Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-821: HUKUM PROSEDUR GENDER AFFIRMING CARE

HUKUM_PROSEDUR_GENDER_AFFIRMING_CARE.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, nak tanya dari sudut pandang Islam, adakah menyediakan perkhidmatan rawatan hormon untuk transgender dibenarkan? Hal ini kerana terdapat klinik di Kuala Lumpur yang memberi perkhidmatan tersebut sebagaimana yang tular di media sosial.

Ringkasan Jawapan

Perbuatan menukar jantina adalah diharamkan dan begitu juga mereka yang memberi bantuan kepada golongan transgender seperti galakan atas perbuatan mereka, mempromosikan dan seumpamanya kerana membantu ke arah kemaksiatan.

Huraian Jawapan

Gender Affirming Surgery, Gender Confirmation Surgery atau Sex Reassignment Surgery bermaksud pembedahan untuk pengesahan atau penukaran jantina berdasarkan identiti seseorang individu mengikut penampilan fizikal supaya dapat mengurangkan tekanan psikologi yang dihadapi mereka tentang kecelaruan jantina[1]. Gender Affirming Care ialah perkhidmatan melakukan sesuatu prosedur untuk meningkatkan sifat kewanitaan seperti pembedahan plastik pada muka, pembuangan alat sulit lelaki atau halkum dan seumpamanya. Selain itu juga ia merupakan prosedur bagi mengurangkan sifat kewanitaan agar nampak sifat kelakian dengan kaedah mengecilkan payudara, pembuangan rahim dan ovari serta pembedahan zakar palsu[2].

Hukum mengubah jantina menurut syarak adalah diharamkan sebagaimana dinyatakan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 yang memutuskan bahawa jika seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan.

Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak. Nabi SAW melaknat mereka menukar jantina asalnya sebagaimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”

Riwayat Abu Dawud

Mempromosi Dan Memberi Galakan Kepada Golongan Transgender

Selain itu, dalam sudut yang lain, membantu, mempromosi dan memberi galakan kepada golongan transgender supaya mereka kekal dalam keadaan tersebut dan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan perbuatan tersebut adalah haram. Hal ini kerana membantu dan menyokong tindakan mereka yang jelas dilarang oleh syarak adalah diharamkan sebagaimana firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Maidah (2)

Dalam hal ini juga, diharamkan bagi mereka yang memberi khidmat bantuan seperti kaunseling, kesihatan dan seumpamanya kepada golongan transgender agar mereka terus kekal berada dalam kemungkaran tersebut. Nabi SAW memberi peringatan kepada mereka yang membantu ke arah kemaksiatan dan kemungkaran akan dibalas dosa yang sama seperti mana dosa si pelaku. Hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah RA, sabda Nabi SAW:

ومن سن في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيء‏

Maksudnya: “Sesiapa yang memulakan suatu pekerjaan yang jahat di dalam Islam maka ke atasnya dosanya dan dosa mereka yang beramal dengannya selepasnya, tanpa dikurangkan daripada dosa mereka sedikit pun.”

Riwayat Muslim

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran, maka dia akan mendapat balasan dosa seperti orang yang melakukannya sehingga hari kiamat. Ini bermaksud ganjaran dan balasan tersebut akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya.[3]

Kesimpulan

Perbuatan menukar jantina adalah diharamkan dan begitu juga mereka yang memberi bantuan kepada golongan transgender seperti galakan atas perbuatan mereka, mempromosikan dan seumpamanya kerana membantu ke arah kemaksiatan.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] https://www.britannica.com/science/radial-keratotomy

“Gender-affirming surgery, medical procedure in which the physical sex characteristics of an individual are modified. Gender-affirming surgery typically is undertaken when an individual chooses to align their physical appearance with their gender identity, enabling the individual to achieve a greater sense of self and helping to reduce psychological distress that may be associated with gender dysphoria.”

[2] Ibid.

Individuals assigned male at birth may undergo one or more procedures to feminize their anatomy, including facial feminization surgery, penectomy (removal of the penis), orchidectomy (removal of the testicles), vaginoplasty (construction of a vagina), and a tracheal shave (reduction of the Adam’s apple). Individuals who are assigned female at birth and who desire surgical intervention to masculinize their anatomy may seek breast reduction surgery, hysterectomy (removal of the uterus), oophorectomy (removal of the ovaries), and phalloplasty (construction of a penis).

[3] Mahyuddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar al-Ihya’, 1392) Jld. 16 Hlm. 227)

من دعا إلى هدى ومن دعا إلى ضلالة هَذَانِ الْحَدِيثَانِ صَرِيحَانِ فِي الْحَثِّ عَلَى اسْتِحْبَابِ سَنِّ الْأُمُورِ الْحَسَنَةِ وَتَحْرِيمِ سَنِّ الْأُمُورِ السَّيِّئَةِ وَأَنَّ مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ كُلِّ مَنْ يَعْمَلُ بِهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ كُلِّ مَنْ يَعْمَلُ بِهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَأَنَّ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِثْلُ أُجُورِ مُتَابِعِيهِ أَوْ إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِثْلُ آثَامِ تَابِعِيهِ سَوَاءٌ كَانَ ذَلِكَ الْهُدَى وَالضَّلَالَةُ هُوَ الَّذِي ابْتَدَأَهُ أَمْ كَانَ مَسْبُوقًا إِلَيْهِ وَسَوَاءٌ كَانَ ذَلِكَ تَعْلِيمُ عِلْمٍ أَوْ عِبَادَةٍ أَوْ أَدَبٍ أَوْ غَيْرُ ذَلِكَ