Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

QADHA SUNAT.PNG

Soalan:

Adakah boleh untuk kita qadha solat sunat yang tertinggal?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Isu qadha solat sunat telah dibahaskan oleh para ulama’. Menurut Imam al-Nawawi, solat sunat itu terbahagi kepada dua:

  1. Yang tidak terikat dengan waktu, dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid. Solat sunat jenis ini tidak boleh diqadha jika tertinggal.
  2. Terikat dengan waktu, contohnya solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib, dan terdapat tiga pandangan bagi solat sunat jenis kedua ini. Pandangan yang paling tepat ialah sunat untuk qadha jika tertinggal.

Inilah juga pandangan Muhammad bin al-Hasan dan Al-Muzani. Inilah juga pendapat Imam Ahmad seperti yang diiqrarkan oleh Imam al-Mardawi dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/41, Al-Insaf 2/187 dan Majmu’ al-Fatawa 23/127)

Manakala menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Qadhi Abu Yusof, solat sunat tidak boleh diqadha. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/43)

Terdapat banyak hadith yang menjadi sandaran ulama yang berpegang pada pandangan yang mensunatkan qadha solat sunat yang tertinggal. Antaranya ialah riwayat daripada Ummu Salamah R.’Anha, katanya:

شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: Nabi SAW disibukkan akan suatu urusan hingga tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda SAW menggantikannya selepas Asar.

Sunan al-Nasa’ie (587)

Daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: Siapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.

Sunan Tirmizi (423)

Diriwayatkan daripada Qays bin Amir:

رَأَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلاةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَصَلاةَ الصُّبْحِ مَرَّتَيْنِ ؟ فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ : إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، فَصَلَّيْتُهُمَا . قَالَ : فَسَكَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Nabi SAW melihat seorang lelaki yang solat dua rakaat selepas solat Subuh. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau solat Subuh sebanyak dua kali?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak sempat solat sunat sebelum solat Subuh, maka aku menggantikannya.” Maka Nabi SAW pun diam.

                                                                                              Sunan Abi Dawud (1267) dan Sunan Ibn Majah (1209)

Begitu juga hadith riwayat Aisyah R.’Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW jika tidak sempat solat sunat empat rakaat sebelum Zohor, maka Baginda SAW akan menggantikannya selepas solat Zohor.

Sunan Tirmizi (426)

Begitu juga dengan solat witir, dimana Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan:

مَنْ نَامَ عَنِ الْوِتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَ وَإِذَا اسْتَيْقَظَ

Maksudnya: Barangsiapa yang tertidur sebelum sempat solat witir atau terlupa, hendaklah dia solat apabila dia teringat atau apabila dia terjaga daripada tidur.

                                                                                  Sunan Tirmizi (465), Sunan Abi Dawud (1431) dan Sunan Ibn Majah (1244)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami memilih pandangan bahawa qadha solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir, sunat untuk digantikan jika tertinggal. Adapun solat sunat kerana peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana, maka ia tidak boleh digantikan.

Hal ini kerana pandangan ini disokong oleh banyak dalil daripada hadith Nabi SAW samada dari sudut perkataan, perbuatan dan iqrar Baginda SAW.

Wallahu a’lam.