اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN MENYANTUNI MAHASISWA UNIVERSITI AL-AZHAR

KAHERAH, MESIR, 16 FEBRUARI 2022 - Bersempena dengan lawatan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah ke Republik Arab Mesir pada 12 hingga 16 Februari 2022 lalu beberapa program bersama  mahasiswa Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar telah diadakan di Rumah Negeri Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Pahang.

Program berbentuk sembang santai interaktif dan forum ini membincangkan tajuk berkaitan “Masa Depan Graduan Al-Azhar Dalam Bidang Kefatwaan dan Kewangan Islam” telah menarik lebih 500 pelajar menyertainya. Forum membariskan panel-panel yang terdiri daripada SS Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, Datin Dr. Wan Marhaini binti Wan Ahmad, Pensyarah Kanan, Universiti Malaya dan SS Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.

Keperluan graduan Al-Azhar memiliki "multi tasking" dari aspek menguasai kitab turath, kemahiran bahasa selain bahasa ibunda, kemahiran "soft skill" dan multimedia adalah antara beberapa aspek yang disentuh ahli panel. Graduan Syariah khususnya mempunyai peluang cerah menyertai sektor kewangan Islam dan berkhidmat di sektor perbankan dan takaful.

SS Datuk Dr. Mufti juga menitipkan pesanan agar mahasiswa Al-Azhar pulang ke tanah air mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat melalui pelbagai platform seperti dakwah dan pendidikan. Beliau juga menekankan perlunya mempertahankan manhaj sedia ada berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah terbukti membawa keamanan dan perpaduan dalam negara.