Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-838: HARTA SEPENCARIAN DARI PERSPEKTIF SYARAK

ADAKAH_SABIT_HARTA_SEPENCARIAN_DARI_PERSPEKTIF_SYARAK.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang dimaksudkan dengan harta sepencarian? Adakah wujud pengiktirafan pensyariatan berkenaan harta sepencarian dalam agama Islam? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Harta sepencarian merupakan sebahagian adat dan amalan kebiasaan bagi sebilangan masyarakat setempat. Namun terdapat perbezaan istilah dan amalan bagi terma harta sepencarian yang diguna pakai oleh masyarakat yang beradat pepatih dan temenggung dengan amalan perundangan pada hari ini. Islam mengiktiraf adat yang diamalkan seperti harta sepencarian tersebut untuk dijadikan sebagai hukum syarak dan undang-undang.

Hal ini berdasarkan kaedah fiqh ‘الْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ’ yang membawa maksud: “Adat itu boleh menjadi hukum” boleh diambil kira. Oleh itu, adat resam sesuatu bangsa atau kawasan setempat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah negara.

Justeru, mahkamah syariah merupakan institusi yang mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan pembahagian dan penentuan harta sepencarian bagi setiap pasangan suami isteri. Seksyen 58 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bidang kuasa bagi mahkamah syariah untuk memutuskan isu-isu berkaitan tuntutan harta sepencarian.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Menurut Kamus Dewan, maksud bagi harta sepencarian ialah harta yang diperoleh daripada usaha suami dan isteri.[1] Harta sepencarian juga boleh diertikan sebagai harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan.[2] Harta ini juga boleh membawa maksud sebagai pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami isteri dalam tempoh perkahwinan mereka.[3]

Manakala dari sudut pengamalan perundangan, harta sepencarian umumnya tidak membawa jauh perbezaan pengertian dengan sebelumnya. Dalam hal ini, merujuk kepada kes Hajah Lijah binti Jamal lwn Fatimah binti Mat Diah pada tahun 1950, Hakim Briggs telah mendefinisikan harta sepencarian sebagai “harta yang diperolehi dalam masa mereka berkahwin sebagai suami isteri, hasil daripada daya mereka atau melalui usaha mereka bersama”.[4]

Sementara itu, negeri-negeri di Malaysia turut menafsirkan harta sepencarian di dalam Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga bagi setiap negeri. Sebagai contoh di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 memberi tafsiran Harta Sepencarian melalui Seksyen 2 “harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

Harta Sepencarian Menurut Syarak

Umumnya, Islam memberi pengiktirafan kepada setiap individu terhadap pemilikan harta. Oleh itu, setiap pasangan suami dan isteri berhak memilik sebarang harta kerana ikatan perkahwinan tidak menafikan atau membataskan hak tersebut. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Surah al-Nisa’ (32)

Secara asasnya, konsep dan amalan harta sepencarian tidak wujud sedari awal zaman kedatangan Islam mahupun ketika zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Oleh kerana itu, perbincangan dan perbahasan khusus berkaitan harta sepencarian tidak didapati dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar dalam kalangan ulama silam timur tengah.[5]

Sungguhpun begitu masih terdapat beberapa penulisan ulama silam yang membincangkan tentang harta suami dan isteri sebagai Mata‘ al-Bayt (perkakas rumah) atau Mal al-Zawjayn (harta suami isteri). Namun tidak diistilahkan sebagai harta sepencarian. Oleh itu, beberapa contoh pandangan ulama’ yang menunjukkan wujud asasnya harta sepencarian walaupun terdapat beberapa perbezaan yang diamalkan pada hari ini.[6]

Imam Syafie berkata dalam kitabnya:

إذَا اخْتَلَفَ الرَّجُلُ وَالْمَرْأَةُ فِي مَتَاعِ الْبَيْتِ الَّذِي هُمَا فِيهِ سَاكِنَانِ وَقَدْ افْتَرَقَا أَوْ لَمْ يَفْتَرِقَا أَوْ مَاتَا أَوْ مَاتَ أَحَدُهُمَا فَاخْتَلَفَ وَرَثَتُهُمَا أَوْ وَرَثَةُ أَحَدِهِمَا بَعْدَ مَوْتِهِ فَذَلِكَ كُلُّهُ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Apabila berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan terhadap harta benda dan perkakas rumah yang mana kedua mereka mendiami rumah tersebut dan mereka berpisah (bercerai) atau sekalipun tidak berpisah, atau kedua suami dan isteri atau salah seorang itu meninggal dunia, dan berlaku pertelingkahan antara waris kepada kedua-dua belah pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada salah satu dari kedua pihak ini; maka kedudukan cara penyelesaian semuanya adalah serupa”.[7]

Kenyataan di atas menunjukkan secara tidak langsung sebahagian maksud amalan harta sepencarian. Hal ini juga dinyatakan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj yang menukilkan kenyataan Imam Syafie bahawa jika bertelingkah suami dan isteri ketika masih dalam perkahwinan atau selepas perceraian untuk memiliki harta benda seperti perkakas rumah maka menjadi milik bagi sesiapa yang mempunyai bukti atau bersumpah sebagai pemilik barangan tersebut. Jika kedua-duanya bersumpah maka dibahagikan sama rata antara satu sama lain.[8]

Hal ini juga disebabkan amalan harta sepencarian ini hanya berlaku dalam kalangan penduduk Islam Nusantara yang meliputi negara-negara di sekitar Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Kemboja. Ia merupakan adat setempat yang telah diterima sebagai hukum dalam kalangan umat Islam di rantau Nusantara.[9]

Sejak dahulu lagi amalan harta sepencarian ini dapat dilihat melalui adat pepatih dan adat temenggung di Malaysia. Namun terdapat beberapa perbezaan amalan harta sepencarian pada hari ini.[10] Oleh yang demikian, Islam mengiktiraf bahawa adat, baik secara khusus ataupun umum adalah menjadi salah satu sumber Hukum Syarak.[11]

Hal ini dijelaskan di dalam Hadis Nabi SAW:

مَا رَأَى الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ سَيِّءٌ

Maksud:Apa yang dilihat daripada umat Islam baik maka ia adalah baik di sisi Allah SWT, dan apa yang dilihat daripada umat Islam buruk maka ia adalah buruk di sisi Allah SWT.”

Riwayat al-Hakim (4465)

Hadis di atas dinilai sebagai hadis yang sahih menurut al-Zahabi.[12] Menerusi hadis tersebut maka terbit satu kaedah fiqh yang mengiktiraf adat sebagai hukum syarak iaitu ‘الْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ’ yang membawa maksud: “Adat itu boleh menjadi hukum” boleh diambil kira. Oleh itu, adat resam sesuatu bangsa atau kawasan setempat yang tidak bertentangan dengan syariat islam boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah negara.[13]

Kesimpulan

  1. Harta sepencarian merupakan sebahagian adat dan amalan kebiasaan bagi sebilangan masyarakat setempat. Namun terdapat perbezaan istilah dan amalan bagi terma harta sepencarian yang diguna pakai oleh masyarakat yang beradat pepatih dan temenggung dengan amalan perundangan pada hari ini.
  2. Islam mengiktiraf adat yang diamalkan seperti harta sepencarian tersebut untuk dijadikan sebagai hukum syarak dan undang-undang selagi mana ia tidak melanggar batasan syariat. Wallahu A‘lam.
  3. Justeru, mahkamah syariah merupakan institusi yang mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan pembahagian dan penentuan harta sepencarian bagi pasangan suami isteri. Seksyen 58 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bidangkuasa bagi mahkamah syariah untuk memutuskan isu-isu berkaitan tuntutan harta sepencarian.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Kamus Dewan, ed. Ke-3 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000)

[2] M.B. Hooker, The Personal Laws of Malaysia: An Introduction (Oxford University Press, 1976), 77

[3] Azlina binti Abd Latif, Harta Sepencarian: Pelaksanaan dan Penilaian menurut Hukum Syarak (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2004), 14.

[4] Rujuk keputusan dalam kes Hajjah Lijah bt Jamal V Fatimah bt Mat Diah [1950] MLJ 63; Infra, Rujuk juga dalam Jurnal Hukum (1981-1982), Jld II, Bhgn I & II, 84.

[5] Mohamad Norhusairi, Mohd Hafiz, Harta Sepencarian vs Harta Perkahwinan dalam Perundangan Sivil: Satu Sorotan Ringkas, Jurnal al-Basirah, 2016, Vol.6 No.1, hlm.84.

[6] Ibrahim Lembut, Kaedah Dan Keseragaman Pembahagian Harta Sepencarian Dalam Harta Pusaka dalam Konvensyen Pewarisan Harta Islam, (Kuala Lumpur:Amanah Raya Berhad,2007), hlm.8.

[7] Al-Syafie, al-Umm, Dar al-makrifah: Beirut, 1990, jld.5, hlm.103.

[8] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, Dar al-Fikr: Beirut, 1984, jld.5, hlm.87.

[9] Mohammad Taifor Bin Ahmad Rusdi, Harta Sepencarian:Klasifikasi,Prosedur Dan Pelaksanaan Di Mahkamah Syariah Di Malaysia, Diakses pada 8 Februari 2022, Rujuk pautan : https://www.ikim.gov.my/wp-newest/wp-content/uploads/2020/08/HS-IKIM-Taifor-Rusdi.pdf

[10] Mohamad Norhusairi, Mohd Hafiz, Harta Sepencarian vs Harta Perkahwinan dalam Perundangan Sivil: Satu Sorotan Ringkas, Jurnal al-Basirah, 2016, Vol.6 No.1, hlm.82-83.

[11] Rujuk dalam Perkara 36, Majalah Ahkam al-Adliyyah, (Beirut: Matba’ah Sya’ariku 1968).

[12] al-Hakim al-Naisaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Dar al-kutub al-Ilmiyyah: Beirut, 1990, Jld 3, hlm 83.

[13] al-Suyuti, al-Asybah wa al-Naza’ir, jil. 1 (Beirut: Dar al-Kitab al-Ilmiyyah, 1990), 92.

[الْمَبْحَثُ الثَّانِي: تُعْتَبَرُ الْعَادَةُ إذَا اطَّرَدَتْ فَإِن اضْطَرَبَتْ فَلَا]

إنَّمَا تُعْتَبَرُ الْعَادَةُ إذَا اطَّرَدَتْ، فَإِنْ اضْطَرَبَتْ فَلَا. وَإِنْ تَعَارَضَتْ الظُّنُونُ فِي اعْتِبَارِهَا فَخِلَافٌ.