Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1334: PERNAHKAH NABI SAW MEMBUNUH MUSUH KETIKA PERANG?

 

perang.jpg

 

 

SOALAN

Salam ustaz..Maaf menganggu, saya hendak bertanyakan satu soalan..Maklum kita mengetahui bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW terdapat banyak peperangan yang berlaku sama ada Baginda turut serta ataupun tidak..Soalan saya ustaz, adakah Nabi Muhammad SAW pernah membunuh orang-orang kafir di dalam peperangan yang Baginda sertai? Itu sahaja ustaz..Terima kasih.

JAWAPAN 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab Isu dan persoalan yang diajukan oleh saudara yang bertanya, kami mulakan dengan menukilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW berkata:

اشْتَدَّ غَضَبُ اللَّهِ عَلَى رَجُلٍ يَقْتُلُهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: Allah SWT tersangat murka kepada seseorang yang dibunuh Rasulullah SAW ketika berjihad di jalan Allah SWT.

(Hadis riwayat Bukhari, No. 4073)

Menurut hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa Allah SWT amat memurkai kepada mereka yang menentang sehingga membuatkan Baginda SAW membunuh mereka ketika berjihad di jalan Allah SWT. Sehingga Allah SWT berjanji, balasan yang amat berat akan ditimpakan kepadanya di akhirat kelak.

Sesebuah peperangan yang disertai oleh Nabi SAW, Baginda merupakan Ketua Panglima tentera bagi umat Islam yang akan mentadbir urus hal ehwal peperangan. Seumur hidup Nabi SAW, Baginda pernah menyertai peperangan sebanyak 19 kali. Ini adalah sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ishaq. Ketika beliau duduk bersebelahan Zaid bin Al-Arqam, lalu beliau bertanya:

كَمْ غَزَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مِنْ غَزْوَةٍ قَالَ تِسْعَ عَشْرَةَ‏

Maksudnya: Berapa banyak peperangan yang Nabi SAW sertai, lalu beliau menjawab sebanyak 19 kali.

(hadis riwayat Bukhari, No. 3949)

Menjawab kepada isu yang diajukan, setakat daripada bacaan dan dalam pengetahuan kami, hanya seorang sahaja yang pernah dibunuh oleh Nabi SAW dengan menggunakan tangan Baginda sendiri. Beliau adalah Ubai bin Khalaf yang dibunuh ketika peperangan Uhud.

Ini adalah sepertimana kisah yang dinukilkan oleh Imam Abd al-Razzaq al-San'ani di dalam kitabnya (rujuk Musannaf, 5/356):

وَأَمَّا أُبَيُّ بْنُ خَلَفٍ ، فَقَالَ : وَاللَّهِ لَأَقْتُلَنَّ مُحَمَّدًا ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : بَلْ أَنَا أَقْتُلُهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ قَالَ : فَانْطَلَقَ رَجُلٌ مِمَّنْ سَمِعَ ذَلِكَ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى أُبَيِّ بْنِ خَلَفٍ فَقِيلَ : إِنَّهُ لَمَّا قِيلَ لِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا قُلْتَ ؟ قَالَ : بَلْ أَنَا أَقْتُلُهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ فَأَفْزَعَهُ ذَلِكَ ، وَقَالَ أُنْشِدُكَ بِاللَّهِ أَسَمِعْتَهُ يَقُولُ ذَلِكَ ؟ قَالَ : نَعَمْ فَوَقَعَتْ فِي نَفْسِهِ لِأَنَّهُمْ لَمْ يَسْمَعُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَوْلًا إِلَّا كَانَ حَقًّا

Maksudnya: Ubai bin Khalaf berkata: Demi Allah SWT aku pasti akan membunuh Muhammad, maka perkhabaran ini sampai kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata: bahkan aku yang akan membunuhnya. InsyAllah. Kata pengarang: seorang lelaki yang mendengar perkhabaran tersebut telah pergi lalu berjumpa Ubai bin Khalaf dan berkata kepadanya: Ketika dikhabarkan kepada Muhammad apa yang engkau katakan, Beliau lalu berkata: “Bahkan aku yang akan membunuhnya, InsyAllah.” Perkhabaran itu menyebabkan Ubai bin Khalaf rasa ketakutan lalu berkata: “Kamu bersumpah dengan Nama Allah SWT yang kamu benar-benar mendengar dia berkata sedemikian?” lelaki itu menjawab: “Ya”, berita itu memberi kesan kepada dirinya, kerana mereka (orang-orang Quraisy) tidak pernah mendengar Rasulullah SAW mengucapkan sesuatu melainkan perkara itu benar.

فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ أُحُدٍ خَرَجَ أُبَيُّ بْنُ خَلَفٍ مَعَ الْمُشْرِكِينَ فَجَعَلَ يَلْتَمِسُ غَفَلَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيَحْمِلَ عَلَيْهِ ، فَيَحُولُ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَصْحَابِهِ : خَلُّوا عَنْهُ فَأَخَذَ الْحَرْبَةَ فَجَزَلَهُ بِهَا يَقُولُ : رَمَاهُ بِهَا

Pada hari peperangan Uhud, Ubai bin Khalaf keluar ke medan perang bersama orang-orang musyrikin. Beliau mencari peluang terhadap Nabi SAW dalam keadaan lalai untuk bertindak. Tiba-tiba seorang lelaki daripada kalangan muslimin menukar arah (menghalang) Ubai bin Khalaf untuk mempertahankan Nabi SAW. Apabila Rasulullah melihat keadaan itu, baginda berkata kepada sahabatnya: “Biarkan dia.” Lalu baginda mengambil sebilah senjata (pisau / lembing) dan menikamnya. Ada juga yang berkata Baginda membalingnya.

 

 فَيَقَعُ فِي تَرْقُوَتِهِ تَحْتَ تَسْبِغَةِ الْبَيْضَةِ ، وَفَوْقَ الدِّرْعِ ، فَلَمْ يَخْرُجْ مِنْهُ كَبِيرُ دَمٍ ، وَاحْتَقَنَ الدَّمُ فِي جَوْفِهِ ، فَجَعَلَ يَخُورُ كَمَا يَخُورُ الثَّوْرُ ، فَأَقْبَلَ أَصْحَابُهُ حَتَّى احْتَمَلُوهُ وَهُوَ يَخُورُ وَقَالُوا : مَا هَذَا فَوَاللَّهِ مَا بِكَ إِلَّا خَدْشٌ ، فَقَالَ : وَاللَّهِ لَوْ لَمْ يُصِبْنِي إِلَّا بِرِيقِهِ لَقَتَلَنِي ، أَلَيْسَ قَدْ قَالَ : أَنَا أَقْتُلُهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ ، وَاللَّهِ لَوْ كَانَ الَّذِي بِي بِأَهْلِ ذِي الْمَجَازِ لَقَتَلَهُمْ . قَالَ : فَمَا لَبِثَ إِلَّا يَوْمًا أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ حَتَّى مَاتَ إِلَى النَّارِ

Ia mengenai bahagian bawah lehernya, di bawah pelindung lehernya di bahagian atas baju besinya. Darah tidak banyak keluar dan kesemuanya terhimpun di bahagian lehernya, menjadikan dia berteriak seperti seekor lembu. Kawan-kawannya datang dan memikulnya dalam keadaan dia berteriak. mereka bertanya: “Ada apa ini? Demi Allah SWT tiada apa denganmu melainkan toresan.” Lalu Ubai bin Khalaf berkata: “Demi Allah SWT, jikalau kena kepadaku air liurnya, pasti sudah cukup untuk membunuhku. Bukankah dia (Muhammad SAW) telah berkata: “Aku akan membunuhnya (Ubai bin Khalaf), InsyAllah?” setelah berlalu sehari diapun mati dan termasuk dari kalangan ahli neraka.”

Sheikh Safi al-Rahman al-Mubarakfuri turut menyatakan di dalam kitabnya (rujuk Rahiq al-Makhtum, 1/244):

قَالَ اِبْنُ إسحاق: فَلَمَّا أَسْنَدَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الشَّعْبِ أَدْرَكَهُ أَبِي بْن خَلْفِ وَهُوَ يَقُولُ : أَيْنَ مُحَمَّدٍ ؟ لَا نَجَوْتُ إِنْ نَجَا. فَقَالَ الْقَوْمُ : يَا رَسُولِ اللهِ، أَيَعْطِفُ عَلَيْهِ رَجِلَ مَنَّا ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (دعوه) ، فَلَمَّا دَنَا مِنْهُ تَنَاوَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَرْبَةُ مِنَ الْحَارِثِ بْن الصِّمَّةِ، فَلَمَّا أَخَذَهَا مِنْهُ اِنْتَفَضَ اِنْتِفَاضَةُ تُطَايِرُوا عَنْهُ تَطَايَرَ الشِّعْرُ عَنْ ظَهْرِ الْبَعيرِ إِذَا اِنْتَفَضَ، ثُمَّ اِسْتَقْبَلَهُ وَأَبْصَرَ تَرْقُوَتَهُ مِنْ فَرَجَةِ بَيْنَ سَابِغَةُ الدَّرْعِ وَالْبُيْضَةِ، فَطَعَنَهُ فِيهَا طَعْنَةَ تَدَأْدَأَ . تَدَحْرَجَ . مِنْهَا عَنْ فَرَسِهِ مِرَارًا. فَلَمَّا رَجَعَ إِلَى قُرَيْشٍ وَقَدْ خَدَشَهُ فِي عُنْقِهِ خَدَشَا غَيْرُ كَبِيرُ، فَاِحْتَقَنَ الدَّمُ، قَالَ: قَتَلَنِي وَاللهَ مُحَمَّدَ، قَالُوا لَهُ: ذَهَبٌ وَاللهُ فُؤَادِكَ، وَاللهَ إِنَّ بِكَ مَنْ بَأسٍ، قَالَ: إِنَّهُ قَدْ كَانَ قَالٌ لِي بِمَكَّةٍ:( أَنَا أَقْتُلُكَ)، فوالله لَوْ بَصَقَ عَلَى لِقَتَلَنِي. فَمَاتَ عَدُوُّ اللهِ بسَرِف

Maksudnya: Ibn Ishaq berkata: Apabila Rasulullah SAW telah selamat berada di atas bukit, Baginda dijejaki oleh Ubai bin Khalaf sambil melaung: “Di mana Muhammad, aku tidak akan selamat kalau dia selamat?” lalu tentera Islam berkata: “Wahai Rasulullah SAW bolehkah salah seorang daripada kami menentangnya?” Rasulullah SAW menjawab: “Biarkan dia”. Maka apabila Ubai telah hampir kepada Rasulullah SAW, Baginda mencapai sebelah lembing dari Harith bin Simmah. Ketika Baginda mengambilnya Baginda melibas-libaskan lembing itu dengan kuat sehingga para sahabat beranjakan darinya persis seperti bulu yang berterbangan di atas belakang unta apabila ia mengibasnya. Kemudian Baginda tampil ke arahnya sambil memandang tulang selangkanya yang kelihatan antara baju dan topi besi yang dipakainya. Lalu dengan pantas Baginda menusukkan lembing itu ke arah tulang selangkanya sehingga menyebabkan dia terhoyong-hayang di atas kudanya berkali-kali. Apabila dia kembali kepada rakan-rakan Quraisynya, tusukan lembing itu menyebabkan lehernya mengelupas kecil dan mengelurakan darah. Dia pun berkata: “Demi Allah SWT, Muhammad telah berjaya membunuhku”. Teman-temannya berkata kepadanya: “Demi Allah engkau sudah kurang siuman, demi Allah SWT engkau tidak apa-apa. Tetapi dia menjawab: “Muhammad pernah berkata kepadaku semasa di Mekah, beliau akan membunuhku. Demi Allah SWT kalau dia meludahi aku itu sudah cukup untuk membunuhku. Semasa angkatannya dalam perjalanan pulang ke Mekah, Ubai bin Khalaf seteru Allah SWT itu meninggal dunia di sebuah tempat yang bernama sarif.

Semoga penulisan pada kali ini dapat memberikan dan menyumbangkan sedikit sebanyak pencerahan dan maklumat kepada para pembaca sekalian. WalahuA’lam.