BAYAN LINNAS SIRI KE-12 : KEMATIAN ULAMA

 

 

Mukaddimah

Kami pernah mencatat nama-nama sebahagian  besar para ulama yang masyhur di dunia kembali ke rahmatullah pada tahun 2014 yang lalu yang kami namakan buku tersebut sebagai Wada’ al-A’lam dengan maksud Selamat Tinggal Ulama dan kami slogankan dengan hilang permata Islam yang disegani pergimu tiada pengganti. Pada kali ini Bayan Linnas cuba mengupas isu para ulama yang kembali ke rahmatullah dan sikap kita sebagai umat Islam.

Kami namakan Bayan Linnas siri ini dengan “Kematian Ulama”. Semoga dengan kenyataan ini, kita mengasihi dan menghormati ulama disamping mendoakan kepada mereka sama ada yang masih hidup atau yang telah menemui Tuhan-nya.

 

Definisi Ulama

Sering kali kita dengar masyarakat mengelarkan seseorang sebagai ulama atau orang alim, kadang-kadang masyarakat sendiri keliru jika ditanya siapakah mereka yang dianggap ulama. Justeru dalam bab ini akan diterangkan pendapat ulama dan cerdik pandai berkenaan takrif ini.

Dinyatakan di sini dahulu pendapat Syeikh al-Habib Zein Bin Ibrahim Bin Sumait:

“Maka ilmu adalah punca dan sumber kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Ini kerana, sebesar-besar kedudukan pada hak anak Adam adalah kebahagiaan yang berkekalan di akhirat dan melihat wajah Allah serta menghuni syurga-Nya. Hal ini, tidak akan sampai kecuali dengan ilmu dan amal dan amalan tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali dengan segala kaifiyatnya berdasarkan ilmu.”

Justeru dalam bab ini akan diterangkan pendapat ulama dan cerdik pandai berkenaan takrif ini.

  • Ulama ialah yang mengenali syariat Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
  • Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti kata al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (3/327).
  • Ulama ialah ahli fiqh Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka di kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam mendhabitkan qawaid halal daripada yang haram. Lihat I’lam al-Muwaqi’in (1/7).

Ulama ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ 

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

 (Surah al-Sajdah: 24)

  • Ulama ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.
  • Ulama ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.
  • Ulama ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Cukuplah mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

 (Surah Ali Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kaki mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.
  • Ulama dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak sayugia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati.

 

Tafsiran Hadis Ilmu Dicabut

Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” 

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Maksud mereka sesat kerana memberi fatwa kepada manusia dengan cara batil dan tanpa ilmu serta petunjuk yang sebenar. Sedangkan mereka menyesatkan manusia kerana mereka semua percayakan ulama tersebut. Justeru kesemuanya binasa

Tafsiran hadis di atas, antaranya:

  • Ilmu merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini menunjukkan betapa kita perlu memohon daripada-Nya supaya dikurniakan ilmu.
  • Cara ilmu dicabut ialah dengan kematian ulama. Justeru, hendaklah kita pelajari ilmu dari para ulama dengan cara bertalaqqi sebelum mereka meninggalkan kita. Ini kerana, ilmu tidak boleh diwarisi seperti mana harta, sebaliknya perlu dipelajari dan ditekuni dengan bersungguh-sungguh.
  • Kelebihan ulama dalam memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik daripada sebarang kejahilan kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh.
  • Seseorang itu haram mengeluarkan fatwa tanpa sebarang asas dan dalil yang kukuh jika menyalahi prinsip agama. Syarat mengeluarkan fatwa mestilah dengan berilmu, amanah, adil dan ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana yang lain daripada-Nya.
  • Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada para ulama agar ia benar-benar memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menghindarkan sifat-sifat mazmumah.
  • Kematian ulama dianggap sebagai musibah yang besar kerana ulama adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat ini. Untuk melahirkan ulama yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal. Justeru, sedikit sahaja yang tergolong dalam golongan ulama rabbani yang berani menyatakan kebenaran dan berdakwah dengan penuh hikmah.
  • Perlu bagi kita memuliakan ulama dan mengasihi mereka. Ini kerana jalan yang ditunjuk kepada kita adalah jalan akhirat dengan cara ibadah yang sah serta iman yang benar. Justeru, amat wajar dikasihi dan dimuliakan mereka kerana ia termasuk suruhan Nabi SAW.
  • Antara tanda akhir zaman ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian tokoh ulamanya, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaru dan terkini.
  • Ulama yang menjadi pewaris nabi amat perlu diberi penghormatan dan dimuliakan kerana peranannya yang cukup istimewa di sisi Allah. Menjadi keperluan kepada kita semua untuk mengutip seberapa banyak mutiara ilmu daripada tokoh seperti itu.

Imam al-Syafie berkata: Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.

Pujangga berkata: Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan. Pertama, kita mengetahui masalah pokok dan kedua, kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu.

Penulis menutup perbincangan ini dengan kenyataan daripada Sulaiman Rahimahullah yang berkata:

لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا بَقِيَ الأَوَّلُ حَتَّى يَتَعَلَّمَ الآخِرُ، فَإِذَا هَلَكَ الأَوَّلُ قَبْلَ أَنْ يَتَعَلَّمَ الآخِرُ هَلَكَ النَّاسُ

Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia.”

Ketika ditanya kepada Sa’id Bin Jubair Rahimahullah: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Apabila para ulama mereka meninggal dunia.”

 

Kematian Ulama

Seperti yang dinyatakan ulama adalah pewaris para Nabi dan menjadi pelita kepada Ummah di mana ia menerangi dengan panduan taufiq dan hidayah daripada Ilahi. Ilmu dan hikmah yang dimilikinya sudah pasti amat berguna kepada Ummah agar mereka tidak terbelenggu dalam kejahilan yang menyebabkan mereka begitu jarak daripada petunjuk Ilahi.

Selepas hampir puluhan tahun para ulama mengutip mutiara ilmu dan kemudian mengajarnya kepada khalayak maka sudah pasti ia bukan semata-mata bentuk pengajaran tetapi tarbawi dan khuluqi turut disertakan sekali. Disamping itu, qudwah dan uswah yang baik dipamerkan agar benar-benar bersebati dalam masyarakat.

Kematian ulama adalah musibah besar kepada Ummah, kerana kebiasaannya manusia mampu menggantikan jawatan tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati ulama yang berpengaruh yang begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya atau negerinya sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.

Pertama: Al-Quran

Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ 

Maksudnya: “Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?”

 (Surah al-Ra’d: 41)

Atha’ dan ramai ulama menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi maksud kematian para ulama dan hilangnya para fuqaha’.

Firman Allah SWT:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ

Maksudnya: “Demi bintang semasa ia menjunam.”

 (Surah al-Najm: 1)

Imam al-Nasafi berkata: “Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia.”

 

Kedua: Hadis

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

 

Ketiga: Athar

Dinyataka di sini beberapa hadis dan athar berkenaan dengan kematian para ulama.

Daripada al-Hasan, mereka (‘Aisyah, Ibn Mas’ud dan lain-lain) berkata:

مَوْتُ الْعَالِمِ ثُلْمَةٌ فِي الْإِسْلَامِ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Maksudnya: “Matinya seorang alim adalah seperti patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya sesuatu, walaupun bersilih ganti malam dan siang.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1590), al-Bazzar (171), al-Darimi (333) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (1/317)

 

Daripada Abu Darda’ RA, berkata:

موتُ العالمِ مصيبةٌ لا تجبرُ، وثُلمةٌ لا تُسدُّ، ونَجمٌ طُمِسَ، موتُ قبيلةٍ أيسرُ من موتِ عالمٍ

Maksudnya: “Kematian seorang alim merupakan musibah yang tidak tertanggung dan patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya, seolah-olah bintang yang terpadam cahayanya dan mati satu qabilah atau kaum lebih ringan daripada mati seorang alim.”

Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (1/206) dan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dhaifah (4838)

Daripada Ali RA, berkata:

إِذَا مَاتَ العَالِمُ ثُلِّمَ فِي اَلإِسْلَامِ ثُلْمَةٌ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang alim nescaya dipatahkan mercu tanda Islam yang tidak mungkin dapat ditampungnya oleh sesuatu hingga hari kiamat.”

Riwayat al-Syaukani dalam Fawaid Majmu’ah (287), al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/105) dan al-Zurkani dalam Mukhtasar al-Maqasid (75)

Daripada Umar RA, katanya:

لَمَوْتُ أَلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ، أَهْوَنُ مِنْ مَوْتِ عَاقِلٍ

Maksudnya: “Mati seribu orang ahli ibadat yang berqiamullail dan puasa sunat di siang hari lebih ringan daripada mati seorang yang berakal lagi alim.”

Keempat: Pendapat Ulama

Daripada Abi Ja’far rahimahullah berkata:

مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيْسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِيْنَ عَابِدَا

Maksudnya: “Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.”

Riwayat al-Baihaqi (4/344) dan Abu Nu’aim (3/183)

Pernah ditanya kepada Sa’id Bin Jubair: “Apakah alamat binasanya manusia?

Jawabnya: “Dengan kematian para ulama mereka.”

Daripada nas dan kenyataan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa ilmu, hikmah dan juga para ulama mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru apabila berlaku kematian ulama, maka sebenarnya cacatlah dunia ini dan umat manusia dengan terpadamnya pelita atau obor yang menyuluh kehidupan mereka.

Seperkara yang perlu diingati, kematian para ulama biasanya akan dirasai oleh generasi dan kehilangannya begitu terasa sehingga membawa kepada sebutan dan nostalgia yang indah tatkala wujudnya ulama tersebut di kalangan masyarakat. Ini kerana mereka diibaratkan seperti bintang dilangit yang mana ramai yang boleh menjadikan mereka pedoman seperti kata Abu Muslim al-Khaulani.

Semoga para ulama diberkati Allah dan ilmu mereka terlebih dahulu dapat diambil dan dikutip dari mulut mereka oleh generasi selepasnya agar kesinambungan ilmu bersilsilah.

 

Penutup

Sesungguhnya para ulama telah mewaqafkan kehidupannya untuk meraih ilmu sebanyak mungkin. Justeru tidak hairanlah mereka dikurniakan kedudukan yang cukup istimewa di sisi Allah SWT. Allah sendiri telah membuat satu pertanyaan:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar: 9)

Semoga dengan Bayan Linnas ini kita dapat menjadikan para ulama uswah dan qudwah (contoh) dalam beribadat kepada Allah dan juga menuntut ilmu serta menyebarkannya. Mereka adalah guru, murabbi, mursyid dan juga ustaziyatul ‘alam.

Pujangga pernah berkata: “Apabila seseorang guru memiliki tiga perkara sudah barang tentu akan sempurna nikmat kepada pelajarnya: Sabar, tawaddu’, dan akhlak yang baik. Apabila seseorang pelajar memiliki tiga perkara sudah barang tentu sempurna nikmat dengannya terhadap gurunya pula: Akal yang waras, adab, dan juga baik fahaman.

Inilah yang dinukilkan daripada Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin.

Harapan kami dengan kenyataan ini akan dapat melahirkan rasa cinta kita kepada para ulama Rabbani yang banyak memandu dan memimpin masyarakat dengan ilmunya yang disulami dengan taqwa dan iman yang kukuh.

 

 

Akhukum fillah,

SS Datuk  Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

13 Januari 2015 bersamaan 23 Rabiul Awal 1436 

 


Cetak   Emel