KANGAR, 24 Ogos 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menghadiri Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid dan Surau Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Dalam multaqa tersebut, Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan telah menyampaikan forum yang bertajuk “Fiqh Kepimpinan Masjid: Mengurus Amanah, Menyatukan Jemaah” yang mengetengahkan aspek kepimpinan, pengurusan amanah serta peranan masjid dalam menyatukan masyarakat.
Dalam forum tersebut, Sahibus Samahah menekankan bahawa pengurusan masjid yang cemerlang bukan sahaja bergantung kepada aspek pentadbiran dan pengimarahan, malah turut menuntut kepimpinan yang berintegriti, kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan serta keupayaan membina hubungan yang baik dalam kalangan ahli kariah. Pendekatan tersebut penting bagi memastikan institusi masjid terus menjadi pusat penyatuan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Multaqa ini telah diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Turut hadir ialah Yang Amat Berhormat Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis serta Sahibus Samahah Profesor Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (JAIPs) atas jemputan dan penganjuran multaqa ini. Semoga perkongsian ilmu dan pengalaman yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada seluruh warga pengurusan masjid dan surau dalam memperkukuh peranan institusi masjid sebagai wadah penyatuan ummah serta pemerkasaan masyarakat.