KOTA KINABALU, 22 Julai 2026 - Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah mengadakan Ziarah Mahabbah ke Pejabat Mufti Negeri Sabah. Ziarah Mahabbah ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi mufti.
Deligasi JMWP diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan. Turut serta dalam delegasi ialah YBhg. Datin Najibah binti Abdul Mutalib; Ketua Penolong Mufti, YBrs. Encik Muhammad Imran bin Ibrahim; Penolong Mufti Kanan Unit Istinbat serta tiga orang pegawai JMWP.
Delegasi JMWP telah disambut oleh Sahibus Samahah Datuk Ustaz (Dr.) Haji Bungsu @ Aziz bin Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah serta warga kerja Pejabat Mufti Negeri Sabah.
Pertemuan ini turut berbincang berkaitan pengalaman serta pendekatan kedua-dua pejabat mufti dalam menguruskan isu-isu kefatwaan. Antara perkara yang dibahaskan ialah pandangan dan pendekatan Pejabat Mufti Negeri Sabah terhadap beberapa isu semasa yang mengambil kira realiti masyarakat di Sabah yang mempunyai latar belakang sosial, budaya dan demografi yang berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia. Perbincangan ini membuka ruang pertukaran pandangan dalam memastikan penyelesaian hukum yang dikemukakan sentiasa bersifat praktikal, berlandaskan syarak serta menepati waqi' setempat.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah atas sambutan mesra serta kesudian menerima kunjungan delegasi JMWP. Semoga jalinan ukhuwah dan kerjasama yang terjalin ini terus diperkukuh demi manfaat institusi kefatwaan dan kesejahteraan ummah.