Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

GambarWakaf kpd Non Muslim

 

SOALAN

Saya mempunyai kawan baik yang tidak beragama Islam. Bolehkah saya ingin mewakafkan sebahagian harta saya kepada kawan saya itu sebagai tanda terima kasih kerana dia banyak membantu saya selama ini? Mohon penjelasan Tuan Mufti.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Amalan mewakafkan harta merupakan satu amalan mulia yang sangat digalakkan dalam Islam. Wakaf termasuk salah satu daripada bentuk sedekah jariah yang berkekalan ganjarannya walaupun selepas kematian seseorang itu. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

إِذَا مَاتَ الإنْسَانُ انْقَطَعَ عنْه عَمَلُهُ إِلَّا مِن ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِن صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو له

Maksudnya: “Apabila seseorang itu meninggal dunia, terputuslah amalan daripadanya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya”.

Riwayat Muslim (1631)

Wakaf dari segi bahasa bermaksud “الحبس” iaitu menahan. Dari segi istilah syara’, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak berkurang fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang wujud dan harus menggunakannya. Rujuk Mughni al-Muhtaj (2/376).

Kami sudah menjawab persoalan mengenai hukum menerima wakaf daripada orang bukan Islam dalam al-Kafi li al-Fatawi edisi ke-837[1], adapun mengenai persoalan yang diajukan, iaitu hukum orang Islam mewakafkan sebahagian daripada hartanya kepada orang yang bukan Islam, kami akan menjawabnya secara ringkas pada edisi kali ini.

Ulama’ bersepakat bahawa diharuskan untuk orang Islam mewakafkan harta mereka kepada orang bukan Islam. Mereka mengharuskannya dengan beberapa syarat, iaitu:

  • Orang bukan Islam tersebut bukan terdiri daripada mereka yang menentang dan memerangi Islam
  • Orang bukan Islam tersebut itu bukan merupakan seorang yang telah murtad daripada Islam
  • Tidak mewakafkan mushaf al-Qur’an dan yang seumpama dengannya seperti buku-buku agama kepada orang bukan Islam
  • Tidak mewakafkan sesuatu kepada orang bukan Islam yang secara jelas boleh membawa kepada perbuatan maksiat atau perkara yang dilarang dalam Islam seperti mewakafkan harta kepada penjaga kuil atau gereja untuk mereka gunakan bagi memberikan perkhidmatan di kuil atau gereja tersebut
  • Tidak mewakafkan harta kepada orang bukan Islam jika terdapat ahli keluarga yang miskin dan lebih memerlukan bantuan daripadanya

Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/528-531), Tuhfah al-Muhtaj (6/244), Fath al-Qadir (3/325), Syarh Mukhtasar al-Khalil (7/80), al-Mughni (5/377)

Dalil keharusan mewakafkan harta kepada orang bukan Islam adalah bersandarkan kepada al-Qur’an, hadith Nabi SAW dan athar sahabat, antaranya ialah:

  1. Al-Qur’an

لاَ يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوَهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُقْسِطِينَ

Maksudnya:Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

Surah al-Mumtahanah: 8

Sebahagian ahli tafsir meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan kepada Asma’ binti Abu Bakar RA yang datang bertemu Nabi SAW dan bertanya adakah dia boleh berbuat baik terhadap ibunya yang datang kepadanya dalam keadaan masih lagi belum memeluk agama Islam. Ibu Asma’ tersebut adalah Qutailah dan telah diceraikan oleh Abu Bakar RA ketika zaman Jahiliyyah. Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Tafsir al-Qurtubi (18/59).

Telah berkata Sheikh Abdur Rahman as-Sa’adi Rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik, menyambung silaturrahim, memberi ganjaran dan berlaku adil kepada orang yang bukan Islam, sama ada ahli keluarga kamu ataupun tidak, selagi mana mereka tidak memerangi agama kamu dan tidak menghalau kamu dari negerimu" Rujuk Taisir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan (hlm. 856).

 

  1. Hadith Nabi SAW:

أنَّ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ قالَ: بَيْنا رَجُلٌ يَمْشِي، فاشْتَدَّ عليه العَطَشُ، فَنَزَلَ بئْرًا، فَشَرِبَ مِنْها، ثُمَّ خَرَجَ فإذا هو بكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فقالَ: لقَدْ بَلَغَ هذا مِثْلُ الذي بَلَغَ بي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أمْسَكَهُ بفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ له، فَغَفَرَ له، قالوا: يا رَسولَ اللَّهِ، وإنَّ لنا في البَهائِمِ أجْرًا؟ قالَ: في كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أجْرٌ

Maksudnya: Sessungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Ketika mana seorang lelaki dalam perjalanan, ia merasa sangat haus. Maka dia masuk ke dalam sebuah telaga, lalu minum air dari telaga tersebut. Kemudian dia keluar dari telaga tersebut dan melihat seekor anjing yang menjulurkan lidahnya serta menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Lelaki itu pun berkata: Anjing ini sedang merasai apa yang telah aku rasai. Lalu dia turun kembali ke dalam telaga tersebut dan memenuhkan sepatunya dengan air, membawanya ke atas dengan menggigit sepatu itu, dan seterusnya memberikan anjing itu minum. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.” Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, jika kami mengasihi binatang, adakah kami memperolehi pahala? Baginda SAW bersabda: "Pada setiap jiwa yang bernyawa terdapat padanya pahala.”

Riwayat al-Bukhari (2363) dan Muslim (2244)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah berkata: “Daripada hadith ini terdapat padanya galakan untuk berbuat baik antara sesama manusia. Ini kerana jika seseorang itu memperoleh keampunan disebabkan memberi minum kepada anjing, maka memberi minum kepada orang Islam lebih besar ganjarannya dan ia menjadi dalil bahawa harus memberi sedekah kepada orang Musyrik (orang bukan Islam)” Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (5/42)

 

  1. Athar Sahabat: Imam ad-Darimi, al-Baihaqi dan ibn Abi Syaibah Rahimahumullah meriwayatkan dengan lafaz yang hampir sama bahawa isteri Nabi SAW, Sofiyyah binti Huyay RA pernah mewakafkan sebahagian hartanya kepada saudara lelakinya yang tidak beragama Islam (Yahudi). Rujuk Sunan ad-Darimi (2/517), Sunan a-Kubra (6/281), Musannaf ibn Abi Syaibah (6/212)

Ulama’ juga bersepakat bahawa orang Islam tidak boleh dan tidak sah mewakafkan harta mereka kepada orang bukan Islam jika orang bukan Islam tersebut terdiri daripada golongan yang kuat menentang dan memerangi Islam atau merupakan seorang yang telah murtad daripada Islam. Rujuk Mughni Muhtaj (3/529), Tuhfah al-Muhtaj (6/244), Syarh Mukhtasar Khalil (7/81), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/342), Kasyaf al-Qina’ (4/247).

Para ulama’ memberikan beberapa hujah di atas perkara ini, antaranya ialah:

        1. Keumuman makna ayat al-Qur’an dalam surah al-Mumtahanah, ayat ke-9:

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melarang kamu menjadikan mereka yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari negerimu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu sebagai teman rapat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka mereka termasuk orang-orang yang zalim”

Surah al-Mumtahanah: 9

  1. Salah satu daripada syarat waqaf adalah tidak mewaqafkan harta dalam perkara-perkara maksiat. Mewakafkan harta kepada mereka yang menentang Islam atau keluar daripada Islam akan membawa kepada maksiat kerana akan menyebabkan mereka kekal dalam kekufuran dan juga membantu mereka secara tidak lansung untuk menyerang Islam
  2. Wakaf adalah salah satu bentuk sedekah jariah, sedangkan golongan yang menentang Islam dan keluar daripada Islam adalah golongan-golongan yang diperintahkan oleh syara’ untuk diperangi. Maka, tidak boleh memberikan apa-apa bentuk sedekah kepada mereka.
  3. Pemberian wakaf kepada dua golongan ini adalah bertentangan dengan kemuliaan Islam yang perlu dipelihara.

 

Kesimpulan

Harus bagi orang Islam mewakafkan sebahagian daripada harta mereka kepada orang bukan Islam jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama’.

Namun begitu, kami berpandangan adalah lebih utama untuk mewakafkan harta bagi kepentingan umat Islam secara khusus. Jika terdapat keperluan mewakafkan harta yang boleh dimanfaatkan oleh semua tanpa mengira agama seperti mewakafkan tempat untuk proses pembelajaran, mewakafkan mesin hemodialisis, penapis air, tempat berteduh dan lain-lain, maka ia merupakan suatu yang baik untuk dilakukan. Semoga pahala daripada amal kebajikan yang dilaksanakan berpanjangan dan terus mengalir tanpa henti.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.

 

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2651-al-kafi-837-hukum-menerima-wakaf-daripada-non-muslim?highlight=WyJ3YWthZiIsIid3YWthZiJd