Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-816: HUKUM RAWATAN “LASER VAGINAL TIGHTENING”

HUKUM_RAWATAN_LASER_VAGINAL_TIGHTENING.jpg

                                         

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya berkeinginan untuk mendapatkan rawatan “laser vaginal tightening” untuk merangsang kolagen dan keanjalan di persekitaran faraj memandangkan saya telah bersalin beberapa kali. Rawatan ini mampu mengetatkan faraj di samping meningkatkan kualiti hidup berpasangan. Justeru, adakah keinginan sebegini dibenarkan oleh syarak ? Mohon pandangan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Rawatan “laser vaginal tightening” (mengetatkan otot-otot faraj yang longgar) melibatkan proses mengubahsuai ciptaan-Nya. Oleh itu, solusi hukum berdasarkan tujuan serta keadaan -keadaan berikut :

  1. Harus bagi tujuan merawat penyakit (daruriyyat) atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan semula bentuk asal serta memulihkan fungsinya.
  2. Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan. Larangan tersebut atas faktor -faktor berikut :
  • Kelonggaran faraj merupakan proses semula jadi yang berlaku akibat penuaan, atau kekerapan bersalin, maka ia termasuk dalam mengubah ciptaan-Nya.
  • Ancaman fitnah kerana melibatkan pendedahan aurat yang bukan bertujuan keperluan perubatan.

Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan “laser vaginal tightening” sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahat daruriyyat atau hajiyyat . Hal ini kerana, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak (daruriyyat) dan bukan semata-mata untuk kecantikan serta kepuasan nafsu.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Laser Vaginal Tightening

Rawatan “laser vaginal tightening” merupakan rawatan tanpa pembedahan yang bertujuan mengetatkan otot-otot di bahagian faraj yang sudah mengendur supaya ia kembali kepada fungsinya yang normal. Prosedur rawatan adalah dengan menggunakan peranti laser yang dipancarkan pada dinding faraj untuk meningkatkan kadar kolagen. Antara faktor yang menyebabkan kelonggaran faraj (vaginal laxity) adalah kehamilan, kelahiran anak, penuaan, peningkatan usia, genetik, trauma pelvis, melakukan aktiviti berat dan sebagainya. Akibatnya, seseorang wanita akan berhadapan masalah kekurangan fungsi seksual terutamanya apabila bersama dengan pasangan, otot lantai pelvis yang lemah, masalah pembuangan air kencing yang tidak terkawal dan lain-lain. Kesan rawatan akan bertahan sehingga tempoh lebih daripada 12 bulan.[1] Ia melibatkan proses pembentukan semula rangkaian kolagen untuk pengetatan faraj yang mengendur. Kos purata untuk rawatan laser faraj di Malaysia adalah dalam lingkungan RM 2,500 satu sesi bagi tiga kali rawatan.[2]

Penghujahan Dalil

Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang ditetapkan pada makhluk-Nya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Ini berdasarkan dalil- dalil berikut:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya : Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu,Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.

Surah al-Rum (30)

Sebarang prosedur rawatan yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia semata-mata untuk kecantikan tanpa keperluan adalah diharamkan oleh syarak. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang bertatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah”.

Riwayat Muslim (2125)

Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut adalah:[3]

وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس

Maksudnya: “Wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan memberi makna mereka melakukan perkara tersebut hanya untuk kecantikan dan ia sebagai isyarat kepada hukum haram. Hal Ini kerana, orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan. Adapun sekiranya berhajat untuk tujuan rawatan atau kerana aib pada gigi dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah.”

Niat atau tujuan merupakan perkara pertama yang dijadikan pertimbangan dalam penentuan hukum. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang masyhur:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: “Setiap perbuatan berdasarkan kepada niatnya.”

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyatakan bahawa perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT melalui rawatan kosmetik perlu dilihat dari sudut maslahat kepada individu dan tujuan pelaksanaannya. Sekiranya rawatan berada pada tahap keperluan mendesak (daruriyyat) dan menghindarkan dari kepayahan (hajiyyat), maka perbuatan ini dibenarkan oleh syarak. Namun, jika ia berada pada tahap tahsiniyyat (kesempurnaan) yang bersifat semata-mata untuk mencantikkan dan memperelokkan diri, maka hukumnya adalah haram.[4]

Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan dalam kitabnya al-Jirahah al-Tajmiliyyah menyatakan pandangan rawatan faraj terbahagi beberapa keadaan berikut : [5]  

a) Harus menjalani rawatan pembedahan faraj atas dasar perubatan seperti masalah kekeliruan antara faraj, masalah saluran kencing atau saluran najis serta khuatir berlaku kelemahan otot - otot faraj dan sesuatu keluar daripada faraj yang boleh membahayakan pasangan.

b) Haram menjalani rawatan mengetatkan otot faraj akibat ia semakin longgar secara semula jadi yang hanya semata - mata ingin memenuhi kepuasan hubungan seks pasangan tanpa keperluan perubatan. Larangan tersebut berdasarkan sebab-sebab berikut; [6]

  • Pengharaman disebabkan prosedur rawatan dianggap seperti mengubah ciptaan semula jadi. Hal ini kerana, masalah kekenduran otot faraj merupakan perkara tabii yang sememangnya akan berlaku apabila seseorang wanita meningkat usianya serta kekerapan bersalin. Adapun, kelonggaran faraj akibat kemalangan atau penyakit, maka dibenarkan untuk merawatnya kerana ia kecacatan yang tidak disengajakan.
  • Pengharaman disebabkan rawatan ini memerlukan kepada pemeriksaan bahagian sulit wanita dan menyentuhnya. Walhal ia merupakan perkara yang diharamkan di samping membuka ruang fitnah yang besar terhadap aurat wanita. Ia tidak sewenang-wenangnya didedahkan tanpa ada keperluan yang mendesak seperti tujuan perubatan. Sedangkan tujuan asalnya adalah untuk kecantikan (tahsiniyyat) Jika diperhatikan dari sudut yang lain, wanita masih boleh mengamalkan kehidupan seksualnya seperti biasa; seperti wanita lain yang mana mereka juga berkahwin, melahirkan anak dan meningkat usia tua tanpa perlu melakukan rawatan.
  • Rawatan ini memerlukan kos pembiayaan yang mahal sehingga boleh dikategorikan sebagai pembaziran yang diharamkan oleh syarak.

Kesimpulan

Prosedur rawatan “laser vaginal tightening” atau mengetatkan otot-otot faraj melibatkan proses mengubah ciptaan Allah SWT memandangkan kelonggaran faraj termasuk dalam kategori perubahan semula jadi yang berlaku kepada para wanita disebabkan kekerapan bersalin, penuaan, genetik mahupun kerja-kerja berat. Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan “laser vaginal tightening” sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahah daruriyyat atau hajiyyat . Oleh yang demikian, solusi hukum berdasarkan keadaan berikut :

  • Harus bagi tujuan merawat penyakit atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan bentuk asal serta fungsinya. Ia dikategorikan sebagai maslahah daruriyyat (keperluan mendesak). Wanita yang ingin mendapatkan rawatan tersebut hendaklah mengutamakan pilihan doktor muslim wanita dahulu.
  • Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan. Selain itu, berlaku fitnah yang besar kerana terdedah aurat yang bukan tujuan keperluan perubatan.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Ministry of Health Malaysia. Rujuk pautan: file:///C:/Users/User/Downloads/4.%20TR-Surgical%20and%20non%20surgical%20method%20for%20vaginal%20tightening.pdf

[2] https://malay.aestheticsadvisor.com/2019/09/rawatan-laser-faraj-malaysia-dan-kos.html

[3] al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1392H). Jld 14. Hlm 107.

[4] Muhammad Mukhtar al-Syanqiti. Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattabah ‘alaiha. (Jeddah: Maktabah al-Sahabah, 1994). Hlm 186.

فبين -رحمه الله- أن المحرم ما كان المقصود منه التجميل والزيادة في الحسن، وأما ما وجدت فيه الحاجة الداعية إلى فعله فإنه لا يشمله النهي والتحريم. والجواز فيها مبني على وجود الحاجة الداعية إلى فعلها، وهي إما أن تبلغ مقام الضروريات كما في الجراحة العلاجية الضرورية، وجراحة الولادة الضرورية. وإما أن تبلغ مقام الحاجيات كما في الجراحة العلاجية الحاجية، وجراحة الولادة الحاجية، وجراحة التشريح لغرض تعليم الطب، وجراحة الكشف والفحص الطبي، وجراحة التجميل الحاجية.

[5] Soleh bin Muhamad al-Fawzan, al-Jirahah al-Tajmiliyyah. (Riyadh: Dar al-Tadmuriyyah, 2008). Hlm 616.

الحكم الفقهي الجراحة المهبل :أن لهذه الجراحة حالتين : الحالة الأولى: أن تُجرى لدافع طبي، وذلك عند حصول اختلاط بين المهبل ومخرج البول أو مخرج الغائط أو الخشية من ذلك لضعف العضلات أو انبعاث ما يؤذي الزوجين من المهبل، ويظهر لي جواز إجراء الجراحة .

الحالة الثانية :"أن تجرى الجراحة بسبب توسّع المهبل بشكل معتاد ، لمجرد الرغبة في زيادة الاستمتاع الجنسي للزوجين دون أن يكون لذلك دافع طبي ،

[6] Ibid

ويظهر لي حرمة الجراحة في هذه الحالة لما يلي :

أ- أن ظاهرة ارتخاء عضلات الفرج هي خلقة معهودة تظهر مع التقدم في العمر والولادات المتكررة ، لذا فإن الجراحة لتغيير هذه الخلقة المعهودة من تغيير خلق الله تعالى الذي ثبت تحريمه ، وقد تقدم أن ضابط التغيير المحرم " إحداث تغيير دائم في خلقة معهودة " ، ولو كان هذا الارتخاء شيئا طارئا وقع بسبب حادث أو إصابة بمرض لجاز علاجه كسائر العيوب والعاهات الطارئة .

‌ب- أن هذه الجراحة لا تجرى إلا باطلاع على العورة المغلظة للمرأة ومسها ، وهذا من أشد المحرمات ، وهو من أعظم دواعي الفتنة ، خاصة أن الجراحة تهدف لتحسين الوظيفة الجنسية ، وقد يكون موضوع نقاش بين الطبيب والمرأة طالبة الجراحة ، وهذا يسهم في إضعاف الحياء في نفسها. وقد تقدم أن الأصل حرمة كشف العورة إلا لحاجة أو ضرورة ،وهذا من أشد المحرمات ، وهو من أعظم دواعي الفتنة ، خاصة أن الجراحة تهدف لتحسين الوظيفة الجنسية ، وقد يكون موضوع نقاش بين الطبيب والمرأة طالبة الجراحة ، وهذا يسهم في إضعاف الحياء في نفسها. وقد تقدم أن الأصل حرمة كشف العورة إلا لحاجة أو ضرورة ، وليست هذه الحالة من مواطن الحاجة أو الضرورة الطبية ، إذ يمكن للمرأة أن تمارس حياتها الجنسية كالمعتاد ، كغيرها من ملايين النساء اللاتي يتزوجن ويلدن ويتقدم بهن العمر .