اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

UNDANGAN CERAMAH KHAS SEMPENA MAULIDUR RASUL: “BENTENG FITNAH AKHIR ZAMAN”

KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil; Mufti Wilayah Persekutuan telah dijemput menyampaikan Ceramah Khas sempena Maulidur Rasul bertajuk “Benteng Fitnah Akhir Zaman”.

Dalam ceramah tersebut, Sahibus Samahah menekankan bahawa penghayatan terhadap sirah, sunnah dan akhlak Rasulullah SAW merupakan antara benteng utama dalam menghadapi pelbagai fitnah dan cabaran akhir zaman. Umat Islam diseru agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dalam kehidupan seharian.

Sahibus Samahah turut mengingatkan masyarakat tentang kepentingan memperkukuh iman dan ilmu agama serta berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah bagi memastikan umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai fahaman dan perkara yang boleh menjejaskan akidah serta akhlak.

Dalam mendepani cabaran semasa, masyarakat juga diseru agar berwaspada terhadap penyebaran fitnah, berita palsu dan maklumat tidak sahih, khususnya melalui media sosial. Amalan tabayyun dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan perlu diberi perhatian bagi memelihara keharmonian masyarakat.

Program ini turut menjadi wadah menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul, di samping mengajak masyarakat membina benteng diri dan keluarga dengan iman, ilmu serta akhlak yang berpandukan sunnah Baginda SAW.