Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-17 : Siapakah Imam ad-Darimiy serta pengenalan ringkas tentang Sunan-nya

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kadang-kadang apabila kita membaca buku-buku berkaitan hadith, kita akan terjumpa padanya riwayat ad-Darimiy di dalam Sunan-nya. Justeru itu, elok benar kita mengenali tokoh ini serta metodologi karya beliau secara ringkas:

Nama beliau ialah Abu Muhammad Abdullah bin Abdulrahman bin al-Fadhl bin Buhram ad-Darimiy as-Samarqandiy. Ad-Darimiy ialah nisbah kepada ad-Darim, Uzbekistan. Beliau telah lahir pada tahun 181 hijrah dan wafat di Bukit Marwa ketika Hari Tarwiyah. Tambahan pula, beliau telah dikebumikan pada hari Arafah bersamaan dengan hari Jumaat tahun 255 hijrah.

Ad-Darimi diberikan kecerdasan oleh Allah SWT, fikiran yang kritis dan daya hafalan yang sangat kuat, terutamanya dalam menghafal hadith. Ketika hayat beliau, beliau banyak mengembara ke serata dunia semata-mata untuk mencari ilmu. Antara destinasi yang dikunjunginya ialah Mesir, al-Syam, al-Iraq dan al-Haramain iaitu Makkah dan Madinah di Arab Saudi.

Imam Ad-Darimi telah belajar dengan guru-guru yang hebat dan besar. Beliau memiliki guru yang sangat banyak, diantaranya ialah :

  • An-Nadhr bin Syamil
  • Abu An-Nadhr Hasyim bin Qasim
  • Marwan bin Muhammad Ath-Thathari
  • Yazid bin Harun
  • Asyhal bin Haaim
  • Aswad bin Amir
  • Ja’far bin Aun

Dalam hal ini, beliau juga banyak memiliki murid-murid yang belajar dan meriwayatkan hadith daripada beliau, diantaranya ialah :

  • Imam Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi
  • Imam Abu Daud
  • Imam Tirmizi
  • Hasan bin Shabbah Al-Bazzar
  • Abu Zur’ah

Pendapat Ulama’ tentang Imam ad-Darimiy

Imam ad-Darimi adalah seorang ulama’ hadith yang sangat terkenal di dalam bidangnya, maka banyak daripada kalangan ulama’ yang memberikan sanjungan kepada Imam ad-Darimi, antaranya adalah:

  • Ibn Hibban pernah berkata: “Beliau adalah antara Huffaz (penghafal hadith) yang mutqin (mahir dan teliti) berkenaan apa yang dihafal, dikumpul, diteliti, disusun dan disampaikan hadith”.
  • Muhamad bin Basyar berkata: “penghafal yang hebat di dunia ini ada empat : Abu Zur’ah ar-Razi, Muslim an-Nasaiburiy, Abdullah bin Abdul Rahman di as-Samarqandi dan Muhamad bin Ismail di al-Bukhara”.
  • Abu Bakar al-Khilib al-Baghdadi menukilkan hal ini dalam buku beliau tarikh baghdad dan kemudian di nukil oleh al-Zahabi, beliau berkata: “dia adalah salah seorang pengembara yang sejati dalam mencari hadith dan memiliki kekuatan hafalan dalam mengumpulkan hadith-hadith secara itqan”.

 

Kedudukan Sunan Ad-Darimiy

Telah berkata al-Ala’iy: Sunan ad-Darimiy tidak termasuk di dalam as-Sunan al-Arba’ah dari sudut kedudukannya, tetapi jika ia dijadikan kitab yang kelima, itu adalah lebih baik kerana sunan ad-Darimiy ini jauh lebih baik daripada sunan Ibn Majah. Untuk itu, sebahagian ahli ilmu menjadikannya salah sebuah kitab di dalam al-Kutub al-Sittah bagi menggantikan Sunan Ibn Majah. Di dalamnya terdapat hadith Mursal (tiada sahabat di dalam rangkaian sanad), Munqati’ (sanadnya terputus), Mu’dhal (gugur dua rawi atau lebih di dalam satu sanad) dan Maqtu’ (teks hadith terputus).

 

Kelebihan-kelebihan Sunan ad-Darimiy

Antaranya ialah :

  • Ia masyhur dalam kalangan ahli hadith sebagai al-Musnad iaitu Musnad ad-Darimiy.
  • Hadith-hadithnya disusun mengikut bab-bab feqah.
  • Sunan ad-Darimiy disusun dengan begitu cantik dan kemas.
  • Di dalamnya terdapat hanya sedikit perawi-perawi yang lemah.

 

Metodologi susunan kitab dan bilangan hadith di dalam sunannya

Di dalam muqaddimah kitab mengandungi beberapa bab antaranya berkaitan dengan Syama’il Nabi SAW, bab mengikut sunnah, bab adab berfatwa dan juga bab kelebihan ilmu. Kemudian kitab ini disusun hadith-hadithnya mengikut bab Feqah yang dimulakan dengan bab bersuci dan bab terakhir ialah kelebihan al-Quran. Di dalam kitab ini terdapat 3503 buah hadith dan juga athar ( آثار ).

 

Penutup

Kesimpulannya, Imam ad-Darimiy  merupakan salah seorang tokoh hadith yang telah banyak menyumbang dan sumbangannya begitu besar di dalam ilmu hadith kepada umat Islam dan sehingga kini karya-karyanya juga masih menjadi rujukan dan ditempatkan di dalam perpustakaan Islam. Semoga Allah SWT merahmatinya. Amin.

Wallahua`lam.