اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNG HORMAT PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN KEPADA PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH CAMERON HIGHLANDS

CAMERON HIGHLANDS, 31 MAC 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan bersama beberapa orang pegawai PMWP telah membuat kunjungan hormat kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Cameron Highlands, Pahang hari ini.

SS Tuan Haji Jamali dan rombonganya telah disambut baik serta diraikan dengan juadah yang telah disediakan oleh pihak PAID, Cameron Highlands di pejabat mereka. Seterusnya, majlis kunjungan ini diteruskan dengan sesi taklimat dan ramah mesra antara pihak PMWP dan PAID, Cameron Highlands.

Pelbagai maklumat telah dikongsikan terutamanya berkaitan hal-hal pentadbiran dan pengurusan PAID di Cameron Highlands. Perkongsian ini telah dikongsikan oleh Alfadhil Tuan Haji Saiful Idham bin Sahimi, Qadi Pejabat Agama Islam Daerah, Cameron Highlands.

SS Tuan Haji Jamali juga turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada PAID, Cameron Highlands atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan Program Khidmat Masyarakat anjuran PMWP di Kampung Orang Asli Rening, Cameron Highlands pada 30 Mac 2022.

Di akhir kunjungan, PMWP dan PAID, Cameron Highlands telah menyampaikan cenderamata antara satu sama lain sebagai lambang hubungan baik dan mesra kedua-dua belah pihak. PMWP telah menyumbangkan beberapa buku terbitannya untuk menjadi rujukan kepada ahli jamaah di masjid dan surau di Cameron Highlands.