Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-835: HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN DUIT RAYA ANAK-ANAK

HUKUM_IBU_BAPA_MENGGUNAKAN_DUIT_RAYA_ANAK-ANAK.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan, apakah hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak selain daripada keperluan anak tersebut? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih Datuk.

Ringkasan Jawapan

Haram bagi ibu bapa untuk menggunakan duit raya anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Sekiranya ibu bapa sudah menggunakan duit raya anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Menjelang sambutan perayaan Aidilfitri, secara kebiasaannya anak-anak ada menerima duit raya daripada kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga dan juga tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Oleh yang demikian, duit raya yang diterima itu menjadi hak milik anak-anak tersebut dan mereka boleh sama ada menggunakannya atau menyimpannya.

Dalam pada itu, disebabkan kekurangan mereka dalam kemahiran mengurus wang, maka ibu bapalah yang diamanahkan untuk menjaga atau menyimpan duit raya tersebut, lantas timbul persoalan, adakah ibu bapa boleh menggunakan duit raya tersebut wewenangnya tanpa perlu menggantikannya?

Secara umumnya, hukum mengambil harta orang lain tanpa sebarang keredaan ataupun keizinan daripada pemilik adalah haram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ‎﴿٢٩﴾‏

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Dalam hal ibu bapa menguruskan harta anak-anak, pada dasarnya ibu bapa wajib menguruskan harta anak-anak mereka terhadap perkara yang mendatangkan kebaikan kepada mereka sahaja. Hal ini termasuklah menyimpan dan menjaganya dengan baik serta tidak pula menggunakan harta tersebut untuk tujuan lain[1].

Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya:Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.”

Riwayat al-Tirmizi (2159)

Jumhur fuqaha iaitu mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa bapa tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja[2]. Oleh itu, jelas di sini bahawa ibu bapa yang menggunakan duit raya anak mereka untuk tujuan selain daripada keperluan atau maslahat anak itu sendiri, maka ia hendaklah diganti semula. Hal ini kerana, bersikap kedekut atau berlebihan dalam menguruskan harta anak adalah berdosa[3].

Sebagai maklumat tambahan, perbahasan berkenaan sabdaan Nabi SAW: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” telah kami bincangkan dan bahaskan dalam artikel kami yang bertajuk al-Kafi #1171: Hukum Ibu Bapa Menggunakan Harta Anak-anak. Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit raya anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Sekiranya ibu bapa sudah menggunakan duit raya anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali. Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma ‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 3/156.

(وَيَتَصَرَّفُ) لَهُ (الْوَلِيُّ بِالْمَصْلَحَةِ) وُجُوبًا لِقَوْلِهِ تَعَالَى {وَلا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ} [الأنعام: 152] وقَوْله تَعَالَى {وَإِنْ تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ الْمُفْسِدَ مِنَ الْمُصْلِحِ} [البقرة: 220] وَقَضِيَّةُ كَلَامِهِ كَأَصْلِهِ أَنَّ التَّصَرُّفَ الَّذِي لَا خَيْرَ فِيهِ وَلَا شَرَّ مَمْنُوعٌ مِنْهُ إذْ لَا مَصْلَحَةَ فِيهِ وَهُوَ كَذَلِكَ كَمَا صَرَّحَ بِهِ الشَّيْخُ أَبُو مُحَمَّدٍ وَالْمَاوَرْدِيُّ، وَيَجِبُ عَلَى الْوَلِيِّ حِفْظُ مَالِ الصَّبِيِّ عَنْ أَسْبَابِ التَّلَفِ وَاسْتِنْمَاؤُهُ قَدْرَ مَا تَأْكُلُهُ الْمُؤَنُ مِنْ نَفَقَةٍ وَغَيْرِهَا إنْ أَمْكَنَ، وَلَا تَلْزَمُهُ الْمُبَالَغَةُ،

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 15/384.

وقال الشافعي رضى الله عنه وأبو حنيفة ومالك: ومالك: ليس للوالد أن يأخذ من مال ولده الا بقدر حاجته، لحديث (ان دماءكم وأموالكم عليكم حرام، الخ. الحديث متفق عليه.

[3] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 3/155.

(وَيُنْفِقُ عَلَيْهِ بِالْمَعْرُوفِ) فِي طَعَامٍ وَكِسْوَةٍ وَغَيْرِهِمَا مِمَّا لَا بُدَّ مِنْهُ بِمَا يَلِيقُ بِهِ فِي إعْسَارِهِ وَيَسَارِهِ، فَإِنْ قَتَّرَ أَثِمَ وَإِنْ أَسْرَفَ أَثِمَ وَضَمِنَ وَيُخْرِجُ عَنْهُ أَرْشَ الْجِنَايَةِ وَإِنْ لَمْ يَطْلُبْ ذَلِكَ مِنْهُ.