اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-672: HUKUM MENDOAKAN KESEMBUHAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM YANG DIJANGKITI WABAK

 

HUKUM MENDOAKAN KESEMBUHAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM YANG

Soalan:

Assalamualaikum, Datuk mufti. Di sini saya ada soalan yang ingin diajukan. Memandangkan situasi semasa dunia sedang diuji dengan wabak Covid-19 yang mana setiap manusia turut diuji dengan jangkitan virus tanpa mengira agama. Oleh itu, adakah dibolehkan bagi orang islam mendoakan kesembuhan kepada orang bukan islam yang dijangkiti wabak ini. Terima Kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Hukum mendoakan kesembuhan kepada orang bukan Islam yang dijangkiti virus Covid-19 adalah harus kerana mendoakan kesembuhan adalah termasuk dalam doa kepada orang yang ditimpa musibah. Malah umat Islam digalakkan untuk berdoa agar mereka yang ditimpa musibah dan dijangkit wabak merbahaya ini diberi kesembuhan kerana ia merupakan salah satu ikhtiar untuk mengangkat wabak ini dari terus merebak.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT menyuruh hambanya untuk berlaku ihsan serta berbuat baik sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama, kaum, bangsa dan warna kulit berdasarkan sepotong ayat melalui firman-Nya:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ﴿٨﴾

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Al-Mumtahanah: 8)

Berdasarkan ayat berikut, dapat difahami bahawa tiada halangan bagi umat Islam untuk berbuat  baik kepada orang bukan Islam. Bahkan Ibnu Kathir telah menafsirkan ayat tersebut  di dalam karyanya bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah.[1]

(Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim: 8/90)

Hal ini juga sama seperti mana berdoa kepada orang bukan Islam yang mana isu ini telah dibincangkan oleh ulama berkenaan hukumnya. Sesungguhnya terdapat beberapa keadaan yang mengharuskan umat islam untuk mendoakan kebaikan kepada orang bukan Islam. Pertama, mendoakan orang kafir perkara-perkara yang berkaitan keduniaan seperti diberikan kekayaan dan kesenangan.

Hal ini telah dinyatakan oleh Imam Baihaqi tentang kisah yang berkaitan ‘Uqbah bin Amir al-Juhani berdoa kepada kaum Nasrani yang mana lafaz doanya adalah seperti berikut:

"إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ وَبَرَكَاتَهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ، لَكِنْ ‌أَطَالَ ‌اللَّهُ ‌حَيَاتَكَ، وَأَكْثَرَ مالك، وولدك"

Maksudnya: “Sesungguhnya rahmat dan berkat Allah hanya untuk orang-orang mukmin, akan tetapi semoga Allah memanjangkan umurmu dan memperbanyakkan hartamu serta anak-anakmu.”[2]

(al-Sunan al-Kubra: 19/71)

Berdasarkan kisah tersebut, dapat difahami bahawa harus bagi orang islam mendoakan kesenangan dan kesejahteraan bagi orang kafir.

Kedua, berdoa supaya diberi petunjuk dan hidayah kepada orang kafir juga termasuk dalam doa yang dibenarkan bahkan umat Islam disarankan untuk berbuat perkara yang demikian. Dalam hal ini para ulama’ turut mengharuskannya berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A:

قَدِمَ طُفَيْلُ بْنُ عَمْرٍو الدَّوْسِيُّ وَأَصْحَابُهُ، عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ دَوْسًا عَصَتْ وَأَبَتْ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهَا، فَقِيلَ: هَلَكَتْ دَوْسٌ، قَالَ: "اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ"

Maksudnya: “(Suatu hari) Thufail bin ‘Amr al-Dausi dan para sahabatnya datang kepada Nabi SAW, lalu mereka berkata: Ya Rasulullah, Sesungguhnya Qabilah Daus telah kufur dan menolak dakwah Islam, Maka Doakanlah keburukan untuk mereka! Lalu yang berdoa itu berkata: “Hancurlah Kaum Daus”, Baginda bersabda: “Ya Allah, berilah hidayah kepada Qabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku).” [3]

(Riwayat Bukhari: 2937)

Ketiga, berdoa supaya diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik juga diharuskan selagi mana doa tersebut tidak melibatkan keampunan setelah mati. Perkara ini juga berdasarkan pandangan majoriti ulama termasuk Imam Ibn Hajar al-Haytami seperti mana dalam karangannnya:

وَيَجُوزُ ‌الدُّعَاءُ ‌لِلْكَافِرِ بِنَحْوِ صِحَّةِ الْبَدَنِ وَالْهِدَايَةِ

Maksudnya: “Harus berdoa untuk orang kafir dalam perkara seumpama sihat tubuh badan dan hidayah.”[4]

(Tuhfat al-Muhtaj: 2/88)

 

Kesimpulan:

Berdasarkan beberapa pandangan yang telah dinyatakan, hukum mendoakan kesembuhan kepada orang bukan Islam yang dijangkiti virus Covid-19 adalah harus kerana mendoakan kesembuhan adalah termasuk dalam doa kepada orang yang ditimpa musibah. Malah umat Islam digalakkan untuk berdoa agar mereka yang ditimpa musibah dan dijangkit wabak merbahaya ini diberi kesembuhan kerana ia merupakan salah satu ikhtiar untuk mengangkat wabak ini dari terus merebak.

Wallahu A’lam..

 

[1] Al-Qurasyi, Abu al-Fida’ bin Ismail bin Kathir. (1420H/1999M) Tafsir Al-Quran Al-‘Azim. Tahqiq: Sami bin Muhammad Al-Salamah. Cetakan2. Dar Tayyibah. J8 h89. Teks Asal :

لَا يَنْهَاكُمْ عَنِ الْإِحْسَانِ إِلَى الْكَفَرَةِ الَّذِينَ لَا يُقَاتِلُونَكُمْ فِي الدِّينِ، كَالنِّسَاءِ وَالضَّعَفَةِ مِنْهُمْ   

[2]  Al-Baihaqi, Abu Bakar bin al-Husain bin ‘Ali. (2011M/1432H). Al-Sunan al-Kubra. Tahqiq: ‘Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki. Cetakan 1. Kaherah: Markaz Hijr.  J19 h71.

[3] Bukhari, Abu ‘Abdullah dan Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Mughirah (T.T) . Sohih al-Bukhari. Tahqiq: Jamaah Ulama’. Al-Sultaniyyah: Matba’ah al-Kubra al-Emiriah.

[4] Al-Haytami, Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar. (1983M/1357H). Tuhfat al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj. Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra. 


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+