اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DI KAMPUNG ORANG ASLI RENING, CAMERON HIGHLANDS ANJURAN PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

CAMERON HIGHLANDS, 30 MAC 2022 – Mufti Care, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat di Kampung Orang Asli Rening, Cameron Highlands yang diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Seramai 30 orang pegawai PMWP terlibat dalam menyantuni 55 keluarga masyarakat orang asli di kampung berkenaan. Program ini adalah kerjasama strategik yang melibatkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), dan QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Program Khidmat Masyarakat ini merupakan program Mufti Care berteraskan kefatwaan, keilmuan, dakwah dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh PMWP dengan memfokuskan kepada aspek dakwah dan kemasyarakatan dengan mendampingi masyarakat orang asli dengan membawa penghayatan Islam kepada mereka di samping mengeratkan hubungan dan menanam sikap prihatin dalam kalangan masyarakat setempat. Program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara PMWP dengan masyarakat setempat terutamanya.

Beberapa acara menarik telah diadakan antaranya beramah mesra, sukaneka dan bergotong royong bersama masyarakat di kampung orang asli tersebut. Dalam pertemuan ini juga, SS Tuan Haji Jamali berjaya mengislamkan seorang wanita daripada kampung tersebut iaitu Saudari Lisa bersaksikan Encik Saiful Idham, Ketua Qadhi, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands dan Encik Faizul, Penggerak Masyarakat Orang Asli Cameron Highlands.

Sebelum mengakhiri program, SS Tuan Haji Jamali telah menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau juga menyatakan hasrat untuk meneruskan program-program seperti ini pada masa akan datang. Penyampaian barang-barang sumbangan berbentuk material dan kewangan daripada pihak-pihak kerjasama strategik yang dibantu oleh Encil Abdul bin Busu, Tok Batin Kampung Orang Asli Rening, Cameron Highlands dan Encik Faizul, Penggerak Kampung Orang Asli Cameron Highlands kepada masyarakat orang asli kampung tersebut.