اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNG HORMAT JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN CAWANGAN LABUAN KE PEJABAT MUFTI NEGERI SABAH

𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐍𝐀𝐁𝐀𝐋𝐔, 𝟐𝟑 𝐎𝐤𝐭𝐨𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟔 – Delegasi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) Cawangan Labuan telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Mufti Negeri Sabah bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan hal ehwal agama Islam serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua institusi.

Delegasi tersebut diketuai oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan, Sahibus Samahah Dr. Mohd Aizam bin Mas’od, dan disambut oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz (Dr.) Haji Bungsu @ Aziz bin Haji Jaafar, bersama-sama pegawai Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Pertemuan ini menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan hal ehwal Islam, khususnya dalam menangani isu-isu agama semasa yang melibatkan masyarakat setempat. Perbincangan turut menyentuh pendekatan yang bersesuaian dalam mendepani cabaran semasa serta usaha memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Borneo.

Selain itu, kunjung hormat ini turut membuka ruang kepada pengukuhan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam aspek penyelidikan hukum syarak, pengurusan kefatwaan dan pentauliahan.

Diharapkan kunjung hormat ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi serta menyumbang kepada usaha pemerkasaan penyebaran dan pengembangan syiar Islam demi kemaslahatan dan kesejahteraan ummah.