَيْنِ : التَّمْرَ وَالْمَاءَ

Maksudnya : “Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang selama tiga malam berturut-turut dengan memakan hanya satu hidangan melainkan dengan aswadain; iaitu kurma dan air, sehinggalah baginda wafat.” [HR Ibnu Hibban (6345). Syeikh Syuaib al-Arnaut mengatakan sanadnya sahih mengikut syarat syaikhain]

Al-Qadi Iyad mengatakan bahawa ini adalah merupakan dalil yang menunjukkan mengenai kelebihan bersifat zuhud dengan dunia dan bersikit-sikit dengannya (mengambil sekadar yang perlu sahaja). [Lihat : Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim (8/527)]

Daripada sudut yang lain, kita ketahui bahawa kurma adalah merupakan makanan yang kaya dengan pelbagai nutrient dan khasiat.[1] Selain itu, ia juga adalah merupakan antara makanan asasi bagi penduduk Madinah ketika itu.

Kurma Barni

Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa terdapat sebanyak 120 jenis kurma Madinah. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (12/50)] dan Barni adalah merupakan salah satu jenis kurma yang boleh didapati di Madinah sebagaimana Ajwah, Sukari dan lain-lain. Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa kurma Barni adalah salah satu jenis kurma yang diketahui (penduduk Madinah). [Lihat : Fathu al-Bari (4/490)] Ibnu Manzur ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa Barni ialah salah satu jenis daripada kurma, warnanya kekuningan dan (buahnya) berbentuk bulat. Ia juga adalah merupakan sebaik-baik kurma. Kemudian, beliau juga ada menukilkan daripada pengarang al-Tahzib yang menyatakan bahawa kurma Barni warnanya merah kekuningan-kuningan, kulitnya agak tebal dan rasanya manis. [Lihat : Lisan al-‘Arab (13/49-50)]

Kelebihan kurma Barni

Terdapat riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAW yang menyatakan berkenaan kelebihan kurma Barni. Kami sebutkan sebahagian daripada riwayat tersebut, antaranya seperti yang telah dinukilkan oleh Abu Nu’aim al-Asfahani di dalam kitabnya daripada Ali bin Abi Talib bahawa :

جاء جبريل إلى النبي صَلَّى الله عَليْهِ وَسلَّم فقال : يا محمد خير تمراتكم البرني

Maksudnya : “Jibril telah datang kepada Nabi SAW dan berkata : Wahai Muhammad, sebaik-baik kurma bagi kamu semua adalah kurma Barni.” [Lihat : al-Tibb al-Nabawi (2/726)]

Begitu juga, Imam al-Hakim juga ada menyebutkan di dalam kitabnya daripada riwayat Abu Said al-Khudri dengan sedikit lafaz tambahan bahawa Nabi SAW bersabda :

خَيْرُ تَمَرَاتِكُمُ الْبَرْنِيُّ يُخْرِجُ الدَّاءَ وَلَا دَاءَ فِيهِ

Maksudnya : “Sebaik-baik kurma bagi kamu semua adalah kurma Barni. Ia menghilangkan penyakit dan tiada penyakit padanya.” [HR al-Hakim (7451)]

Imam Ahmad juga ada meriwayatkan di dalam musnadnya daripada riwayat Syihab bin ‘Abbad dengan lafaz :

أَمَا إِنَّهُ خَيْرُ تَمْرِكُمْ، وَأَنْفَعُهُ لَكُمْ

Maksudnya : “Adapun sesungguhnya ia (kurma Barni) adalah sebaik-baik kurma bagi kamu, dan yang paling bermanfaat untuk kamu.” [HR Ahmad (15559)]

Hadis-hadis ini telah diriwayatkan daripada jalur yang pelbagai. Antaranya, daripada Ali bin Abi Talib, Anas bin Malik, Buraidah bin Husaib al-Aslami, Abu Said al-Khudri dan lain-lain. Para ulama hadis berbeza pendapat mengenai darjat riwayat-riwayat hadis berkenaan. Ada yang mengdaifkannya atau mengatakan tidak sahih dan ada juga yang mengsahihkannya. Di sini kami nukilkan sebahagian pandangan ulama berkenaan hadis-hadis ini :

  • Ibnu al-Jauzi menyatakan bahawa tidak ada satu pun daripada hadis-hadis ini yang sahih. [Lihat al-Maudu’at (3/24)]
  • al-Haithami pula menyatakan bahawa hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Ausat, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Sa’id bin Suwaid dan dia adalah lemah (dhaif). Manakala hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad pula perawi-perawinya adalah thiqah. [Lihat Majma’ al-Zawaid (5/40) dan (8/178)]
  • Imam al-Hakim pula menyebutkan bahawa hadis daripada Anas bin Malik sanadnya adalah sahih tetapi tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Dan padanya terdapat syahid daripada hadis Abu Sa’id al-Khudri. [Lihat al-Mustadrak (4/226)]
  • al-Albani mengatakan bahawa kesimpulannya ialah hadis ini adalah sahih disisinya berdasarkan kepada keseluruhan syawahidnya dan kebanyakkan hadis-hadis tersebut tidak terlalu berat dhaifnya (tidak terlalu lemah). [Lihat Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (4/461)]

Sebahagian ulama sedikit tasahul (tidak meletakkan syarat yang terlalu ketat) dalam menerima riwayat-riwayat pada perkara yang tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan hukum hakam syariah yang melibatkan halal dan haram. Hal ini adalah sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Ibn Solah :

يَجوزُ عِندَ أهلِ الحديثِ وغَيرِهِمُ التَّسَاهُلُ في الأسَانِيْدِ ورِوَايَةُ مَا سِوَى الموضوعِ مِنْ أنواعِ الأحاديثِ الضَّعِيْفَةِ مِنْ غَيْرِ اهْتِمَامٍ بِبَيَانِ ضَعْفِهَا فِيْمَا سِوَى صِفَاتِ اللهِ تَعَالَى وأحْكَامِ الشَّرِيْعَةِ مِنَ الحلاَلِ والحرَامِ وغَيْرِهُما. وَذَلِكَ كَالْمَوَاعِظِ، والقَصَصِ، وفَضَائِلِ الأعْمَالِ، وسَائِرِ فُنُونِ التَّرْغِيبِ والتَّرْهِيْبِ، وسَائِرِ مَا لاَ تَعَلُّقَ لهُ بالأحْكَامِ والعَقَائِدِ.

Maksudnya : “Harus disisi ahli hadis dan selain mereka sedikit tasahul (tidak meletakkan syarat yang terlalu ketat) dalam menerima sanad-sanad dan riwayat, pada selain perkara yang berkaitan daripada jenis-jenis hadis-hadis dhaif tanpa perlu dijelaskan kedhaifannya, iaitu pada apa yang selain daripada sifat-sifat Allah dan hukum hakam syariah yang melibatkan soal halal dan haram atau selain daripada kedua-duanya. Perkara (yang ada padanya kelonggaran) adalah seperti peringatan-peringatan, kisah-kisah, fadhail al-A’mal (kelebihan-kelebihan beramal) dan seluruh perkara yang berkaitan al-Targhib (galakkan) dan al-Tarhib (ancaman), serta seluruh perkara yang tidak berkaitan dengan hukum hakam dan akidah. [Lihat : Muqadimah ibn al-Solah, hlm. 210]

Kurma Barni adalah daripada jenis kurma yang bermutu

Tambahan lagi, sekalipun hadis tersebut dhaif atau tidak sabit daripada Nabi SAW, akan tetapi maknanya adalah sahih. Hal ini kerana kurma Barni adalah termasuk dalam jenis kurma-kurma yang baik dan bermutu. Al-Munawi ketika mensyarahkan hadis di atas mengatakan bahawa :

فهو خير من غيره من الأنواع وإن كان التمر كله خيرا

Maksudnya : “Ia (kurma Barni) adalah lebih baik daripada jenis-jenis kurma yang lain (daripada segi kualiti). Sekalipun, kurma memang secara keseluruhannya adalah baik.” [Lihat : Fayd al-Qadir (3/484)]

Begitu juga, terdapat hadis lain yang menunjukkan bahawa kurma Barni termasuk dalam jenis kurma yang baik berdasarkan riwayat Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa :

جاءَ بلالٌ إلى النبيِّ ﷺ بتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقالَ له النبيُّ ﷺ : مِن أيْنَ هذا؟، قالَ بلالٌ : كانَ عِنْدَنا تَمْرٌ رَدِيٌّ، فَبِعْتُ منه صاعَيْنِ بصاعٍ، لِنُطْعِمَ النبيَّ ﷺ، فَقالَ النبيُّ ﷺ عِنْدَ ذلكَ: أوَّهْ أوَّهْ، عَيْنُ الرِّبا عَيْنُ الرِّبا، لا تَفْعَلْ

Maksudnya : “Bilal datang menemui Nabi SAW bersama tamar Barni. Lalu Nabi SAW bertanya : “Dari mana engkau dapat tamar ini? Bilal menjawab : Pada asalnya saya mempunyai tamar yang tidak elok lalu saya jual dua gantang tamar tadi dengan segantang (tamar yang elok) untuk saya berikan kepada Nabi SAW. Lantas Nabi SAW bersabda : Tidak-tidak, itulah riba, jangan lakukan begitu.” [HR al-Bukhari (2312) dan Muslim (1594)]

Maka, kita dapat fahami daripada hadis di atas, kurma Barni adalah antara kurma yang baik dan bermutu sehinggakan Bilal membelinya untuk diberikan kepada Nabi SAW.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mengatakan bahawa kurma Barni ialah sebahagian kurma yang bermutu tinggi. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (6/68)]

Kurma Barni berbeza dengan kurma Ajwah Madinah

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami menyatakan bahawa kurma Barni dan kurma Ajwah Madinah, kedua-duanya adalah merupakan kurma daripada jenis yang baik dan berkualiti. Namun, kedua-duanya adalah dua jenis kurma yang berbeza. Kita boleh ketahuinya melalui takrifan para ulama mengenainya iaitu kurma Barni berwarna kekuning-kuningan manakala kurma Ajwah adalah berwarna kehitam-hitaman. Begitu juga, daripada segi fadilat dan kelebihan secara khusus kurma Barni tidak sama dengan kurma Ajwah Madinah. Hal ini kerana kelebihan kurma Ajwah Madinah disebutkan di dalam banyak hadis-hadis yang sahih seperti daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]

Manakala riwayat-riwayat berkenaan kelebihan kurma Barni ada perselisihan padanya. Akan tetapi daripada segi umum tidak dapat dinafikan bahawa semua jenis kurma termasuk kurma Barni adalah merupakan buah yang sangat baik dan berkhasiat. Bagi mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan kurma Ajwah Madinah dan kelebihannya bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-347 : Fadilat memakan tujuh biji kurma, adakah khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja atau umum buat semua jenis kurma?

Kesimpulannya

Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kurma Barni dan kurma Ajwah Madinah adalah dua jenis kurma yang berbeza. Namun, kedua-duanya adalah merupakan kurma daripada jenis yang baik dan berkualiti (bermutu).
  • Adapun kelebihan bagi menghindari racun dan sihir sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis sahih adalah khusus buat kurma Ajwah Madinah. Perkara ini kami pernah membahaskannya secara panjang lebar di dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-347.
  • Sekalipun begitu, kami menasihati semua agar jangan sekali-kali kita membiarkan diri kosong daripada mendapat manfaat dan kebaikan dalam mengamalkannya sekalipun hadis tersebut (berkaitan kelebihan kurma Barni) telah didhaifkan oleh sebahagian ulama. Hal ini kerana sekiranya perkara tersebut menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadilat tersebut. Dan sekiranya ia tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Baginda SAW, perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan bagi mengamalkan syariatNya serta sunnah nabiNya dengan sebaik mungkin.

 

[1] Lihat : Disertasi bertajuk : Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hal. 142.