اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-667: HUKUM PERKAHWINAN SAUDARA SUSUAN DAN STATUS ANAK

IRSYAD_FATWA_KALI_KE_667_HUKUM_PERKAHWINAN_SAUDARA_SUSUAN_DAN_STATUS_ANAK.jpg

 

Soalan:

Ahmad telah berkahwin dengan Diana selama 7 tahun dan dikurniakan 2 orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Baru-baru ini Ahmad dan Diana telah disahkan merupakan adik-beradik susuan, dan keadaan ini telah merunsingkan mereka daripada sudut hubungan perkahwinan dan status anak-anak. Adakah mereka perlu dipisahkan? Bagainama pula dengan anak-anak mereka?

Ringkasan Jawapan:

Jika telah dipastikan bahawa pasangan tersebut benar-benar memilki pertalian saudara susuan mereka perlu merujuk kepada mahkamah untuk dilakukan pembubaran perkahwinan (fasakh). Manakala anak-anak hasil dari hubungan tersebut boleh dibinkan(dinasabkan) kepada ayah mereka.

Huraian Jawapan:

Islam mengharamkan perkahwinan antara adik beradik susuan. Pengharaman ini  berdasarkan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمْ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنْ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Siapa yang haram dinikahi atas sebab hubungan kekeluargaan, mereka juga haram dikahwini dengan sebab hubungan susuan. Begitu juga dari sudut batasan aurat dan hubungan mahram. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Diharamkan dengan sebab susuan itu perkara yang haram dengan sebab nasab (kekeluargaan).”

(Riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun di sisi mazhab Syafi’i seseorang anak itu dianggap  sebagai anak susuan apabila memenuhi empat syarat[1]:

  • Usia bayi tidak melebihi 2 tahun.
  • Lima kali susuan yang terpisah.
  • Susu tersebut sampai ke dalam perut bayi.
  • Bayi tersebut masih lagi hidup.

Pernikahan antara saudara susuan disebut sebagai pernikahan yang fasid(rosak). Jika telah dipastikan bahawa suami dan isteri merupakan saudara susuan maka mereka perlu merujuk kepada pihak mahkamah untuk dilakukan pembubaran perkahwinan (fasakh). Perkara ini ditegaskan oleh para ulama antaranya Imam Khatib al-Syirbini di dalam karyanya:

 (وَلَوْ قَالَ زَوْجَانِ: بَيْنَنَا رَضَاعٌ مُحَرِّمٌ) بِشَرْطِهِ السَّابِقِ (فُرِّقَ بَيْنَهُمَا)

Maksudnya: “Jika suami dan isteri mengatakan bahawa di antara mereka ada hubungan susuan yang mengharamkan (mereka untuk berkahwin) berdasarkan syarat-syarat yang terdahulu maka mereka wajib dipisahkan[2].”

Menurut Imam al-Syirbini lagi, fasakh untuk perkahwinan yang disebabkan oleh hubungan susuan perlu dilakukan dengan serta merta. Beliau berkata:

وَأَمَّا الْفَسْخُ فِي النِّكَاحِ بِالرِّدَّةِ وَالرَّضَاعِ وَالْإِعْسَارِ، فَمِنْ حِينِهِ قَطْعًا، وَكَذَا الْخُلْعُ اهـ

Maksudnya: "Adapun fasakh nikah dengan sebab murtad, penyusuan dan kesusahan hidup (sehingga tidak mampu untuk memberi nafkah) perlu dilakukan dengan serta merta menurut persepakatan ulama sebagaimana juga khulu'. [3]’'

Para ulama bersepakat bahawa anak-anak yang hasil dari pernikahan yang fasid boleh dibinkan(dinasabkan) kepada bapa mereka. Dalam kitab al-Majmu’ disebutkan bahawa anak yang hasil dari pernikahan yang fasid seperti pernikahan antara saudara susuan boleh dinasabkan kepada bapa mereka sebagaimana pernikahan yang sah[4].

Tuntasnya, Pernikahan antara saudara susuan adalah tidak sah dan perlu dipisahkan dengan serta merta. Walau bagaimanapun berkait nasab anak-anak yang hasil dari pernikahan tersebut mereka boleh dinasabkan kepada bapa mereka berdasarkan kepada kesepakatan para ulama.

 

[1] Imam al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri, Beirut: Dar al-Minhaj (2016), cet. 1, jld. 3, hlm. 625..

[2] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), cet. 1,  jld. 5, hlm 147.

[3] Ibid, jld.4, hlm. 343.

[4] Imam al-Nawawi, Imam al-Subki & al-Muti’e, al-Majmu’ Syarrh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 18, hlm, 149.

 

 

 


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+