اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-262: ISU BAKAR AL-QURAN DI SWEDEN: PROVOKASI KITAR SEMULA

ISU BAKAR AL QURAN DI SWEDEN PROVOKASI KITAR SEMULA

 

Mukadimah

Insiden provokasi pembakaran al-Quran di Stockholm yang diketuai kumpulan anti imigran dan anti-Islam Hard Line,  Rasmus Paludan kini berulang kembali. Tindakan pemimpin parti politik sayap kanan Sweden-Denmark ini telah mencetuskan sensitiviti dan kemarahan kepada masyarakat Islam di dunia termasuk juga umat Islam di Malaysia.[1] Insiden yang sama ini juga pernah terjadi pada tahun lalu dan telah mengakibatkan berlakunya rusuhan serta mencederakan sekurang-kurang 40 orang tahun berkenaan.[2] Rentetan daripada kejadian yang berulang ini, provokasi ini boleh dianggap sebagai provokasi kitar semula dan boleh dikatakan sebagai api dalam sekam “islamofobia” masyarakat barat yang tidak pernah padam.[3]

Tambah malang bila kejadian seumpama ini berlaku di sebuah negara yang  yang diwar-warkan sebagai negara paling “bahagia” iaitu menduduki tangga ke-7 carta World Happiness Index 2022 kerana berpendapatan tinggi, mempunyai sistem sokongan sosial yang baik, mempunyai hak kebebasan memilih dan sebagainya.

 

Hak Asasi Manusia: Perjuangan dan Diskriminasi

Negara barat sinonim dengan pendirian tegas memperjuangkan keterbukaan dan toleransi serta menjulang hak asasi manusia bagi perkembangan sosial dan taraf hidup. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) yang menjadi rujukan utama mereka mengakui bahawa dalam memperjuangkan hak kebebasan dan keterbukaan, terdapat batasan-batasan yang tertakluk kepada undang-undang bagi menjamin pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak-hak kebebasan orang lain dengan menjaga akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam satu masyarakat. Selain itu, dalam deklarasi ini juga menyebut tentang setiap manusia mempunyai hak dan kebebasan tanpa mengira apa jua perbezaan seperti bangsa, agama dan warna kulit.[4]

Malangnya setiap kali berhadapan dengan kepercayaan dan amalan agama Islam, sikap keterbukaan dan kebebasan berkaitan hak asasi manusia yang diperjuangkan selama ini bertukar menjadi diskriminasi, berpunca daripada keraguan, ketakutan dan syak wasangka tidak berasas terhadap Islam dan segala yang berkaitan dengan Islam atau yang dikenali sebagai - Islamofobia.

Dalam zaman moden ini, sewajarnya isu berkaitan diskriminasi dan penghinaan terhadap mana-mana agama khususnya agama Islam tidak lagi menjadi polemik yang tiada berkesudahan. Apatah lagi mengambil kira umat Islam telah ratusan tahun bercampur dan hidup bersama dengan masyarakat barat di negara mereka. Faktor kekurangan maklumat berkaitan Islam juga sudah tidak relevan kerana pelbagai hujah dan penjelasan mengenai salah faham ajaran Islam dibuat melalui pelbagai medium masa kini.

Punca dan Provokasi Terhadap Umat Islam di Sweden

Punca serangan terhadap agama Islam di Sweden ini dikatakan berpunca daripada kebanjiran pendatang dari Syria, Iraq dan Afghanistan susulan keputusan kerajaan Sweden membuka pintu masuk negara mereka kepada pelarian negara-negara tersebut[5] . Jumlah pelarian yang masuk ke negara tersebut dikatakan hampir mencecah 162,000 orang.

Kebanjiran pendatang muslim dari negara-negara Islam bergolak ini telah menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan khususnya berkaitan persaingan peluang pekerjaan, ekonomi dan politik. Ianya diburukkan lagi dengan persepsi buruk yang ditampilkan pihak media kononnya kadar jenayah di Sweden telah meningkat sejak kebanjiran pendatang muslim di Sweden.

Persepsi negatif ini walau bagaimanapun sesuatu yang tidak dapat dielakkan meskipun tuduhan bahawa agama Islam sebagai punca keganasan tidak pernah dibuktikan melalui data-data empirikal. Masyarakat di barat sememangnya melihat Islam sebagai tandingan yang mesti ditundukkan. Ini kerana Islam itu bagi mereka membawa pandangan hidup yang bertentangan dengan apa yang dianuti masyarakat di barat seperti prinsip kebenaran mutlak agama Islam, kepercayaan kepada hal-hal kerohanian yang berasaskan keagamaan,  kebebasan dan hak sama rata setiap individu dan sebagainya.

 

Respon Umat Islam

Umat Islam seharusnya tidak mudah termakan dan terjebak dengan sebarang provokasi atau persepsi buruk yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam terhadap agama Islam. Sebaliknya kita perlu lebih tenang dan rasional dalam menghadapi pelbagai fitnah akhir zaman ini dengan lebih berhikmah seiring dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ وَدَعْ أَذَاهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ وَكِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau menurut kehendak orang kafir dan orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).”

Surah al-Ahzab (48)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa ayat ini menekankan supaya umat Islam mengabaikan segala celaan dan provokasi ditimbulkan oleh golongan yang tidak senang dengan agama Islam.[6]

Sesungguhnya Agama Islam ini merupakan agama yang terkedepan manakala golongan yang beriman pula merupakan umat yang tinggi dari sudut akhlak dan sahsiah sepertimana sabda Rasulullah SAW:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya di kalangan kamu .”[7]

Riwayat Abi Daud (4682)

Pada masa yang sama umat Islam juga perlu mengelakkan sebarang perlakuan melampau yang akan terus menimbulkan persepsi negatif bukan Islam terhadap umat Islam yang sekali gus akan memburukkan imej Islam yang sedia dipandang negatif masyarakat di barat. Sabda Nabi SAW:

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Jauhilah melampau (ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama.”

Riwayat Ibn Majah (3029)

Walau bagaimanapun, dalam situasi sebegini umat Islam tetap perlu bekerjasama menyuarakan rasa tidak puas hati atas tindakan ini. Namun ia hendaklah dilakukan dalam keadaan  harmoni bukan provokasi seperti yang ditimbulkan oleh pihak tersebut. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik

Surah al-Nahl (125)

Melalui ayat di atas, dapat difahami bahawa agama Islam menitik beratkan nilai-nilai hikmah dan keharmonian dalam berdakwah.[8] Oleh itu, usaha dakwah dan kempen bahawa Islam adalah agama keamanan perlu diteruskan melalui media sosial.

 

Kesimpulan:

Insiden penghinaan terhadap Agama Islam seperti pembakaran al-Quran, penghinaan Rasulullah SAW dan seumpamanya  bukan lagi perkara baru, sebaliknya ia adalah isu yang sering dikitar semula oleh golongan anti-Islam. Hal ini kerana golongan ini sentiasa mencari jalan dengan memainkan sentimen-sentimen agama untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian dalam kalangan umat Islam supaya dapat menggambarkan imej keganasan Islam di mata dunia. Oleh yang demikian, umat Islam perlu bertindak dengan lebih bijak dalam mendepani cabaran sedemikian supaya tidak mudah terjebak dengan provokasi murahan ini.  Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang menjaga agama dan syariat Allah SWT.

Wallahu A’lam..

 

Rujukan:

[1] https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/malaysia-kutuk-bakar-al-quran-gesa-sweden-ambil-tindakan/ diakses pada 23/1/2023

[2] https://www.kosmo.com.my/2022/04/19/ahli-politik-sweden-rancang-jelajah-bakar-al-quran-semasa-ramadan/

[3] Ibid

[4] https://www.ohchr.org/en/human-rights/universal-declaration/translations/malay-bahasa-melayu?LangID=mli

[5] https://www.brookings.edu/research/the-rise-of-sweden-democrats-and-the-end-of-swedish-exceptionalism/

[6] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr. (1964). Al-Jami’ Li Ahkam al Quran. Editor: Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Atfisy. Cet 2, Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. J14 hlm 202. Teks Asal:

أَيْ دَعْ أَنْ تُؤْذِيَهُمْ مُجَازَاةً عَلَى إذا يتهم إِيَّاكَ

[7] Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ab. (TT). Sunan Abi Daud. Editor: Muhammad Muhyiddin bin Abd al-Hamid. Beirut: al-Maktabah al-A’sriyyah. J4 hlm 220.

[8] Ibn Kathir, Ismail bin Umar. (1999). Tafsir al-Quran al-‘Azim. Tahkik: Sami bin Muhammad Salamah. Ed 2, Dar Tibah. Jld 4, hlm 613.

أَيْ: مَنِ احْتَاجَ مِنْهُمْ إِلَى مُنَاظَرَةٍ وَجِدَالٍ، فَلْيَكُنْ بِالْوَجْهِ الْحَسَنِ بِرِفْقٍ وَلِينٍ وَحُسْنِ خِطَابٍ


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+