PUTRAJAYA, 13 September 2026 – Majlis Perasmian Turath Islami Malaysia 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah sebagai wadah memperkukuh penghayatan terhadap khazanah keilmuan Islam serta tradisi turath dalam kalangan masyarakat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan karya dan warisan keilmuan Islam serta memastikan khazanah turath terus dipelajari, difahami dan dimanfaatkan dalam mendepani keperluan semasa.
Majlis turut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam ucapan tersebut, Sahibus Samahah menekankan kepentingan ilmu turath sebagai asas pembentukan kefahaman Islam yang kukuh, di samping menjadi panduan dalam membina masyarakat yang berilmu, beradab dan berpaksikan tradisi keilmuan Islam.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, yang memberikan sokongan terhadap usaha memperkasa warisan keilmuan Islam dan pengembangan budaya ilmu dalam masyarakat.
Turut menjadi pengisian utama ialah Tausiah Perdana oleh Ustaz Wadi Anuar bertajuk “Erti Kebahagiaan dengan Mengenal Allah”. Tausiah tersebut mengajak masyarakat memahami hakikat kebahagiaan yang sebenar melalui pengenalan dan hubungan yang dekat dengan Allah SWT, di samping menjadikan ilmu dan penghayatan agama sebagai panduan dalam kehidupan.
Penganjuran Turath Islami Malaysia 2026 diharapkan dapat menjadi platform yang menyuburkan budaya ilmu, memperkenalkan karya-karya turath kepada generasi semasa serta memperkukuh kesinambungan tradisi keilmuan Islam di Malaysia berteraskan kefahaman yang sahih, wasatiyyah dan penuh rahmah.