MESIR, 2 September 2026 – Persidangan Fatwa Antarabangsa Kali Ke-11 turut mengetengahkan perbincangan berkaitan “Penyelesaian Fatwa dalam Isu Keluarga: Meneladani Sunnah & Memelihara Fitrah” yang menekankan kepentingan pengukuhan institusi keluarga berteraskan syariat Islam.
Dalam persidangan tersebut, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk “الحلول الإفتائية في القضايا الأسرية” (Penyelesaian Berasaskan Fatwa dalam Isu-Isu Kekeluargaan) yang mengupas pendekatan dan penyelesaian fatwa terhadap pelbagai persoalan kekeluargaan berdasarkan prinsip syariah serta realiti semasa.
Perbincangan menekankan bahawa perkahwinan merupakan satu ibadah yang bertujuan membina kehidupan berasaskan sakinah, mawaddah dan rahmah, selain menyeru pasangan agar saling bekerjasama serta mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga.
Turut ditekankan kepentingan memahami konsep qiwamah sebagai amanah dan tanggungjawab lelaki dalam memimpin, melindungi serta menyediakan nafkah, bukannya sebagai ruang untuk menindas pasangan. Dalam masa yang sama, peranan wanita dalam membina keluarga dan mendidik anak-anak perlu dihargai berdasarkan prinsip saling melengkapi.
Persidangan turut menegaskan bahawa institusi fatwa perlu memainkan peranan dalam menangani isu dan cabaran keluarga semasa dengan mengambil kira fiqh al-waqi‘, di samping menolak sebarang bentuk penindasan, perselisihan berasaskan kewangan serta penyalahgunaan agama dalam konflik rumah tangga.
Kesimpulannya, penyelesaian isu keluarga perlu berpaksikan teladan Rasulullah SAW dan pemeliharaan fitrah, agar institusi keluarga terus menjadi asas pembentukan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan diredai Allah SWT.