اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM PRA TEMUDUGA PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN SIRI 2/2026

LABUAN, 12 Ogos (Rabu) – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan telah menganjurkan Program Pra Temuduga Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Siri 2/2026 yang berlangsung dengan jayanya hari ini. Program ini menjadi wadah penting bagi calon pemegang tauliah untuk memperkukuh persediaan sebelum menghadiri sesi temuduga rasmi.

Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Mohd Aizam bin Mas'od, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan. Dalam ucapannya, beliau menyentuh bahawa dasar bagi kata tauliah berasal daripada perkataan Arab walla, yuwalli dan masdar tauliah. Istilah ini membawa maksud wakil, amanah dan izin. Beliau juga menegaskan bahawa pemegang tauliah bukan sahaja diberi keizinan untuk mengajar, tetapi juga merupakan “duta” Jabatan Mufti yang membawa amanah besar dalam menyampaikan ilmu, sekaligus berperanan sebagai wakil yang menjaga kesahihan ilmu agama.

Program diteruskan dengan pengisian ilmiah melalui dua slot utama. Slot pertama bertajuk Ibadah yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mohd Omar bin Sullahaji, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan. Seterusnya, slot kedua bertajuk Tajwid al-Quran yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mohd Najeeb bin Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan. Kedua-dua slot ini memberi pendedahan awal kepada calon pemegang tauliah mengenai aspek ibadah dan penguasaan bacaan al-Quran sebagai asas penting dalam membimbing masyarakat.

Program ini telah berjaya memperkukuh keyakinan dan kompetensi calon pemegang tauliah dalam mengajar agama Islam di Labuan. Penganjuran siri kedua ini membuktikan komitmen Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan dalam melahirkan tenaga pengajar berwibawa dan berintegriti, selaras dengan aspirasi jabatan untuk memastikan penyampaian ilmu agama Islam terus terpelihara dan dihormati.