PUTRAJAYA, 13 Ogos 2026 (Khamis) – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengadakan lawatan kerja ke Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) yang diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, serta diiringi oleh Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Unit Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Lawatan ini telah disambut oleh para pegawai daripada Bahagian Latihan, Akademi Kehakiman Syariah Malaysia yang diketuai oleh YBrs. Tuan Mohd Azizuddin bin Abdullah Halim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, Akademi Kehakiman Syariah Malaysia.
Lawatan ini bertujuan mendapatkan pendedahan berkaitan penubuhan, fungsi dan pengoperasian AKSM, di samping bertukar pandangan serta pengalaman dalam aspek pembangunan dan pengurusan institusi.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Mohd Azizuddin dan diikuti dengan ucapan balas serta hasrat lawatan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin. Program turut diisi dengan sesi pembentangan, taklimat dan perbincangan berkaitan sejarah penubuhan serta fungsi pengoperasian AKSM, diikuti dengan lawatan ke tempat-tempat berkaitan, pertukaran cenderamata dan sesi bergambar.
Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi peluang kepada JMWP untuk memperoleh pengetahuan serta bertukar pandangan dan amalan terbaik bersama AKSM, di samping membuka ruang kepada kerjasama strategik pada masa akan datang.