اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM MAWLID AKBAR SEMPENA MAJLIS TADABBUR MUSHAF MALAYSIA MADANI PERINGKAT KEBANGSAAN

PULAU PINANG, 28 Ogos 2026 – Program Mawlid Akbar Sempena Majlis Tadabbur Mushaf Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan telah berlangsung dengan penuh penghayatan, menghimpunkan para tetamu kehormat serta masyarakat dalam menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menghayati kandungan al-Quran.

Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Anuar bin Ibrahim, Perdana Menteri, serta turut dihadiri oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Prof. Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Program turut menampilkan Tuan Guru Syeikh Haji Wazir Al-Makki; Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Tuan Guru Abdul Rahim Pendang; Pengasas Pondok Sungai Jagung Pendang dan Sahibus Samahah Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Sukki bin Othman, Mufti Kerajaan Pulau Pinang sebagai pentausiah.

Pengisian program turut menekankan nilai Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin, iaitu membawa rahmat, kesejahteraan dan kebaikan kepada seluruh umat manusia. Penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah SAW serta tadabbur al-Quran diharap dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui nilai kasih sayang, perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati dalam masyarakat.

Turut hadir ialah Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, bersama para tetamu kehormat dan jemputan.

Penganjuran program ini menjadi wadah dalam memperkukuh kecintaan terhadap Rasulullah SAW, menyemarakkan penghayatan terhadap al-Quran serta memperkasakan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam yang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam.