Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 105: YA ALLAH, SELAMATKANLAH MASJIDIL AQSA DAN UMAT ISLAM DI PALESTIN

Mukadimah

Pada saat umat Islam menyambut Syawal 1438H, mereka dikejutkan dengan sikap biadap Zionis yang menghalang umat Islam daripada memasuki kota suci Masjidil Aqsa untuk menunaikan solat. Lagi menyedihkan lagi, apabila Imam Masjidil Aqsa, Dr Ikrima Sabri terkena peluru tembakan dan sudah berlaku umat Islam Palestin menjadi syahid.

Membaca khabar-khabar terbaru Masjidil Aqsa, hati kecil kami merasa dukacita dan pedih.

Sesungguhnya Masjidil Aqsa adalah kota suci umat Islam. Ia adalah tempat berakhirnya Isra' dan bermulanya Mi'raj Rasulullah SAW. Masjidil Aqsa yang disebut sebagai "bumi yang kami berkatinya" menunjukkan secara jelas kemuliaan Masjidil Aqsa. Ramai para Rasul lahir dan pernah berhijrah ke situ.

Dengan situasi yang berlaku baru-baru ini, maka sewajarnya kita mengangkat tangan, berdoa kepada Tuhan al-Aqsa agar Dia menghapuskan kabut kesengsaraan dan penderitaan umat Islam di Palestin, di izzahkan Masjidil Aqsa dan umat Islam.

Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan YA ALLAH, SELAMATLAH MASJIDIL AQSA DAN UMAT ISLAM PALESTIN. Semoga kita diberi kesedaran untuk mengasihi dan menyayangi Masjidil Aqsa dan umat Islam yang tertindas dan dizalimi di bumi Palestin.

Masjidil Aqsa

Ia terletak di Baitul Maqdis dan Saidina Umar telah membukanya pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi. Peristiwa yang cukup hebat itu jelas menunjukkan kehebatan Islam yang membawa rahmat kepada sekelian alam. Kami titipkan di sini sedikit sejarah berkenaan dengan perjanjian damai antara Patriach Shafarniyus dengan Khalifah Umar ibn al-Khattab. Teks tersebut telah dicatatkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam Tarikh3/609

Perjanjian ini ditandatangani oleh Umar bin Khattab, Uskup Sophronius, dan beberapa panglima perang Islam. Teks perjanjian tersebut adalah sebagai berikut:

 

بسم الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Ini adalah jaminan keamanan dari hamba Allah, Umar, Amirul Mukminin, kepada penduduk Jerusalem. Umar memberikan jaminan terhadap jiwa mereka, harta, gereja-gereja, salib-salib, orang-orang yang lemah, dan mereka tidak dipakasa meninggalkan agama mereka. Tidak ada seorang pun diantara mereka yang merasa terancam dan diusir dari Jerusalem. Dan orang-orang Yahudi tidak akan tinggal bersama mereka di Jerusalem.

Penduduk Jerusalem diwajibkan membayar pajak sebagaimana penduduk kota-kota lainnya, mereka juga harus mengeluarkan orang-orang Bizantium, dan para perompak. Orang-orang Jerusalem yang tetap ingin tinggal di wilayah Bizantium, mereka boleh membawa barang-barang dan salib-salib mereka. Mereka dijamin aman sampai mereka tiba di wilayah Bizantium. Setelah itu mereka pun masih diperbolehkan kembali lagi ke Jerusalem jika ingin berkumpul dengan keluarga mereka, namun mereka wajib membayar pajak sebagaimana penduduk lainnya. Apabila mereka membayar pajak sesuai dengan kewajiban, maka persyaratan yang tercantum dalam surat ini adalah di bawah perjanjian Allah, Rasul-Nya, Khalifah, dan umat Islam.”

Berdasarkan perjanjian ini, jelas menunjukkan betapa tasamuh dan tingginya adab serta nilai akhlak Islam kepada non Muslim walaupun pada peringkat awal mereka bermusuh dan berperang dengan umat Islam. Inilah mulianya dan indahnya Islam itu sendiri apabila dapat diamalkan oleh umat Islam.

Saidina Umar Ketika Membuka Baitul Maqdis

Sebelum Khalifah Umar RA berangkat menuju ke Jerusalem, beliau telah bermusyawarah bersama para sahabatnya tentang permintaan khusus rakyat Iliya’. Uthman ibn Affan RA mencegah Umar pergi ke al-Quds, tetapi Saidina Ali bin Abi Talib RA mengusulkan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Umar; iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’. Sementara pemergian Saidina Umar RA ke Jerusalem, beliau telah melantik Saidina Ali bin Abi Talib RA menggantikan tugas kekhalifahannya untuk menjaga penduduk-penduduk Islam di Madinah. Lantikan tersebut merupakan usulan Uthman kepada Umar.

Di sinilah hikayat gemilang kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat gelaran al-Faruq ini, dipuji Baginda saw sebagaimana sabdanya:

إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menempatkan kebenaran pada lisan Umar dan hatinya.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 3682)

Khalifah Umar al-Khattab RA tidak pergi ke Bait al-Maqdis dengan rombongan tentera, pakaian yang mewah-mewah dan keagungan kerajaannya. Menurut satu riwayat yang lemah, beliau pergi dengan hanya menaiki seekor unta secara bergilir-gilir dengan pembantunya. Apa yang paling utama tauladan daripada pemergian Umar ke al-Quds adalah dengan cara yang amat menginsafkan.

Setibanya di al-Quds, Umar telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah ra di Jabiya. Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar berdebu dan calar-balar akibat perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke gerbang utama al-Quds. Umar merenung Abu Ubaidah, dengan wajah yang sangat tegas terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepadanya:

أولو غيرك يقولها يا أبا عبيدة، إنكم كنتم أذل الناس، وأحقر الناس، وأقل الناس، فأعزكم الله بالإسلام، فمهما تبتغون العزة في غيره، أذلكم الله

Maksudnya: “Kalaulah bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah (nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran). Sesungguhnya kita semua ini adalah sehina-hina manusia, adapun kamu semua dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah.”

Di Jabiya, Umar al-Khattab ra menyampaikan khutbahnya kepada tentera-tentera Islam:

أيها الناس أصلحوا سرائركم تصلح علانيتكم، واعملوا لآخرتكم تُكْفَوْا أَمْرَ دنياكم؛ فمن أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة فإن الشيطان مع الواحد، وهو من الاثنين أبعد؛ ولا يخلون أحدكم بامرأة فإن الشيطان ثالثهما

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, perbaikilah hal-hal yang tersembunyi dalam diri kalian nescaya akan baik yang zahir dari diri kalian, bekerjalah untuk akhirat maka urusan dunia akan sentiasa mencukupi; sesiapa yang menginginkan syurga hendaklah bersama jamaah, sesungguhnya syaitan bersama orang yang sendirian, dan ia menjauh orang yang berdua; tetapi jangan pula kalian berdua-duan dengan kaum perempuan, kerana syaitan menjadi teman yang ketiganya.”

Umar al-Khattab RA meneruskan perjalanan meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya. Seorang lelaki Yahudi tiba-tiba menyapa Umar dan berkata:

يا أمير المؤمنين، إنك لا ترجع إلى بلادك حتى يفتح الله عليك إيلياء

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya engkau tidak akan kembali ke negerimu (Madinah) sehinggalah Allah membukakan kepadamu kemenangan di Iliya’ (nama lama bagi Jerusalem).”

Umar menghentikan untanya apabila tiba di hadapan gerbang Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin umat yang tidak pernah dilihat di sepanjang sejarah empayar-empayar besar Rom dan Parsi. Mereka menyangka Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi apa yang terlihat di depan mata adalah sebaliknya. Khalifah Umar menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi daripada rakyat Iliya’.

 

Peristiwa Mutakhir di Masjidil Aqsa

Kami kemukakan di sini beberapa akhbar yang memperihalkan situasi di Masjidil Aqsa mutakhir ini.

  • Harian Metro, 19 Julai 2017

Puluhan warga Palestin cedera selepas diserang tentera Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah, hari ini. Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi berkata, serangan itu dilakukan tentera Israel bagi menghalang kemasukan mereka ke masjid suci itu untuk menunaikan solat. Menurutnya, serangan itu berlaku 2.30 pagi waktu tempatan (7.30 pagi Malaysia) ketika ribuan rakyat Palestin berkumpul di kawasan itu. "Warga Palestin berkumpul di kawasan itu untuk mendesak Israel supaya membuka kembali masjid suci berkenaan kepada Muslim. "Berlaku provokasi antara kedua-dua pihak sebelum tentera zionis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah. "Insiden ini berlaku di pintu Bab Al Asbatt iaitu pintu utama untuk masuk ke (Masjid) Al-Aqsa," katanya.

Serangan itu berlaku lebih 40 minit di kawasan berkenaan, katanya. Hamza berkata, semua yang cedera dibawa ke hospital berhampiran dan kebanyakan mereka masih menerima rawatan. Terdahulu, Hamza mendedahkan, pihak berkuasa Israel melarang laungan azan selain mengarahkan semua warga Palestin supaya melalui pagar elektronik untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa atas alasan faktor keselamatan. Katanya, ketegangan mula berlaku selepas dua yahudi mati dibunuh di kawasan berkenaan. Rentetan itu, kerajaan Israel bertindak menutup masjid berkenaan bermula Jumaat lalu menyebabkan muslim terpaksa menunaikan solat Jumaat di perkarangan Masjid Al-Aqsa. Tiga pemuda Palestin juga ditembak mati di kawasan berkenaan sebagai tindak balas terhadap kematian dua yahudi berkenaan.

  • Astro Awani, 24 Julai 2017

Seorang terbunuh sementara dua cedera dalam insiden tembakan di kedutaan Israel di Amman, Jordan. Insiden dipercayai ada kaitan dengan ketegangan Palestin-Israel, susulan tindakan Israel memasang pengesan besi di pintu masuk ke masjid berkenaan.

  • Utusan Malaysia, 19 Julai 2017

Imam masjid Al-Aqsa, Sheikh Ikrima Sabri dikejarkan ke hospital malam tadi selepas cedera ditembak de­ngan peluru getah oleh rejim zionis ketika menunaikan solat di luar pintu pagar masjid berkenaan, lapor pegawai perubatan.

Menurut portal berita Ana­dolu, Sheikh Ikrima telah dibawa ke hospital Al Maqassid di barat Baitulmaqdis tetapi keadaannya masih belum diketahui. Penyelaras Media Aman Pales­tin di Gaza, Hamza Deirawi berkata, serangan itu dilakukan tentera Israel bagi menghalang kemasukan mereka ke masjid suci itu untuk menunaikan solat. Menurutnya, serangan itu berlaku 2.30 pagi waktu tematan (7.30 pagi Malaysia) ketika ribuan rakyat Palestin berkumpul di kawasan itu menyebabkan puluhan yang lain turut cedera termasuk kanak-kanak.

 

Pendapat Ulama’

Kami kemukakan sejumlah pendapat ulama’ berkenaan isu mutakhir ini.

  • Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

“Harus kita katakan dengan jelas bahawa perjuangan ini adalah perjuangan umat Islam. Kota Al-Quds bukan hanya masalah orang-orang Palestin, bukan hanya masalah orang-orang Arab. Kota Al-Quds adalah masalah seluruh umat Islam di seluruh dunia.”

  • Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi

“Telah terbukti dengan peristiwa mutakhir ini yang berlaku di Baitul Maqdis bahawa umat Islam  kerana rakyatnya dan individunya. Akan tetapi, yang lemah itu datan daripada pemerintah yang menghalang rakyatnya daripada membantu al-Aqsa!”

  • Ahmad al-Omari, Setiausaha Kesatuan Ulama’ Sedunia di Persidangan Mimbar Al Aqsa pada 14 Julai 2017.

Kami juga mengangggap jenayah penutupan Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan halangan mendirikan solat Jumaat di dalamnya merupakan pencerobohan yang merbahaya dan jenayah terhadap hak umat Islam keseluruhannya yang mewajibkan ke atas seluruh kaum Muslimin saling berganding bahu dan membantu dalam menghadapi jenayah ini. Terutamanya, para pemerintah yang sepatutnya memikul tanggungjawab untuk bertindak menyekat pencerobohan Zionis terhadap tempat-tempat suci umat ini.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Firman Allah SWT,

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا ۚ أُولَٰئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلَّاخَائِفِينَ ۚ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada sesiapa yang menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (solat dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.”
(Al-Baqarah :114)

Ibn Kathir menjelaskan, “Pada akhir ayat berbentuk berita tetapi bermakna perintah. Iaitu ‘jangan kamu biarkan mereka memasuki masjid jika kamu mampu menguasai mereka. Kecuali setelah ada perdamaian dan pembayaran jizyah.” (Tafsir Ibn Kathir, 1/231)

Al-Maraghi berkata, “Ini disebabkan perbuatan seperti itu bererti melanggar kehormatan agama yang menyebabkan tersebarnya pelbagai kemungkaran di kalangan manusia dan meluasnya kerosakan di mukabumi. (Tafsir al-Maraghi, terj. 1/226).

Syed Qutb berkata, “Maksudnya mereka wajar ditentang, diusir dan diharamkan dari keamanan kecuali mereka datang ke masjid-masjid Allah kerana mencari perlindungan dan keamanan di kawasannya.” (Fi Zilal al-Qur’an, terj. 1/238)

Kami merasa amat kecewa dan sedih dengan apa yang terjadi kepada saudara kami rakyat Palestin dan juga Masjidil Aqsa. Kami mengharapkan kabus sengsara dan dukacita umat Islam di sana akan digantikan dengan perasaan gembira dan bahagia.

Sudah sampai masanya umat Islam perlu menginsafi diri masing-masing untuk muhasabah dan kembali kepada tali Allah melalui Islam dan kefahaman yang sebenar daripada al-Qur’an dan Sunnah Nabawiyyah sebagai petunjuk yang hakiki. Menjadikan kita semua bersaudara dengan ukhuwah Islamiyyah akan menzahirkan kekuatan yang luarbiasa. Inilah ramuan kemenangan umat Islam apabila mereka bersatu di bawah satu payung iaitu Islam tanpa menjuzuk-juzukkan sesama umat Islam. Benarlah firman Allah SWT:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Anfal: 46)

Marilah kita mengambil semangat dan inspirasi panglima tentera Islam yang terkemuka, Salahuddin al-Ayyubi yang berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku..."

Kami tutup kenyataan ini dengan mengajak untuk kita tawajjuh dan munajat kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa.

بسم الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِيْنُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ، وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْكَ، وَنُثْنِيْ عَلَيْكَ الْخَيْرَ، وَلَا نَكْفُرُكَ، اللهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُدُ، وَلَكَ نُصَلِّيْ وَنَسْجُدُ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ، نَرْجُوْ رَحْمَتَكَ، وَنَخْشَى عَذَابَكَ،

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلَامَ وَالْمُسلمين، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَدَمِّرْ أَعْدَاءَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْن, اَللَّهُمَّ أَهْلِكِ َالطُّغَاةَ وَالظَّالِمِيْنَ يَا رَبَّ اْلعَالَمِيْن، اَللَّهُمَّ اِنَّنَا نَجْعَلُكَ فى نُحُورِ أَعْدَاءِنَا و نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ, اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَ فَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ يَا قَهَّار, يَا جَبَّار, يَا مُنْتَقِم, يَا الله, يَا الله, يَا الله.

اللهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، اِهْزِمْهُمْ وَاْنصُرْنَا عَلَيْهِمْ. اَللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْلِمِيْنَ فِيْ فِلِسْطِيْن، اَللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْلِمِيْن فِيْ كُلِّ مَكَان, اَللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ, اَللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى اليَهُودَ الغَاصِبِيْنَ المُحْتَلِّيْنَ،

اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ فِيْ سَبِيْلِكْ، والْمُضْطَهَدِيْنَ فِيْ دِيْنِهِمْ فِيْ كُلِّ مَكَان، اَللَّهُمَّ انْصُرْ إخْوَانَنَا فِيْ فِلِسْطِيْن، اَللَّهُمَّ انْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ، اَللَّهُمَّ اجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ، وَوَحِّدْ صُفُوْفَهُمْ، يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ, رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ.

“Ya Allah sesungguhnya kami memohon pertolongan dari-Mu dan kami beriman denganMu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami memuja Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufuriMU, Ya Allah hanya engkau yang kami sembah dan kepada Mu kami menunaikan solat dan bersujud, kepadaMu kami menuju, dan kami menyegerakan langkah, kami mengharapkan rahmatMu dan kami takutkan azabMu

Ya Allah muliakanlah Islam dan kaum muslimin, dan hinakanlah kesyirikan dan kaum musyrik, Ya Allah hancurkan musuh-musuh-Mu yang merupakan musuh-musuh agama-Mu, Ya Allah binasakanlah taghut dan orang-orang yang zalim, Wahai Tuhan sekalian alam.

Ya Allah kami jadikan Engkau dihadapan musuh-musuh kami dan kami berlindung denganMu dari kejahatan-kejahatan mereka. Ya Allah cerai-beraikan kekuatan mereka, pecah-belahkan kesatuan mereka, selerakkanlah kalimah mereka, dan goncangkan kedudukan mereka, Wahai Tuhan Yang Maha Gagah, wahai Tuhan Yang Maha Keras, wahai Tuhan Yang Maha Membalas, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.

Ya Allah, wahai Tuhan, yang menurunkan al-Kitab, wahai Tuhan yang menggerakkan awan, wahai Tuhan yang mengalahkan tentera al-Ahzab, kalahkanlah mereka dan bantulah kami menghadapi mereka.

Ya Allah, selamatkanlah kaum Muslimin di Palestin, Ya Allah selamatkanlah kaum Muslimin di semua tempat, Ya Allah selamatkanlah kaum-kaum yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman, Ya Allah keraskan balasanMu ke atas orang-orang Yahudi Perampas dan Penjajah.

Ya Allah bantulah saudara-saudara kami para pejuang di jalanMu, yang ditindas kerana agama yang mereka anuti di semua tempat. Ya Allah bantulah saudara-saudara kami di Palestin, Ya Allah bantulah mereka, Ya Allah bantulah mereka berdepan dengan musuh-Mu dan musuh mereka, Ya Allah satukanlah kalimah mereka, dan saf-saf mereka, wahai Tuhan sekelian alam, Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihani kami, sudah pasti kami akan tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi."

 

Akhukum fillah,

 

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

30 Syawal 1438H bersamaan 24 Julai 2017