Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-175: ORANG TUA SEBAGAI PINTU TENGAH SYURGA

 

Soalan: Adakah sahih hadith berkaitan orang tua sebagai pintu tengah syurga?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami mendapati hadith di atas diriwayatkan di dalam beberapa buah kitab hadith. Antaranya:

 

  • Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Maksudnya: “Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”. [Riwayat al-Tirmizi (1900)]

 

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، فَحَافِظْ عَلَى وَالِدَيْكَ أَوِ اتْرُكْ

Maksudnya: “Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka jagalah kedua ibubapa kamu atau tinggalkan”. [Riwayat Ibn Majah (2089)]

 

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوِ احْفَظْهُ

Maksudnya: “Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”. [Riwayat Ibn Majah (3663)]

 

Hukum Hadith

Hadith ini adalah sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama’ hadith. Antara ulama’ hadith yang menilai hukum hadith ini ialah:

 

  • Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai sahih di dalam al-Jami’nya.
  • Imam Ibn Hibban meriwayatkan hadith ini di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 167/2]
  • Imam al-Hakim mengatakan hadith ini sanadnya sahih tetapi tidak ditakhrijkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. [Lihat: al-Mustadrak, 215/2]

 

Makna Hadith

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan orang tua (ibubapa). Kemurkaan Allah itu berlawanan dengan redha pada kemurkaan orang tua kerana Allah SWT memerintahkan kita gar mentaati ibubapa serta memuliakan sesiapa yang mentaati mereka. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

 

Hadith ini juga menjelaskan berkaitan kewajipan kita berbuat baik kepada ibubapa serta mentaati perintahnya dalam perkara-perkara yang ma’ruf (perkara yang tidak bertentangan dengan agama). Di samping itu juga, hadith ini menunjukkan bahawa ibubapa merupakan jalan atau wasilah untuk seseorang yang bergelar anak itu memasuki syurga Allah SWT.

 

Penutup

Kesimpulannya, berbakti atau berbuat kepada ibubapa adalah satu tuntutan untuk setiap insan. Antara dalil yang diwajibkan untuk kita berbakti kepada ibubapa adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua (dalam jagaan dan peliharaan) maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ahh" serta janganlah kamu menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. [al-Isra’:23]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mentaati dan berbakti kepada kedua ibubapa serta memasukkan kita ke dalam syurga-Nya yang kekal abadi di akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam