IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-186: RIWAYAT HADITH DENGAN MAKNA

 

 

Soalan: Apakah hukum meriwayatkan hadith dengan makna?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Umum mengetahui bahawa sebaikbaik manusia adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Ini kerana, sebaik-baik perkataan adalah perkataan yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Hal ini, dinyatakan di dalam al-Qur’an berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)”. [Fussilat : 33]

 

Merujuk kepada soalan di atas, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam membenarkan seseorang itu meriwayatkan hadith dengan makna. Sebelum kami menjelaskan hukum meriwayatkan hadith dengan makna, kami terlebih dahulu ingin menjelaskan makna meriwayatkan hadith dengan makna. Meriwayatkan hadith dengan makna ialah meriwayatkan sesebuah hadith dengan lafaz yang berbeza dengan lafaz asal hadith.

 

Walaupun hukum meriwayatkan hadith dengan makna merupakan isu yang diperselisihi oleh para ulama’, namun jumhur ulama’ membenarkan periwayatan hadith dengan makna dan dalam masa yang sama perlu menepati beberapa syarat yang telah ditetapkan. Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi adalah: [Lihat: al-Minhaj al-Hadith, 58]

 

  • Seorang yang ingin meriwayatkan hadith itu terlupa lafaz atau matan hadith yang ingin diucapkan apabila diminta untuk meriwayatkan hadith berdasarkan hafazannya.

 

  • Seorang yang ingin meriwayatkan hadith dengan makna perlulah mahir dalam bahasa arab agar makna hadith tersebut selamat daripada sebarang perubahan.

 

  • Lafaz atau matan hadith itu tidak boleh ditukar dengan perkataan lain walaupun maksudnya sama seperti lafaz doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kerana lafaz tersebut menjadi ibadah apabila membacanya. Ini kerana, tidak ada lafaz lain yang setaraf dengan lafaz yang digunakan oleh Nabi SAW di dalam sesuatu doa atau zikir.

 

Tambahan pula, Imam al-Suyuthi menukilkan di dalam bukunya bahawa jumhur salaf dan khalaf di antaranya para imam 4 mazhab membolehkan meriwayatkan hadith dengan makna. [Lihat: Tadrib al-Rawi, 314]

 

Kami berpandangan bahawa sebaik-baiknya hadith diriwayatkan dengan lafaz atau matannya yang asal. Walaubagaimanapun, jika seseorang itu terlupa matan atau lafaznya yang asal maka dibolehkan seseorang itu meriwayatkan hadith tersebut dengan makna setelah menepati syarat-syarat yang dinyatakan di atas agar makna hadith yang asal dapat dikekalkan.

 

Penutup

Kesimpulannya, meriwayatkan hadith dengan makna dibolehkan apabila seseorang itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di atas. Terdapat satu lagi perkara yang dituntut dan ia bukanlah merupakan syarat kerana ia lebih kepada adab iaitu mengungkapkan perkataan “sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah SAW” selepas meriwayatkan hadith dengan makna. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan seterusnya memasukkan kita ke dalam syurga-Nya yang kekal abadi. Amin.

 

Wallahua’lam


Cetak   Emel