اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

UNDANGAN TAUSIYAH ILMU SEMPENA MAULIDUR RASUL 1448H

BANDAR BUKIT RAJA, 25 Ogos 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menyampaikan Tausiyah Ilmu Sempena Maulidur Rasul 1448H dalam program Karnival Imarah Masjid BBR 2026 yang berlangsung di Masjid Bandar Bukit Raja.

Tausiyah yang diadakan selepas solat Isyak itu menekankan kepentingan menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menghayati sirah, sunnah dan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.

Dalam tausiyah tersebut, Sahibus Samahah menyeru agar setiap rumah mempunyai mini perpustakaan yang menghimpunkan karya berkaitan sirah Rasulullah SAW. Usaha ini dapat membudayakan pembacaan dalam keluarga serta memberi ruang kepada anak-anak untuk mengenali dan mendalami sirah serta keperibadian Baginda.

Sahibus Samahah turut menggalakkan masyarakat memulakan amalan dengan perkara yang mudah dan dilakukan secara konsisten, termasuk membaca surah-surah yang mudah dalam solat serta membudayakan solat berjemaah sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membentuk disiplin kehidupan.

Tausiyah berkenaan dikendalikan oleh Ustaz Amiro Safwan bin Mohd Kamil selaku moderator dan turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Zainizam bin Esa, Nazir Masjid Bandar Bukit Raja, serta masyarakat setempat.

Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan kecintaan masyarakat kepada Rasulullah SAW serta menjadikan sirah, sunnah dan akhlak Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan.