اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #55: SEMANGAT HARIMAU MALAYA & PERPADUAN SERUMPUN MENYATUKAN KITA

ih124 conflict 26736410

Perlawanan yang dinantikan ramai telah tiba. Perlawanan pertama pusingan kedua peringkat kumpulan untuk kelayakan ke Piala Dunia 2022 & Piala Asia 2023 bagi pasukan tanah air kita Malaysia (Harimau Malaya) yang akan menanti kunjungan pasukan Indonesia. Pasukan Harimau Malaya amat memerlukan kemenangan demi menghidupkan peluang yang lebih cerah untuk mara sejauh mungkin ke peringkat yang seterusnya.

Kepada pasukan Harimau Malaya:

  • Kami ucapkan selamat berjuang sehabis baik sepenuh hati. Semoga kalian semua dapat memperagakan aksi sebaik permainan bertemu Thailand tempoh hari atau lebih baik daripada itu. Ruang penambahbaikan itu pasti ada seperti contoh daripada sudut taktikal, strategi permainan, keupayaan fizikal & mental pemain dan pelbagai sudut lagi. Sesungguhnya Islam juga mengajar umatnya supaya diri kita hari ini agar sentiasa lebih baik daripada kita yang semalam.
  • Sikap terlalu yakin diri dan agak memandang rendah pada lawan juga perlu diawasi dan dihindari sejauh mungkin. Semua pemain harus fokus 100% kepada matlamat kemenangan dan arahan Jurulatih. Cukuplah Perang Uhud menjadi contoh pengajaran buat kita bilamana kelekaan para tentera Islam dan ketidakpatuhan kepada arahan ketua menyebabkan situasi kemenangan bertukar kepada kekalahan.

Kepada Ekor Harimau:

  • Sesungguhnya kami merasa lega & bersyukur saat membaca laporan sebuah laporan portal media yang menyatakan Ultras Malaya tidak berniat untuk membalas kembali apa yang telah terpaksa mereka lalui saat di Stadium Gelora Bung Karno tempoh hari. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana peritnya ujian serangan provokasi pihak ekstremis tersebut. Sewajarnya tindakan berat bagi setiap provokasi melampau yang ditangkap seperti hukuman dilarang masuk ke stadium selama-lamanya.
  • Nasihat kami, teruskan kerja baik dan murni Ultras Malaya menerajui Ekor Harimau meniup semangat pasukan Harimau Malaya, teruskan menyuburkan ukhwah dikalangan Ekor Harimau dan penyokong lawan. Laungkanlah lagu-lagu membangkitkan semangat pemain kita dan elakkanlah laungan lagu-lagu provokasi kepada pemain dan penyokong lawan. Semoga aura positif pemain ke-12 Ekor Harimau ini akan memberi semangat kepada pemain Harimau Malaya yang akhirnya akan menatijahkan kemenangan.
  • Ultras Malaya juga sedang mempunyai reputasi yang amat baik membawa nama Ekor Harimau positif di mata dunia. Kami teringat pujian Jurulatih Jordan, Vital Borkelmans, yang terpesona dan kagum dengan Ultras Malaya yang berterusan memberikan semangat sepanjang perlawan berlangsung. Beliau yang berpengalaman bersama skuad kebangsaan Belgium amat teruja dan amat menghormati Ultras Malaya sehingga sanggup jika beliau berdiri 1 jam menikmati laungan dan sorakan anda. Semoga Ultras Malaya dan Ekor Harimau akan menjadi contoh ikutan & teladan yang baik buat masyarakat dunia insya-ALLAH.

Kepada semua pemain, staf kejurulatihan, para penyokong dan seluruh rakyat Malaysia:

  • Marilah kita menunaikan tanggungjawab untuk solat. Semoga dengan solat kita yang terjaga dan doa kita semua bersama, ALLAH SWT akan menerima ibadah kita dan mengurniakan kemenangan kepada pasukan Harimau Malaya.
  • Insya-ALLAH beberapa pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga akan berkhidmat mengimamkan solat berjemaah dan juga boleh dirujuk jika ada permasalahan hukum Fiqh Musafir khususnya dalam perihal ibadah solat.

Kepada Timnas Indonesia dan penyokong Garuda:

  • Ahlan wa sahlan, selamat datang ke negara serumpun anda.
  • Kami mengalu-alukan kehadiran anda dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
  • Sebagaimana kami mengasihi keluarga kami, begitulah jua kasih kami kepada anda semua.
  • Kita berkongsi budaya, darah keturunan dan agama yang sama. Air yang dicincang tidak akan putus.

Pesan terakhir buat Harimau Malaya. Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia mendambakan kemenangan. Ayuh, Harimau Malaya buktikan kehebatan anda. Teruslah mengaum dengan garang hingga ke minit yang terakhir. Demi lencana di dada!

Menang tidak angkuh dan gah,
Kalah tidak pula jatuh dan rebah.