PUTRAJAYA, 7 September 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerima kunjungan hormat daripada Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS) yang diketuai oleh Pengarah INHAD, Ustaz Abdul Hadi Awang.
Kunjungan tersebut turut disambut oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, sebagai wadah memperkukuh hubungan serta jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Kunjungan ini bertujuan memperkenalkan peranan, fungsi serta kepakaran INHAD dalam bidang penyelidikan, pengajian, pendidikan dan penerbitan berkaitan hadis dan akidah, di samping memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi dalam usaha memperkasa bidang keilmuan Islam.
Pertemuan turut menjadi platform untuk meneroka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, seminar, wacana ilmiah, penerbitan, latihan, pengembangan ilmu serta program kesedaran masyarakat.
Kerjasama yang dicadangkan ini diharap dapat membuka ruang perkongsian kepakaran dan sumber ilmu antara Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan INHAD UIS, khususnya dalam memperluas penyampaian ilmu hadis dan akidah yang berautoriti serta berteraskan sumber yang sahih.
Kunjungan ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk membina dan memperkukuh hubungan strategik secara berterusan dalam mendepani keperluan semasa masyarakat, khususnya melalui penyebaran ilmu Islam yang tepat, sahih dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.