اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

PENYERTAAN TIMBALAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN DALAM IFTA 2026 LABUAN

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Mohd Aizam bin Mas’od telah diberi kepercayaan mewakili Mufti Wilayah Persekutuan menyertai Daurah International Fatwa Advancement (iFTA) 2026 pada 1 hingga 8 November 2026 di Mövenpick Hotel Amman, Jordan. Program anjuran Bank Rakyat dan Maybank Islamic dengan kerjasama Dairatul Ifta' al-'Am Jordan ini bertujuan memperkukuh penguasaan ilmu, kemahiran penyelidikan dan metodologi pengeluaran fatwa.

Pengisian program meliputi metodologi pengeluaran fatwa, hubungan usul fiqh dengan ketepatan fatwa, kaedah pembinaan fatwa, tahqiq al-manat, kemahiran memahami teks fiqh, perbahasan pertentangan dalil dan pentarjihan, maqasid syariah, pertimbangan kesan pelaksanaan fatwa, serta adab dan etika kefatwaan. Program turut memfokuskan teras kefatwaan muamalat, antaranya metodologi kejuruteraan kewangan Islam, prinsip asas muamalat yang dibatasi larangan riba, gharar dan judi, aplikasi kontrak bai' al-'inah, tawarruq dan murabahah, takaful, isu penukaran kontrak serta prinsip inovasi kewangan yang menepati syariah.

Sepanjang kursus berlangsung, delegasi kursus turut dibawa mengunjungi pejabat Dairatul Ifta' al-'Am Jordan bagi melihat lebih dekat pengurusan dan pelaksanaan amalan kefatwaan di Jordan di samping bertemu Mufti Besar Kerajaan Hashemite Jordan, Prof. Dr. Ahmad Ibrahim al-Hasanat.

Penyertaan ini memberi manfaat yang amat signifikan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, antaranya pemantapan metodologi fatwa dalam menangani isu muamalat kewangan Islam semasa, pengukuhan budaya penyelidikan hukum, peluasan jaringan kerjasama keilmuan antarabangsa dan peningkatan kompetensi pegawai dalam bidang kefatwaan.

Kesimpulannya, penyertaan ini mencerminkan komitmen Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan memperkukuhkan penyampaian khidmat kefatwaan yang teliti dan proaktif, berwibawa dan dekat dengan keperluan masyarakat, khususnya dalam konteks di Labuan.