اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-29 : PUSINGAN MATAHARI TANDA KEKUASAAN ALLAH

BAYAN FALAK 23 01 1

 

Allah SWT telah menjadikan matahari dengan pelbagai fungsi antara adalah untuk mengetahui waktu solat, membuat perkiraan takwim dan sebagainya. Allah SWT telah berfirman:

فَالِقُ الْإِصْبَاحِ وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Maksudnya: Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-An’am (96)

Allah SWT juga berfirman dalam ayat yang lain:

وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِي لِمُسۡتَقَرِّ لَّهَاۚ ذَٰلِكَ تَقۡدِيرُ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡعَلِيمِ

Maksudnya:Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”

Surah Yasin (38)

Kekuasaan Allah SWT meliputi segala bentuk kejadian. Ayat di atas merupakan salah satu tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT terhadap ciptaan-Nya sang matahari yang beredar pada orbitnya sehingga ke penghujung pusingannya.

Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam tafsirnya, al-Tafsir al-Munir fi al-'Aqidah wa al-Syari'ah wa al-Manhaj, pusingan matahari adalah satu ketentuan dan ketetapan dari Allah SWT. Menurut beliau lagi, ulama tafsir mentafsirkan kalimah mustaqar kepada dua iaitu tempat (makani) dan masa (zamani).

Pendapat pertama menyatakan bahawa matahari beredar di tempatnya iaitu di bawah 'Arasy yang hampir dengan bumi pada satu arah di mana kedudukan matahari dan sekalian makhluk masih tetap berada di bawah 'Arasy. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa matahari akan terus beredar ke tempatnya sehingga tibanya hari kiamat.

Perkara ini telah dibuktikan dengan pandangan ahli astronomi bahawa terdapat pertambahan putaran matahari secara jelas di tengah-tengah bintang disebabkan pusingan bumi di sekeliling matahari setahun sekali. Bagi matahari, terdapat dua pergerakan yang lain iaitu pusingan di atas paksi dan pusingan berserta dengan pengiringan planet-planet yang bergerak di sekitar sistem solar dan galaksi dengan kecepatan yang amat tinggi.

Mustaqar pada pandangan yang pertama adalah merupakan paksi yang tetap manakala pandangan kedua pula merujuk kepada pergerakan sistem solar bersama-sama kumpulan planetnya. (Rujuk al-Tafsir al-Munir fi al-'Aqidah wa al-Syari'ah wa al-Manhaj, 15/23)[1]

Berdasarkan pandangan-pandangan yang diutarakan, dapat difahami bahawa peredaran matahari yang dahulunya difikirkan statik, sebenarnya sentiasa beredar di orbitnya dan pengakhiran pusingannya hanya di dalam pengetahuan Allah SWT.

Menurut kajian ahli astronomi, matahari bergerak dengan kecepatan luar biasa yang mencapai 720 ribu km/j dalam sebuah garis edar yang mengelilingi Bima Sakti. Ini bererti matahari bergerak sejauh kurang lebih 17,280,000 km dalam sehari. Matahari bergerak bersama-sama semua planet di sekitar sistem solar dan galaksi bagi menempuh jarak ini.[2] Cahaya matahari yang dihasilkan oleh proses kimia di permukaannya telah berlaku sejak lima bilion tahun dahulu. Oleh itu, apabila matahari kehilangan bahan api pada suatu masa nanti, maka kehidupan di bumi akan pupus.

Penemuan-penemuan tersebut dibuktikan dengan apa yang terkandung di dalam tafsiran ayat di atas. Ini bermakna, al-Quran dan sains saling berkait rapat dan setiap kejadian itu berlaku dengan perancangan yang teliti dan tidak mungkin berlaku dengan sendirinya. Inilah yang dikatakan sebagai kekuasaan, kebesaran, dan keagungan Allah SWT.

Ini dapat difahami daripada kata-kata Imam al-Ghazali tentang merenung hikmah ciptaan Allah SWT. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa jalan untuk mengenal Allah (makrifatullah) dan mengagungkan-Nya itu adalah dengan cara memikirkan setiap makhluk-Nya, merenung keajaiban-keajaiban dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalam segenap ciptaan-Nya. (Rujuk Kimiya’ al-Saadah, hlm 124)[3]

Kesimpulannya, Allah SWT menjadikan matahari beredar pada paksinya dengan hikmah-hikmah tertentu. Ia juga menjadi bukti bahawa Allah SWT telah menjadikan matahari itu sentiasa bergerak dan sekali gus menolak dakwaan yang mengatakan bahawa ia statik. Sesungguhnya, Allah SWT berkuasa ke atas segala sesuatu.

 Rujukan

[1] {وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَها، ذلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ} أي وآية مستقلة دالة على قدرته تعالى: دوران الشمس في فلكها إلى نهاية مدارها، وذلك الدوران تقدير من الله القاهر الغالب كل شيء، المحيط‍ علمه بكل شيء. وهناك قولان للمفسرين في تفسير المستقر: الأول-أن المراد مستقرها المكاني وهو تحت العرش مما يلي الأرض من ذلك الجانب، وهي أينما كانت فهي وجميع المخلوقات تحت العرش. والثاني-أن المراد مستقرها الزماني وهو منتهى سيرها، وهو يوم القيامة.

[2] Hodgson, J. (2003). Philips Encyclopedia 2003 m/s 393.

[3] اعلم أن مفتاح ‌معرفة ‌الله تعالى هو معرفة النفس، كما قال سبحانه وتعالى: (سَنُريهِم آياتِنا في الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّى يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ) .

وقال النبي صلى الله عليه وسلم:) من عرف نفسه فقد عرف ربه (. وليس شيء أقرب إليك من نفسك، فإذا لم تعرف نفسك، فكيف تعرف ربك؟ فإن قلت: إني أعرف نفسي! فإنما تعرف الجسم الظاهر، الذي هو اليد والرجل والرأس والجثة، ولا تعرف ما في باطنك من الأمر الذي به إذا غضبت طلبت الخصومة، وإذا اشتهيت طلبت النكاح، وإذا جعت طلبت الأكل، وإذا عطشت طلبت الشرب