اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-39: 10 MUHARRAM: KELEBIHAN & FAKTANYA

Terdapat banyak kelebihan dan fadhilat pada 10 Muharram berdasarkan nas dan hadis yang sahih. Kami mendapati bahawa 10 Muharram cukup istimewa dan ingin kami kongsikannya kepada para pembaca agar sama-sama beroleh manfaat. Antara kelebihan dan fadhilat 10 Muharram adalah seperti berikut:

 

Pertama: Hari Yang Dicari Fadhilatnya

 

Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ 

Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini - iaitu hari ‘Asyura –

Riwayat al-Bukhari (2006)

 

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari hari lain untuk berpuasa selepas Ramadhan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdhal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]

 

Kedua: Hari Nabi Musa AS Diselamatkan Manakala Firaun dan Pengikutnya Ditenggelamkan

 

Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ‏.‏ فَقَالَ ‏ "‏ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ‏"‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ‏.‏

 

Maksudnya : Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi  berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka : Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW : Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

 

Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150)

 

Kata al-Imam al-Maziri: Perkhabaran golongan Yahudi tidak diterima. Ada kemungkinan bahawa Nabi SAW diwahyukan kepadanya akan kebenaran mereka terhadap apa yang mereka ucapkan atau telah mutawatir perkhabaran tersebut sehingga baginda mengetahuinya. Inilah pendapat yang terpilih di sisi Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah. [Al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim,  7/204]

 

Ketiga: Diampunkan Dosa Setahun Yang Lalu

 

Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :

 أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ 

Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.

Riwayat Muslim (1162)

 

Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya. [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.101]

 

Diceritakan dari Fath bin Syakhraf beliau berkata : Aku memecah-mecahkan roti setiap hari untuk memberi makan kepada semut. Apabila tibanya hari ‘Asyura, mereka tidak memakannya.

 

Diriwayatkan juga oleh Al-Qadir Billah Al-Khalifah Al-Abbasi bahawa perkara tersebut turut berlaku kepada dirinya dan beliau berasa pelik. Lalu beliau bertanya kepada Syeikh Abu Al-Hasan Al-Qazwini lalu Syeikh itu berkata: Hari ‘Asyura ini turut berpuasa padanya semut. Dikatakan, semut juga turut berpuasa pada hari ‘Asyura.[1] [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.100]

 

Adapun menjadikan hari ini sebagai hari bersedih sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Rafidhah atas kematian Al-Husain Bin ‘Ali RA, maka kata Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali :

 

Amalan bersedih ini adalah amalan golongan yang tersilap dalam amalannya dan dia menyangka bahawa dia sedang melakukan amalan yang terbaik. Allah dan Rasulnya SAW tidak pernah memerintahkan untuk kita menjadikan hari hari musibah dan kematian para Nabi sebagai hari untuk bersedih. Bagaimana pula bersedih untuk orang yang berada di bawah mereka (dari sudut darjat)?

[Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.103]

 

Keempat: Hari Diterimanya Taubat Adam AS

 

Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata :

Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura.

 

[Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146]

 

 

Terdapat beberapa fakta yang perlu kita ketahui mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram. Antaranya:

 

Pertama: Pembunuhan Al-Husayn RA

 

Tragedi menyayat hati ini benar-benar berlaku dalam kalendar Islam sepertimana yang telah dikhabarkan oleh para ulama’. Al-Imam al-Zahabi (wafat 748H) Rahimahullah di dalam kitabnya al-Siyar: “Terbunuh pada hari ‘Asyura tahun 61 hijrah”. [Siyar A’lam al-Nubala’. 1985. Muassasah al-Risalah, 3/318]

 

Begitu juga telah berkata Ibn Taimiyah (wafat 728H): “ dan al-Husayn semoga Allah meredhainya dan melaknat siapa yang membunuhnya terbunuh pada hari ‘Asyura, tahun 61 hijrah.” [Majmu’ al-Fatawa. 1995. Majma’ al-Malik Fahd li Tiba’ah al-Mashaf al-Syarif, 4/505]

 

Kita sebagai Ahli Sunnah wa al-Jama’ah pasti merasa sedih dengan musibah yang melanda umat Islam ini yang mana dengannya juga telah terbuka pintu-pintu fitnah yang lebih besar buat umat Islam. Namun, kesedihan kita ini perlulah didasari dengan aqidah yang benar agar kesedihan ini tidak meletakkan kita ke dalam kancah kesesatan.  

Kedua: Kisah Nabi Nuh AS & Bubur ‘Asyura

 

10 Muharram juga tidak terlepas dalam memperkatakan tentang bubur ‘Asyura yang mana kisahnya itu diambil daripada peristiwa Nabi Nuh AS selepas diselamatkan dari banjir besar.

 

Apa yang ingin kami bincangkan di sini adalah keabsahan dan kesahihan kisah tersebut dan bukanlah bubur ‘Asyura itu sendiri. Adakah benar kisah itu disandarkan kepada Nabi Nuh AS?

 

Kita dapati bahawa kisah ini ada disebutkan di dalam kitab semisal Nihayah al-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani, ada di dalam kitab Nuzhatil Majalis karangan Syeikh Abdul Rahman al-Ushfuri serta ada di dalam kitab Jam’ul Fawaid oleh Syeikh Daud al-Fathoni. Didalamnya menyebut bila mana kapal Nabi Nuh A.S berlabuh di Bukit Juudiy pada hari ‘Asyura, berkata Nabi Nuh AS kepada umatnya:

 

“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

 

Komentar

Kisah seperti ini amat perlu kepada kajian yang mendalam agar kesahihannya dapat dibuktikan. Setakat ini kami tidak menjumpai lagi sebarang petunjuk dalam bentuk hadis ataupun athar mengenai kisah ini. Jika ada para ilmuan yang dapat tahu, bantuan kalian amat kami hargai dan kami akan kemukakan pendapat yang lain jika thabit kisahnya. Namun terdapat sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah ini sebagai palsu.

 

Bukanlah bermaksud dengan ketiadaan dalil yang thabit menghalang orang untuk memasak bubur tersebut bahkan memasak apa sekalipun adalah harus  selagi mana ianya halal dan baik. Cuma di sini perlulah berhati-hati agar tidak mengaitkannya dengan Nabi Nuh AS secara jazam (pasti) seterusnya menganggap ianya adalah sunnah para Nabi AS yang perlu dilakukan setiap tahun pada 10 Muharram. Adapun memberi makan kepada orang lain adalah amalan yang mulia dan lebih mulia lagi bagi mereka yang menyediakan makanan berbuka untuk mereka yang berpuasa. Apatah lagi kepada orang-orang fakir, miskin dan juga yang amat memerlukan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينٗا وَيَتِيمٗا وَأَسِيرًا ٨ إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا ٩  إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوۡمًا عَبُوسٗا قَمۡطَرِيرٗا ١٠

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, 
[9](Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, 
[10]"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". 

(Al-Insaan: 8-10)

 

Semoga dengan pencerahan ini, kita semua sentiasa berada di atas dalil dan asas sesuatu yang kuat dan sahih. Selamat berbuka puasa kepada yang berpuasa pada hari ‘Asyura.

 

Akhukum fillah,

 S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

23 Oktober 2015 bersamaan 10 Muharram 1437H

 

[1] Walaupun begitu, selama mana tiada nas qat’ie mengenainya maka, perkataan tersebut juga bukan bersifat qat’ie.