اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-118: PESTA TANGLUNG & KUIH BULAN: SATU SISI PANDANG

Mukadimah Pesta Tanglung dan Kuih Bulan yang menjadi tradisi perayaan masyarakat Cina turut mendapat sambutan semua bangsa. Malah, ia juga menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara bagi melihat kemeriahan penganjurannya. Saban tahun kita dapat melihat pelbagai pihak menganjurkan Pesta Tanglung sebagai satu acara setempat dan juga nasional untuk memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Walaubagaimanapun, persoalan yang sering timbul adalah, hukum umat Islam terlibat dalam perayaan ini. Justeru, Bayan Linnas kali ini bersempena dengan Pesta Tanglung akan memfokuskan berkenaan Pesta Tanglung & Kuih Bulan: Satu Sisi Pandang.

Sejarah ringkas Pesta Tanglung

Pesta Tanglung adalah suatu pesta masyarakat Cina yang diraikan pada hari kelima belas dalam bulan pertama kalendar Cina. Pesta yang mula diadakan pada zaman Dinasti Qin ini jatuh pada bulan Yuan pada masa silam. Ia adalah malam pertama untuk melihat bulan penuh. Disebabkan malam dikenali sebagai xiao dalam Bahasa Mandarin, maka festival tersebut dikenali sebagai Festial Yuan Xiao.

Terdapat banyak pendapat tentang asal usul Pesta Tanglung.

  1. Ada yang menyatakan, ianya berasal daripada ajaran Taoisme. Ia dipanggil Festival Shangyuan menurut ajaran Taoisme. Shang merujuk kepada syurga. Pada hari itu, keluarga akan bersembahyang kepada Pegawai Syurga bagi Taoisme dan menghiasi rumah dengan tanglung bagi tujuan keselamatan.
  2. Hikayat yang lain menyebut bahawa ia berkaitan tentang legenda dalam agama Buddha. Menurut legenda itu, hari ke-15 bagi bulan pertama kalendar adalah hari di mana Sakyamuni telah menewaskan syaitan-syaitan. Untuk mengingati hari tersebut, tanglung dinyalakan.
  3. Ada juga pandangan yang menyebut bahawa pernah ada seekor burung yang cantik, turun daripada syurga ke bumi. Ia dibunuh dengan tidak sengaja oleh seorang penduduk kampung. Maharaja Jed dari syurga mengetahui hal ini dan menjadi begitu marah dan mengarahkan supaya kampung tersebut dibakar termasuk penduduknya pada hari ke-15 bulan pertama kalendar Cina. Penduduk kampung menjadi gelisah akan hal ini. Seorang tua mencadangkan agar digantung tanglung merah, dan dibakar mercun pada hari ke-14 hingga 16. Maharaja Jed yang melihat daripada syurga, menyangka bahawa penduduk kampung telah mati kerana kebakaran maka dia pun membiarkannya.

Pesta Tanglung di Malaysia

Pesta Tanglung di Malaysia dirayakan pada Perayaan Kuih Bulan iaitu pada hari ke-15 dalam bulan ke-8 mengikut kalendar Cina dan tidak dirayakan pada kebiasaannya pada hari ke-15 bulan pertama mengikut kalendar Cina. Hal ini dikaitkan juga dengan kepercayaan Dewi Bulan (Chang Er) yang mana pada malam perayaan tersebut adalah hari bulan mengambang.

Perayaan ini secara asasnya adalah pesta para petani. Di China, bulan purnama kebiasaanya mengambang paling terang pada musim luruh yang juga berlaku serentak dengan musim menuai. Pada zaman kuno, masyarakat Cina yang berkerja sebagai petani akan mengadakan makan besar sambil menikmati keindahan bulan pada malam tersebut. Tiada sebarang upacara keagamaan pada masa itu. Walaupun demikian, rakyat China hanya mulai memeriahkan perayaan ini semasa zaman dinasti Tang selepas terbitnya mitos-mitos cerita mengenai bulan, antaranya kisah maharaja Tang Ming (Xuanzong) mengunjungi istana di bulan. Sebelum ini, kemeriahan adalah lebih tertumpu pada perayaan Pesta Perahu Naga. Kisah perayaan Kuih Bulan ini juga dikaitkan dengan kejayaan masyarakat Cina menggulingkan penjajah Dinasti Yuan. Dikatakan para pemberontak telah meletakkan mesej dalam kuih bulan untuk disampaikan kepada masyarakat sekitar.

Perayaan Kuih Bulan di Malaysia telah menjadi aktiviti luar dan dimeriahkan dengan perarakan dan pelepasan tanglung beramai-ramai. Hal ini ada kaitan dengan kepercayaan orang Cina (Chinese folk religion) di mana mereka akan berdoa sambil memegang tanglung dan dibakar sebelum dilepaskan ke udara dengan harapan hajat mereka dimakbulkan tuhan.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah merasmikan pesta Tanglung di Kota Bharu pada tahun 2013. Jabatan Agama Islam Perak juga dengan kerjasama MACMA Ipoh pernah menganjurkan Pesta Tanglung yang dihadiri lebih 1,000 orang bukan Muslim di Soka Gakkai Ipoh. Inilah antara beberapa warna-warni perayaan Festival Tanglung di Malaysia.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Firman Allah SWT

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. Lihat Al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, 4/374.

Perayaan yang pelbagai dalam kalangan masyarakat Malaysia ini memberi peluang kepada kita untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain disamping menghormat adat dan budaya masing-masing. Setelah meneliti beberapa sisi sejarah, mitos serta falsafah Pesta Tanglung ini, kami berpandangan ianya adalah harus dan dibenarkan di sisi Islam. Ini berdasarkan beberapa kaedah fiqh:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.

Di sini, ‘illah pengharamannya iaitu unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina telah terhapus pada masa sekarang ini. Ia lebih dilihat sebagai festival kekeluargaan dan kegembiraan semata-mata. Maka, ianya bukan lagi boleh dikategorikan sebagai sebuah perayaan keagamaan. Selain itu, sejarah dan mitos yang kabur dan bercampur aduk ini menyebabkan ianya tidak boleh dihukum dengan tetap sebagai sebuah perayaan keagamaan. Kami lebih melihatnya sebagai pesta kebudayaan.

Selain itu, ada kaedah menyatakan:

لا يُنْكَرُ تغيّرُ الأحكامِ بتغيُّرِ الأزمانِ

Maksudnya: “Tidak dapat diingkari bahawa hukum akan selalu berubah dengan sebab perubahan waktu dan tempat.”

Dari prinsip ini, seseorang dapat menetapkan hukum atau melakukan perubahan sesuai dengan perubahan waktu (zaman). Suatu ketentuan hukum yang ditetapkan oleh seorang mujtahid mungkin saja mengalami perubahan karena perubahan waktu, tempat, keadaan, dan adat. Oleh karena itu, ketentuan hukum sangat mungkin berubah karena pertimbangan dua perkara iaitu lingkungan tempat (zarf al-makan) dan lingkungan waktu (zarf al-zaman).

Setelah kami merujuk kepada para panel berbangsa Cina bagi Unit Konsultasi Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, maka kami berpandangan bahawa hukum menyambut Pesta Tanglung adalah diharuskan dengan mematuhi beberapa garis panduan di bawah:

  1. Tidak ada sebarang unsur-unsur keagamaan ataupun kepercayaan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti menulis doa-doa pada tanglung atau menyebut nama Dewi Bulan atau mana-mana dewa-dewi.
  2. Tidak mempercayai akan terkabulnya hajat dengan perbuatan membakar dan melepaskan tanglung ke udara. Membakar tanglung itu perlu dianggap sebagai satu bentuk produk budaya dan adat semata-mata. Boleh juga digantikan doa tersebut dengan kata-kata motivasi dan nasihat bagi mengelakkan penyerupaan dengan kepercayaan asalnya.
  3. Tanglung yang dibawakan mestilah bebas daripada unsur khurafat dan hanya dilihat sebagai satu produk seni dan budaya masyarakat Cina.
  4. Bagi masyarakat Muslim atau secara khususnya Muslim TiongHoa, sewajarnya Pesta Tanglung dijadikan sebagai medium dakwah yang baik untuk menjelaskan sifat rahmat Islam kepada seluruh manusia.

Kami juga berpendapat apabila ianya bukan asal kebudayaan dalam Islam, hendaklah dilihat adakah ia bercanggah dengan syariat. Ini kerana, asal pada perkara muamalat adalah harus  melainkan ada dalil mencegahnya. Justeru dalam kes tanglung ia lebih kepada adat yang sudah terpisah dengan maksud asal jika adapun ia. Begitu juga sebagaimana mercun, persembahan tarian naga, acara makan Yeesang, kuih bulan, pertandingan layang-layang dan lain-lain yang pada asalnya berkaitan dengan kepercayaan masyarakat Cina, kini sudah menjadi hal budaya yang boleh dinikmati dan dikongsi bersama . Contoh lain adalah penggunaan colok dalam kalangan masyarakat Muslim di China. Umum mengetahui bahawa ia digunakan untuk berdoa tetapi di sana, ia digunakan oleh Muslim di China untuk mewangikan masjid. Walaupun begitu hendaklah meraikan dhawabit (garis panduan) yang kami nyatakan.

Semoga umat Islam terus teguh berpegang dengan aqidah yang benar dan dalam masa yang sama, mengamalkan fiqh ta’ayush (kewujudan bersama) dalam kehidupan agar keindahan Islam terus dapat dikongsi dengan semua masyarakat Malaysia.

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

5 Oktober 2017
15 Safar 1439H