اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #42: TELEMOVIE DEMI TUHAN AKU BERSAKSI: PENDAPAT KAMI

demi Tuhan Aku Bersaksi.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji kami panjatkan kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para sahabatnya dan yang mengikut jejak langkah hingga ke hari akhirat.

Setelah seminggu polemik sebuah telemovie yang bakal disiarkan dengan tajuk Demi Tuhan Aku Bersaksi terbitan Prokuya Studios yang menjadi Pro dan Kontra oleh sebahagian masyarakat dengan pelbagai ulasan berasaskan sedikit gambaran atau trailer yang ditonton.

Sebagai berlaku adil[1] kepada semua pihak, makanya kami telah diminta untuk memberi ulasan berkenaan telemovie tersebut. Pada hari Jumaat yang lepas, 9 Ogos 2019, kami bersama dengan beberapa tokoh agama dan ashab al-fadilah[2] yang terbabit dalam institusi tahfiz telah dapat melihat telemovie tersebut yang berdurasi hampir 1 jam 40 minit.

Kami mengemukakan ulasan dalam Qalam Mufti ini selepas mengadakan syura dan perbincangan dengan rakan taulan serta mengambil buah fikiran mereka berkenaan dengan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi.

Telemovie ini telah menampilkan sejumlah pelakon[3] yang berpengalaman.

 

Sinopsis Telemovie Ini

Telemovie ini memaparkan kisah berkenaan dengan seorang anak muda yang terbabit dalam kehidupan sebagai seorang mak nyah (Hamid lakonan Mohammad Syafie Naswip) yang berusaha bertaubat dan mencari jalan hidayah. Dengan tekad untuk mengubah kehidupan dirinya dan kembali ke pangkal jalan, beliau tinggalkan kehidupan gelapnya itu dan pulang ke rumah. Tetapi malangnya, ayahnya tidak dapat menerima sikap anaknya itu yang menyebabkan beliau dihalau keluar dari rumah sekalipun cuba dihalang oleh ibunya. Akhirnya, Hamid bertemu dengan rakan sekampungnya yang mencadangkan supaya belajar di sebuah pondok di kampungnya.

Kehadiran Hamid tidak disenangi oleh tiga pelajar senior di situ yang dikepalai oleh Latif yang sering memerli dan membulinya serta bersikap sedikit samseng. Hamid menjadi mangsa buli Latif dan rakan-rakannya, kemudian difitnah sehingga menyebabkannya dihalau oleh ustaznya.

Sahabat baiknya Airil yang sering mempertahankannya juga turut menjadi mangsa fitnah tersebut dan pulang ke rumahnya mencari pekerjaan sebelum diberitakan meninggal ketika sedang solat.

Ketika Hamid hampir-hampir kecewa sehingga hampir mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur bertemu komunitinya menjadi mak nyah semula, beliau dinasihatkan seseorang untuk cuba bertemu Kiyai Mustafa (guru kepada ustaz yang mengusirnya dari pondok tersebut). Beliau berusaha mendapatkan peluang kedua.

Di rumah Kiyai tersebut, Hamid dibimbing dengan penuh ikhlas oleh Kiyai sehingga akhirnya beliau mampu berubah dan beristiqamah walaupun lenggak lenggok masih kelihatan lembut. Walaupun berjauhan dengan ibunya, tetapi Hamid sentiasa menghubungi ibunya jika berkelapangan dan memohon maaf kerana tidak dapat memberikan bantuan sewajarnya kepada ibunya tersebut. Pernah seketika Kiyai mendengar perbualan Hamid dan ibunya.

Kiyai kemudian menasihatkan Hamid untuk pulang bertemu ayahnya yang lumpuh akibat strok. Hadir sama ke rumahnya, kiyai itu sendiri memberi semangat kepada Hamid untuk bertemu dengan keluarganya terutama ayahnya.

Babak seterusnya agak sedih melihat ayahnya sangat menyesal kerana membuang Hamid dahulu dan hanya mampu menangis teresak-esak mendengar Hamid yang sudah pandai mengaji membacakan al-Quran di sisinya sehingga tiba-tiba ayah Hamid nazak dan menemui ajalnya, namun sempat diajar bersyahadah oleh Hamid sendiri.

Hamid diperli orang kampungnya dan abang kandungnya sendiri yang menjauhinya serta menggelarnya “pondan” sehingga mengganggu emosi dirinya.

Hamid dengan bantuan Kiyai kemudiannya didatangi ustaz yang menghalaunya dahulu yang sedar akan kesilapannya lalu meminta maaf bersungguh-sungguh.

Namun ketika menziarahi pondok lamanya, beliau diganggu semula oleh Latif yang mendakwa kehadiran Hamid telah mengganggu dirinya untuk berubah. Rupanya Latif sememangnya berkecenderungan gay yang juga sedang berusaha mengubah dirinya di pondok tersebut, namun hampir kecundang kerana kehadiran lelaki lembut seperti Hamid.

Sebelum sempat Latif melakukan apa-apa, Kiyai dan ustaz tiba lalu menamparnya. Hamid cuba membelanya dan memberikan peluang untuk Latif berubah.

Pada satu ketika, Hamid bersama gurunya telah pergi menguruskan satu jenazah dan Latif melihatnya. Dalam keadaan begitu, Latif amat-amat menginsafi tindakannya yang lalu kerana kepura-puraannya. Dia menanti dengan tabah untuk bertemu dengan Hamid dan meluahkan perasaannya. Akhirnya Latif benar-benar insaf dan berterima kasih pada Hamid yang sentiasa memaafkannya dan memberi galakan pada dirinya untuk berubah.

 

Pendapat Kami

Pendapat kami seperti berikut:

  • Lakonan yang dimainkan oleh pelakon secara keseluruhannya amat ‘menjadi’ dan kelihatan real. Tahniah kepada pengarah yang berjaya menghidupkan watak-watak dalam telemovie tersebut.
  • Jalan cerita amat menarik dan lain dari yang lain. Sekalipun mengisahkan berkenaan dengan mak nyah, tetapi ia pada mukadimahnya sahaja sebagai isyarat kelakuannya pada masa silam sebelum bertaubat.
  • Kesan perilaku maknyah dikekalkan oleh Hamid dari sudut percakapan dan lenggang lenggok dengan sifat ‘kelembutan’ dibawa hingga ke akhir kisah.
  • Gambaran pembelajaran di Tahfiz tidak dizahirkan kecuali sedikit iaitu ketika berada di pondok oleh gurunya.
  • Gambaran kebiadaban Latif kepada gurunya pada realiti jarang berlaku serta sikap guru tanpa usul periksa mengundang kesesalan pada akhirnya. Plot cerita yang menarik menggambarkan situasi sebahagian kehidupan.
  • Nilai pada cerita ini dan iktibar yang mungkin dapat diambil:
    1. Keseimbangan kehidupan dalam beribadah dan berinteraksi sesama kita. Iaitu ramai orang hanya menumpukan ilmu dan ibadat tanpa menyedari telah merosakkan hubungan sesama manusia bahkan menyakiti dan memfitnahnya.
    2. Bahana fitnah dan tuduhan melulu secara tergesa-gesa serta menjatuhkan hukuman tanpa soal selidik dan tabayyun[4]. Ini yang paling banyak terjadi dalam kehidupan kita.
    3. Sifat adil dalam menjatuhkan hukuman tidak berlaku pada episod awal kisah Hamid dibuang dengan hanya mempercayai sebelah pihak tanpa usul periksa. Inilah yang sering terjadi.
    4. Ilmu tanpa amal banyak mendatangkan mudarat. Iaitu sikap Latif dan rakan-rakannya yang telah bertahun belajar, namun masih tidak mampu membendung hasad, dan sikap buruknya menyakiti orang lain.
    5. Terdapatnya sikap terpuji dengan mengaku kesilapan diri dan memohon maaf. Begitu juga sifat pemaaf dizahirkan.
    6. Telemovie ini memaparkan sifat anak yang ingin berbakti kepada kedua ibu bapanya sekalipun beliau dalam kancah kehidupan yang gelap. Ini amat wajar diangkat kerana masih ramai yang sempurna tetapi melakukan pengabaian dalam berbakti kepada kedua ibu bapa sementelahan lagi ketika mereka di hujung usia dan ditimpa penyakit yang memerlukan sejumlah bantuan kewangan dan juga kasih sayang.

 

Cadangan Kami

Selepas menyaksikan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi, kami cadangkan beberapa perkara:

  • Bentuk trailer yang hendak disampaikan, jangan bersifat mengelirukan atau boleh mengundang persepsi yang tidak baik.
  • Nyatakan peringatan dengan nas Ilahi atau Hadyun Nabawi seperti isu tasyabbuh dan takhannuth[5] yang tidak dibenarkan dalam Islam.
  • Watak yang kembali kepada jalan sebenar hendaklah diubah pada hujung cerita agar sifat kelelakiannya dizahirkan sebagai lelaki tulen tanpa kesan dan pengaruh kemaknyahan dengan sebaik mungkin.
  • Memaparkan kesudahan yang baik dengan semua memahami kesilapan yang lalu dan kembali menjadi manusia yang berguna perlu ditekankan.
  • Kisah dengan mati terbakar memang dianggap sebagai syahid sepertimana yang telah kami paparkan dalam banyak kenyataan kami. Tetapi dalam isu ini, ia juga membawa kepada persepsi yang negatif dengan makna orang-orang yang baik mungkin mati terbakar. (Kami memahami maksud yang hendak disampaikan oleh pengarah).
  • Kami juga berpendapat, masih terdapat sisi yang boleh diperbaiki dan diislahkan dengan garapan yang lebih baik dalam menatijahkan telemovie ini dengan cemerlang.

 

Penutup

Berdasarkan ulasan di atas, kami bersetuju yang telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi adalah antara telemovie yang terbaik berkaitan isu pemuda yang ingin kembali dari sisi gelapnya untuk berubah menjadi manusia normal dan menghampirkan diri kepada Ilahi. Pengarah telah menyampaikan maksud yang hendak dinyatakan dengan olahan yang dapat difahami dengan begitu mudah, menarik dan amat baik.

Kami yakin telemovie seperti ini perlu digiatkan lagi agar masyarakat dapat menjadikannya sempadan dan teladan dalam mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan pancaroba serta tarikan ujian dalam pelbagai bentuk dan ragam. Sesungguhnya ilmu, iman, sokongan dari keluarga, masyarakat dan guru akan membentuk keperibadian unggul seseorang bahkan boleh menarik mereka yang sudah jatuh ke gaung kelalaian dan ghaflah untuk kembali menghayati sifat insani yang disulami dengan keunggulan akhlak serta tatabudaya setempat yang penuh dengan kesopanan dan ketatasusilaan.

Akhir kalam, sekali lagi kami nyatakan khilaf yang berlaku dalam komentar trailer telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi lebih bersifat andaian dan tidak melihat keseluruhan kisah yang ingin disampaikan oleh pengarah dalam olahan dan garapan telemovie ini. Tanpa apa-apa niat kecuali kami berdoa kepada Allah, semoga industri filem dan drama Malaysia boleh diangkat dengan lebih cemerlang lagi mengikut neraca Islam.

Kami begitu yakin dengan ramai pengarah filem atau drama yang berbakat, tetapi amat perlu dirujuk kepada ahli ikhtisas dalam bahagian agama atau badan berautoriti jika membabitkan isu-isu agama agar sebuah kefahaman dan sefahaman selari antara filem atau drama dengan agama. Menjadikan filem dan drama ke arah yang baik dan semangat patriotik adalah salah satu medium dakwah yang berpengaruh dan berkesan.[6]

Semoga Allah SWT memberi kepada kita kefahaman yang baik dan menunjukkan kepada kita jalan kebenaran. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

 

Nota Hujung:

[1] Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Surah al-Maidah (8)

Saidina Ali R.A berkata: “Prinsip keadilan merupakan prinsip yang signifikan dalam memelihara keseimbangan masyarakat dan/dengan mendapat perhatian.”

Sifat dan tabiat yang adil mencerminkan kesempurnaan akal dan akhlak dalam menjanjikan kebahagiaan hakiki.

Keadilan di sisi Islam salah satunya adalah dengan mengakui sifat holistik (syumuliah) dengan cara berusaha untuk mempraktikkan Islam sebagai satu panduan hidup yang sempurna.

Allamah Ibn ‘Asyur berkata: “Kemudian diikuti dengan pelbagai hukum muamalat berkaitan diantara lelaki dan perempuan, maka ia sepenting-penting perkara yang ditunjukkan ialah keadilan dan penyaksian, dan ia didahulukan daripada yang lain. Ayat ini menghimpunkan kewajiban menegakkan keadilan, penyaksian dengannya, melaksanakannya kerana Allah dan penyaksian kerananya juga.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/134-135)

[2] Dr. Kamilin Jamilin (AJK Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan), Ustaz Hj. Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS), Ustaz Hj. Ahmad Shukri bin Yusuf (CEO Pusat Pungutan Zakat MAIWP), Ustaz Mohd Dailami Che Age, Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor dan Mudir Darul Ulum Az Zahra, wakil daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Ustaz Muhammad Afiq, Ustaz Abdul Rahman, Ustaz Nazarudi dan juga wakil dari produksi dan RTM.

[3] Antaranya Fezrul Khan, Ismail Yaacob, Taqiyudin Bakar, Melanie Tan, Sheila Mambo dan Aman Graseka di samping watak utama Mohammad Syafie Naswip.

[4] Lihat artikel kami yang telah disiarkan di laman web muftiwp.gov.my dalam beberapa siri, antaranya:

  • Bayan Linnas Siri Ke 22: Berita: Konsep Tabayyun Dan Penerimaannya
  • Bayan Linnas Siri Ke 184: Tabayyun Dalam Penerimaan Dan Penyampaian Berita
  • Al-Kafi #978: Selidik Dahulu Berita Di Media Sosial

[5] Lihat artikel kami yang telah disiarkan di laman web muftiwp.gov.my dalam beberapa siri, antaranya:

  • Bayan Linnas Siri 5 : Isu Transgender, Tasyabbuh Atau Penyerupaan: Hukumnya
  • Qalam Mufti #29: Waspada Ancaman Normalisasi LGBT
  • Al-Kafi #578 : Budaya LGBT, Hadapilah Dengan Ilmu

[6] Filem seperti al-Risalah, Lion of the Desert, Siri Umar bin Abd al-Aziz dan tokoh-tokoh ulama’ seperti Musalsal Syeikh Sya’rawi dengan tajuk Imam al-Du’ah, musalsal Syeikh al-Azhar Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi dan lain-lain amat terkesan kepada penonton kerana banyak istifadah dan pengalaman hidup mereka digali dan diserlahkan kepada khalayak.