اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE 120: BAITUL MAQDIS..KAMI MENCINTAIMU

MUKADIMAH

Dengan berita yang amat mengejutkan pada pagi ini, iaitu 7 Disember 2017 Kota Baitul Maqdis telah diisytiharkan sebagai ibu negara Israel oleh Kuasa Besar. Ia menjadi tragedi kepada umat Islam. Sefahaman kita dan makrifah kita yang kota Baitul Maqdis adalah milik umat Islam sejak dibuka oleh Saidina Umar al-Khattab.[1] Hal ini dipertahankan lagi walaupun pernah jatuh, tetapi Salahuddin al-Ayyubi telah mengambilnya kembali. Dengan berita ini, kami mengemukakan Bayan Linnas kali ini dengan tajuk: Baitul Maqdis..Kami Mencintaimu.

 

PERTAMA: APA KATA PRESIDEN AMERIKA?

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan dan mengiktiraf Kota Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Pada masa yang sama, beliau mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.[2] Trump menganggap keputusan ini sebagai pengiktirafan secara realiti daripada aspek sejarah dan juga era moden.[3]

Beliau berkata: “Saya memutuskan sudah tiba masanya untuk mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Presiden sebelum ini gagal melaksanakannya walaupun berjanji melakukannya. Hari ini, saya melaksanakannya. Apabila saya menjadi presiden, saya berjanji melihat cabaran global dengan mata terbuka, dengan fikiran yang jelas. Kita enggan menerima sebarang ibu negara Israel tetapi hari ini, kita akhirnya menerima hakikat itu bahawa Baitulmaqdis ialah ibu negara Israel. Ia adalah pengiktirafan sesuatu yang sudah menjadi hakikat.”[4]

Menurut Trump, Amerika akan terus menyokong usaha damai Israel-Palestin.

“Pada sama sama, saya meminta semua pihak menghormati status Baitul Maqdis sebagai bandar suci. Baitulmaqdis perlu kekal sebagai tempat penganut Yahudi bersembahyang di Dinding Barat, penganut Kristian berjalan di ‘Stations of the Cross’ dan umat Islam bersembahyang di Masjidil al-Aqsa.”

Menurutnya lagi, kerja pemindahan kedutaan akan dilakukan segera dengan melantik arkitek, jurutera dan perancang.

 

KEDUA: REAKSI TOKOH

Kami nyatakan di sini, reaksi dan pandangan daripada beberapa orang tokoh:

Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan

Beliau mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Baitul Maqdis merupakan garis sempadan untuk orang Islam. Kami (Turki) sekali lagi memohon supaya Amerika Syarikat tidak mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Keputusan tersebut boleh ‘membakar’ rantau ini.[5]

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi

Beliau memberi amaran bahawa tindakan Donald Trump akan mengurangkan perdamaian di Asia Barat. Selain itu, dalam satu kenyataan, Abdel Fattah menyatakan sokongan padu terhadap Palestin untuk melindungi Baitul Maqdis.[6]

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz al-Saud

Beliau menyatakan, keputusan tersebut akan menjejaskan rundingan damai dan meningkatkan tekanan di Palestin. Arab Saudi menyokong rakyat Palestin serta hak mereka dan keputusan pengiktirafan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan penduduk islam di seluruh dunia.[7]

Raja Jordan, Raja Abdullah II

Beliau menyatakan bahawa keputusan Presiden Amerika, Donald Trump untuk membuat pengiktirafan tersebut hanya akan menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau. Beliau turut menegaskan bahawa Baitul Maqdis adalah kunci untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Palestin serta di seluruh dunia. Jika Amerika Syarikat masih dengan keputusan untuk mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, maka tindakan itu akan mengguris hati komuniti Islam dan Kristian.

Bagi menunjukkan kesatuan Negara Jordan tersebut, Raja Abdullah menegaskan bahawa Jordan sedia membantu Palestin menghadapi sebarang situasi yang mungkin timbul akibat pengumuman pengiktirafan tersebut.[8]

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas

Beliau telah memberi amaran bahawa tindakan Amerika itu akan mencetuskan akibat bahaya kepada pelbagai pihak terutamanya dalam usaha damai melibatkan Palestin dan Israel, kestabilan dan keselamatan negara itu dan dunia. Tindakan terkutuk dan tidak boleh diterima ini menjejaskan semua usaha damai. Tindakan demikian hanyalah untuk mencetuskan konflik di rantau ini kepada perang agama. Langkah-langkah ini yang kami tolak dan enggan terima mencipta kekangan yang sengaja diadakan terhadap semua usaha mewujudkan keamanan. Ia juga mencerminkan penarikan diri Amerika Syarikat dari peranan yang telah dipegangnya pada masa lalu dalam mengawasi proses perdamaian.[9]

Ketua Kumpulan Hamas, Ismail Haniyyeh

Beliau menegaskan bahawa penduduk Palestin tidak akan membenarkan konspirasi itu dilaksanakan dan mereka akan mempertahankan tanah air dan kawasan suci umat Islam.[10]

Presiden Perancis, Emmanuel Macron

Beliau menegaskan status Baitul Maqdis hanya boleh ditentukan antara Palestin dan Israel dalam rangka perundingan di bawah naungan PBB. Beliau berkata, dia telah menyatakan dengan jelas ketika bertemu dengan Presiden Trump. Status Baitul Maqdis melibatkan soal keselamatan antarabangsa dan komuniti antarabangsa. Beliau menegaskan lagi, keputusan ini melanggar undang-undang antarabangsa dan semua resolusi PBB. Perancis akan terus komited terhadap keamanan dalam rantau ini dan tidak akan mengubah pendirian mereka untuk melihat dua negara ini (Palestin dan Israel) mencapai persetujuan.[11]

Setiausaha Agung PBB, Anthonia Guterres

Sebarang tindakan mencemar rundingan yang masih berlangsung antara Palestin dan Israel adalah melanggar undang-undang antarabangsa. Menurutnya, sejak hari pertama pertikaian ini dibangkitkan di New York, PBB menetapkan hanya rundingan langsung kedua-dua belah pihak yang akan diiktiraf dunia. Dari hari ke hari, sebagai setiausaha agung PBB, beliau secara konsisten menegaskan bahawa sebarang langkah unilateral tidak akan diterima kerana ia akan menjejaskan prospek perdamaian bagi Israel dan Palestin. Baitul Maqdis adalah isu status akhir yang mesti diselesaikan melalui rundingan langsung antara kedua-dua belah pihak berdasarkan resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung yang relevan. Tegasnya lagi, tidak wujud ‘Pelan B’ dalam pelan damai dan rundingan terbabit.[12]

Diplomat Kesatuan Eropah, Federica Mogherina

Beliau berkata, sebarang tindakan yang akan menjejaskan usaha damai untuk membentuk dua negara berasingan bagi Israel dan Palestin perlu dielakkan sama sekali.[13]

Menteri Luar Britain, Boris Johnson

Beliau turut melahirkan rasa bimbang terhadap keputusan Trump. Katanya, Baitul Maqdis perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian muktamad dalam rundingan pelan damai Israel-Palestin.[14]

Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel

Beliau melahirkan rasa kebimbangan mengenai perkara tersebut dan menegaskan bahawa apa jua keputusan AS untuk mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel tidak akan meredakan konflik yang berlaku malah memburukkan lagi keadaan tersebut.[15]

Pope Francis

Menurut Beliau, Baitul Maqdis adalah bandar yang unik, suci kepada orang Islam, Yahudi dan Kristian. Katanya lagi adalah penting untuk mengekalkan status quo Baitul Maqdis dan mengelakkan daripada menambah elemen ketegangan baharu di dunia yang sudah bergolak akibat begitu banyak konflik kejam.[16]

 

KETIGA: KENYATAAN MALAYSIA

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Malaysia menolak sekeras-kerasnya usaha menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila. Beliau menyatakan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa-apa jua hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian Islam.

"Pendirian ini kita ambil bukan sahaja di tanah air ini, bahkan di seluruh pelusuk dunia. Jadinya, apabila kita dikejutkan dengan usaha Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu daripada tiga tanah suci umat Islam sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.[17]

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Beliau berkata, anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu senada dalam membantah cadangan Amerika Syarikat (AS) dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Ahli OIC perlu bertindak pantas terhadap perancangan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana ia boleh mencetuskan krisis besar di rantau Asia Barat.

Kata beliau: "Kami memandang serius perkembangan ini dan saya harap anggota OIC sekata dalam bersuara untuk membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Negara anggota OIC mesti melihat perkembangan ini melangkaui isu Palestin kerana ia adalah isu antarabangsa."[18]

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Beliau berkata, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.

Beliau juga berkata, melalui kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia. Baitul Maqdis adalah titik kesatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil.[19]

Kementerian Luar Negeri, Malaysia

Wisma Putra berpendapat, pengiktirafan atau usaha memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqdis merupakan satu pencerobohan terhadap bangsa Arab dan umat Islam. Pengiktirafan berkenaan juga adalah satu pencabulan kepada hak orang Islam da Kristian. Sebarang percubaan untuk mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, menubuhkan atau memindahkan mana-mana misi diplomatik ke bandar itu dianggap sebagai pencerobohan bukan sahaja terhadap arab dan umat Islam tetapi juga melanggar hak-hak umat Islam dan Kristian.

Keputusan itu juga sekaligus menamatkan usaha mencari penyelesaian kepada isu Palestin. Ini akan membawa kesan yang serius bukan sahaja terhadap keselamatan dan kestabilan rantau arab, tetapi turut membangkitkan kemarahan dan menyukarkan usaha memerangi keganasan secara global. Malaysia berpegang kepada pendirian, Baitul Maqdis adalah perjuangan Palestin dan meminta semua anggota PBB tidak mengiktiraf sebarang perubahan kepada sempadan sebelum 1967 termasuk status Baitul Maqdis. Pengiktirafan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel tidak menggambarkan keadaan yang sebenar sebaliknya sekadar sokongan kepada dasar Israel yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.[20]

 

KEEMPAT: MENYENTUH ISU PALESTIN SUPAYA DIBEBASKAN DARIPADA CENGKAMAN ISRAEL

Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi[21] begitu prihatin terhadap permasalahan Palestin yang mana beliau tidak menganggap isu tersebut sebagai isu negara dan rakyat Palestin sahaja atau bangsa Arab semata-mata tetapi ini ialah isu umat islam sejagat. Justeru, seluruh umat Islam sewajarnya dikejutkan berkenaan isu ini serta bahayanya jika ia dibiarkan begitu sahaja.

Dengan sebab itulah, syeikh melalui banyak karya dan ceramahnya menyatakan sejarah pahlawan Islam seperti Nuruddin dan Salehuddin. Begitu juga di dalam kitabnya yang masyhur: al-Muslimun dan Pemasalahan Palestin.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (1) وَآَتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ أَلَّا تَتَّخِذُوا مِنْ دُونِي ‎وَكِيلًا

Maksudnya“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami berikan kepada Musa Kitab (Taurat) dan Kami jadikan Kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil (dengan firman), "Janganlah kamu mengambil penolong selain aku”.

(Surah al-Isra’: 1-2)

Al-Quran Membuktikan Keburukan Yahudi

Dalam al-Rahiq al-Makhtum[22] disebut: “Dalam surah Al-Isra’, pembaca akan melihat bahawa Allah SWT menyebut kisah tersebut dalam satu ayat sahaja. Setelah itu Allah SWT terus menyebut tentang keburukan dan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang Yahudi”.

Kemudian Allah SWT memperingatkan mereka bahawa Al-Quran ini benar-benar menunjuk jalan yang lurus. Mungkin pembaca menyangka dua ayat ini tidak ada sangkut paut antara satu sama lain, sedangkan bukan itu sebenarnya.

Sesungguhnya Allah SWT mengemukakan pendekatan ini untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Isra’ berlaku dengan dibawa Nabi SAW ke Baitul Maqdis, kerana orang Yahudi disingkirkan daripada menjadi pemimpin umat manusia.

Ini disebabkan mereka telah melakukan pelbagai dosa yang menyebabkan tiada ruang untuk mereka terus menerajui umat manusia.

Allah SWT akan memindahkan kepimpinan ini dengan sebenarnya kepada Rasul-Nya. Allah SWT akan menyatukan untuknya dua pusat dakwah Nabi Ibrahim A.S.  semuanya, kerana telah tiba masanya kepimpinan rohani itu bertukar daripada satu umat kepada umat yang lain. Iaitu berpindah daripada umat yang sejarahnya dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada umat yang melahirkan kebaikan dan kebajikan, di mana Rasul umat itu sentiasa mendapat wahyu Al-Quran yang menunjukkannya ke jalan yang lurus.

 

KELIMA: FATWA DAN PENDAPAT ULAMA’

Kami kemukakan di sini beberapa fatwa dan pendapat ulama, antaranya:

Keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami

Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami pada 22-27 Disember 2001 di Kuwait memutuskan bahawa menceroboh kehormatan orang Islam, menjajah negeri mereka, menumpahkan darah mereka, dan menguasai harta benda serta ekonomi mereka adalah haram, wajib bagi ulama’ Islam mendedahkan hakikat ini khususnya berkenaan isu Palestin.

Bahkan wajib bagi seluruh umat Islam dan pemerintahnya mengembalikan bumi tersebut kepada umat Islam dan memelihara Masjid al-Aqsa daripada najis Yahudi yang menjajah bumi tersebut.

Dr Yusuf al-Qaradhawi

Beliau telah menyebut beberapa fatwa tentang Palestin di dalam bukunya yang terkenal, al-Fatawa al-Mu’asirah, yang antaranya:

  • Tidak harus bagi Presiden Yassir Arafat mengugurkan hak tuntutan terhadap bumi al-Quds.
  • Haram menjual tanah kepada musuh iaitu Israel atau menerima ganjaran atau pampasan untuk bumi Palestin sekalipun harganya mencecah jutaan dolar.
  • Haram mengadakan hubungan antara sheikh al-Azhar dengan al-Khakham (Ketua Agama Yahudi).
  • Haram mengunjungi Batul Maqdis khususnya Masjid al-Aqsa selama mana dalam penguasaan Yahudi.
  • Haram berdamai dengan Yahudi Zionis berdasarkan sikap yang ditunjukkannya untuk memusuhi umat Islam Palestin.

 

KEENAM: KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Sesungguhnya, kami amat tersinggung dan kecewa dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat tersebut. Ini seakan satu pengiktirafan secara terbuka yang Baitul Maqdis adalah milik Israel dan dijadikan pula sebuah ibu negara. Perasaan hampir 2 billion umat Islam sudah pasti remuk.

Kami masih ingat kenyataan guru kami, Syeikh Dr Mustafa Wahbah al-Zuhaili[23] ketika kami bertanya kepadanya apa lagi cita-citanya lalu beliau menjawab: “Aku bercita-cita agar dapat solat di Masjidil Aqsa dalam keadaan ia terbebas daripada cengkaman Israel.”

Kami mengajak umat Islam berdoa dan bermunajat untuk bumi yang dinyatakan Tuhan:

...الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ...

Maksudnya:  yang telah Kami berkati sekelilingnya..

(Surah al-Isra’: 1)

Pada saat yang sama, umat Islam wajib bersatu untuk mempertahankan agama Islam itu sendiri. Semoga sebuah natijah yang baik berpihak kepada umat Islam.

Baitul Maqdis, kami mencintaimu dan kami akan berjuang untukmu!

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

12 Disember 2017
18 Rabiul Awal 1439H

________________________________________________________

[1] Lihat artikel yang kami telah terbitkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Bayan Linnas Siri Ke- 105: Ya Allah, Selamatkanlah Masjidil Aqsa Dan Umat Islam Di Palestin, 27 Julai 2017. (http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1711-bayan-linnas-siri-ke-105)

[2] Lihat Portal Astro Awani. Amerika Syarikat secara Rasmi Iktiraf Baitulmaqdis sebagai Ibu Negara Israel. 7 Disember 2017.

[3] Lihat Akhbar Kosmo. Dunia Bimbang Keputusan AS. 7 Disember 2017. Hlm. 49 dan Portal Berita Harian. Keputusan Trump Bertentangan Undang-Undang Antarabangsa. 7 Disember 2017. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/360032/keputusan-trump-bertentangan-undang-undang-antarabangsa

[4] Lihat Akhbar Harian Metro7 Disember 2017. https://www.hmetro.com.my/utama/2017/12/291342/trump-tak-endah-bantahan

[5] Lihat Utusan Malaysia Luar Negara. Loceng Amaran Asia Barat ‘Berbunyi’. 7 Disember 2017. hlm. 29.

[6] Lihat Utusan Malaysia Luar Negara. Loceng Amaran Asia Barat ‘Berbunyi’.  7 Disember 2017. hlm. 29.

[7] Lihat Akhbar Kosmo. Dunia Bimbang Keputusan AS. 7 Disember 2017. Hlm. 49.

[8] Lihat Akhbar Kosmo. Dunia Bimbang Keputusan AS. 7 Disember 2017. Hlm. 49.

[9] Lihat Utusan Online. Tindakan Guris Hati Komuniti Islam, Kristian. 7 Disember 2017. dan akhbar Kosmo. Dunia Bimbang Keputusan AS. 7 Disember 2017. Hlm. 49.

[10] Lihat Utusan Malaysia Luar Negara. ‘Loceng Amaran Asia Barat Berbunyi’.  7 Disember 2017. hlm. 29.

[11] Lihat Portal Astro Awani. Perancis Tolak Keputusan Trump Berhubung Baitul Maqdis. 7 Disember 2017. Diakses pada 7 Disember 2017. http://www.astroawani.com/berita-dunia/perancis-tolak-keputusan-trump-berhubung-baitulmaqdis-162277

[12] Lihat Portal Astro Awani. Majlis Keselamatan PBB Bersidang Jumaat Ini, Bincang Isu Baitulmaqdis. 7 Disember 2017. Diakses pada 7 Disember 2017. http://www.astroawani.com/berita-dunia/majlis-keselamatan-pbb-bersidang-jumaat-ini-bincang-isu-baitulmaqdis-162284

[13] Lihat Utusan Malaysia Luar Negara. Loceng Amaran Asia Barat Berbunyi.  7 Disember 2017. hlm. 29.

[14] Lihat Akhbar Kosmo. Dunia Bimbang Keputusan AS. 7 Disember 2017. Hlm. 49.

[15] Lihat Utusan Malaysia Luar Negara. Loceng Amaran Asia Barat ‘Berbunyi’.  7 Disember 2017. hlm. 29.

[16] Lihat Akhbar Kosmo. Dunia Bimbang Keputusan AS. 7 Disember 2017. Hlm. 49.

[17] Lihat Portal Astro Awani. PAU2017: Sampai Bila Pun Kita Tak Akan Setuju Baitulmaqdis Jadi Ibu Negara Israel – Najib. 7 Disember 2017. (http://www.astroawani.com/berita-politik/pau2017-sampai-bila-pun-kita-tak-akan-setuju-baitulmaqdis-jadi-ibu-negara-israel-najib-162286)

[18] Lihat Portal Berita Harian. OIC Perlu Bantah Cadangan Trump – TPM. 12 Disember 2017. Diakses pada 7 Disember 2017. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/359645/oic-perlu-bantah-cadangan-trump-tpm)

[19] Lihat Harakah Daily. PAS Kecam Trump Isytihar Baitul Maqdis Ibu Negara Israel. 7 Disember 2017. (http://www.harakahdaily.net/index.php/kolumnis/presiden/4323-pas-kecam-trump-isytihar-baitul-maqdis-ibu-negara-israel)

[20] Lihat Portal Astro Awani. Tindakan Trump Cabul Hak Umat Islam Dan Kristian – Malaysia. 7 Disember 2017. Diakses pada 7 Disember 2017. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tindakan-trump-cabul-hak-umat-islam-dan-kristian-malaysia-162287

[21] Beliau adalah tokoh ulama’ dan pendakwah ulung pada abad ini dari India. Beliau menulis sebuah karya yang terkenal bertajuk Maza Khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin (ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين).

[22] Lihat Safiyurrahman al-Mubarakfuri dalam bukunya al-Rahiq al-Makhtum.

[23] Tokoh ulama terkemuka di dalam pelbagai bidang. Pernah mendapat anugerah Tokoh Ma’al Hijrah peringkat Kebangsaan.