Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-58: HARI PEKERJA...INILAH NASIHATKU

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

Masih tidak terlambat lagi buat kami untuk mengucapkan selamat Hari Pekerja bagi mereka yang bekerja siang dan malam demi membangunkan diri, keluarga, negara dan agama. Kami juga dikesempatan ini ingin titipkan beberapa nasihat agar ianya dapat dijadikan bekalan buat kita semua dalam melayari bahtera kehidupan ini dan semoga dengannya juga dapat memberikan manfaat buat kita semua kerana Allah SWT telah berfirman:

وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksudnya: Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.

(Al-Zariyaat: 55)

 

Amanah Allah SWT

Sedarlah wahai saudara-saudaraku sekalian! Sekiranya Allah SWT telah mengurniakan kalian dengan sesuatu jawatan ataupun tugasan, maka ketahuilah ianya adalah amanah dari Allah SWT  dan kalian akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Amanah itu terletak pada empunya diri. Seseorang itu apabila amanah berada ditangannya, ia mampu menjadikan sesuatu itu baik dan dia juga mampu mengubahnya kepada sesuatu yang buruk. Ingatlah firman Allah SWT ketika mana Allah SWT ingin memberikan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang lalu mereka enggan memikulnya kerana takut tidak dapat menunaikan amanah itu. Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. 

(Al-Ahzab: 72)

 

Al-Imam al-Baghawi (wafat 510H) Rahimahullah di dalam tafsirnya, Ma’alim al-Tanzil membawakan riwayat daripada  Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mengatakan manusia itu menzalimi dirinya sendiri kerana jahil dengan arahan Allah SWT dan apa yang dipikulnya dari amanah. Begitu juga dengan riwayat al-Kalbi Rahimahullah yang mengatakan manusia itu menjadi zalim ketika mana bermaksiat terhadap Allah SWT dan kejahilannya kerana tidak mengetahui akibat daripada perbuatannya meninggalkan amanah yang telah diberikan kepadanya. [Lihat Tafsir Al-Baghawi. Dar al-Taybah, 6/381]

Ingatlah bahawa kita akan ditanyakan mengenai apa yang telah kita lakukan di atas muka bumi ini dan begitu jugalah dengan apa yang telah SWT amanahkan kepada kita. Tiada satupun yang akan terlepas daripada perhitungan Allah SWT. Begitu juga pesanan Rasulullah ﷺ:

كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: Setiap dari kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan di atas setiap apa yang kalian pimpin.

Riwayat Al-Bukhari (5200)

 

Memenuhi segala amanah yang telah Allah SWT berikan kepada kita adalah wajib. Ini sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

(Al-Nisaa’: 58)

 

Di dalam Tafsir Al-Waseet karangan Syeikh Al-Tantawi Rahimahullah menyebutkan bahawa sesungguhnya Allah SWT mengarahkan orang mukmin itu agar menunaikan segala amanah dan juga hak-hak kepada ahlinya sama ada ianya daripada hak-hak Allah SWT ataupun manusia yang lainnya. Begitulah juga sama ada dari segi perbuatan, ucapan mahupun iktikad, maka wajib untuk ditunaikan.

 

Ikhlas

Saudara-saudaraku sekalian. Ikhlas itu, kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) Rahimahullah adalah menunggalkan qasd (niat) dalam ketaatan kepada Allah.[1]  Maka, ikhlaskanlah jantung hatimu ketika mana kamu sedang bekerja mencari rezeki hanya kerana Allah SWT agar pekerjaan yang kamu lakukan itu dikira sebagai ibadah kepada Allah SWT. Moga-moga setiap langkahmu menuju ke tempat kerja dikira sebagai pahala di sisi Allah SWT. Moga segala keringat yang tercurah padanya juga mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid…

(Al-Bayyinah: 5)

 

Ketahuilah bahawa amal perbuatan yang ikhlas ianya akan diangkat oleh Allah SWT dan Allah SWT akan mengkayakan jiwa kalian dan juga memberikan kebahagian buatnya sehingga sampai satu tahap di mana kalian tidak lagi mengharapkan balasan daripada insan lain. Itulah falsafah tertinggi dalam mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Segala apa yang dilakukannya hanyalah kerana Allah SWT bukanlah demi mendapatkan pujian, wang, harta ataupun pangkat. 

 

Elakkan Sifat Bertangguh (Al-Tasweef)

Sifat suka bertangguh ini seperti mana yang telah dikatakan oleh sebahagian salaf adalah sebahagian daripada tentera-tentera iblis[2] bahkan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) Rahimahullah di dalam kitabnya Madarij al-Salikin mengatakan bahawa sifat bertangguh dan juga angan-angan kosong itu adalah modal bagi kemuflisan[3].

Al-Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari (wafat 256H) Rahimahullah di dalam Sahihnya ada mengemukakan sebuah athar daripada Ibn Umar R.Anhuma yang mana menyebut:

إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Maksudnya: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihat kamu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.

Riwayat Al-Bukhari (6416)

 

Diriwayatkan daripada Abu Ishak Rahimahullah yang mana beliau telah berkata: Telah dikatakan kepada seorang lelaki daripada Abd al-Qays: “Berwasiatlah kepada kami. Maka telah dikatakan: Jauhilah daripada sifat suka bertangguh”.

Ingatlah pesan al-Hasan al-Basri Rahimahullah yang mana mengatakan: “ Wahai anak Adam. Sesungguhnya kamu itu adalah dari kalangan hari-hari. Ketika mana berlalunya hari, maka hilanglah juga sebahagianmu”.[4]

Oleh itu, buangkanlah sifat suka bertangguh ini dan berusaha untuk menyiapkan segala tugasan dan amanah yang diberi pada masa yang telah ditetapkan. Setiap daripada kita diberikan peruntukan 24 jam yang sama. Tiada seorang yang dilebihkan dengan sejam mahupun dipendekkan sejam daripada masa sehariannya melainkan dirinya sendiri yang tidak mampu untuk mengurus sebaiknya masa yang ada. Semoga dengan membuang sifat suka bertangguh ini menjadikan kita seorang pekerja yang lebih produktif.

 

Penutup

Semoga dengan sedikit nasihat dan peringatan ini dapat sama-sama kita insafi diri kita seterusnya berubah kepada yang lebih baik. Seorang mukmin itu adalah mereka yang boleh memberikan manfaat kepada saudaranya lain.

Akhir kalam, jadilah kita sebenar-benar mukmin yang mampu memberikan yang terbaik buat dirinya sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan juga agamanya. Ketahuilah bahawa kehidupan ini, keseluruhannya adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. 

(Al- Zariyaat: 56)

 

 

Jadikanlah pekerjaan kita ini sebagai satu jalan dalam beribadah kepada Allah SWT dengan menjaga segala amanah yang telah diberikan serta melunaskannya seperti mana yang telah syariat tetapkan. Berlakulah adil dalam menjalankan tugas dan janganlah menzalimi orang lain. Semoga sama-sama dapat kita hayati peringatan ini dan seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

11 Mei 2016 bersamaan 4 Sya’ban 1437H

 

[1] Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Madarij al-Salikin (2/91).

[2] Al-Khatib al-Baghdadi. Iqtidho’ al-‘Ilm al-‘Amal (hlm. 114).

[3] Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Madarij al-Salikin ( 1/456-457).

[4] Abu Nu’aim al-Asbahani. Hilyah al-Auliya’ (2/148).