اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BENGKEL FIQH DARAH WANITA

PUTRAJAYA, 19 Oktober 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) melalui Unit Latihan dan Integriti telah menganjurkan Bengkel Fiqh Darah Wanita bertempat di Bilik Seminar Al-Bayyinah, Kompleks Islam Putrajaya. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.

Program ini menghimpunkan 50 peserta daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pemegang tauliah mengajar agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Bengkel turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi JMWP.

Bengkel ini menampilkan YBrs. Dr. Shamsiah binti Mohamad, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji-JAKIM, yang mengupas hukum-hakam haid, istihadah dan nifas. Penganjurannya mencerminkan komitmen JMWP dalam memperkukuh kefahaman asatizah berkaitan fiqh darah wanita.

Di akhir bengkel, penyampaian cenderamata kepada penceramah telah disempurnakan oleh Puan Naimah binti Mohamad Nasir, Ketua Unit Latihan dan Integriti JMWP. Penghargaan turut diberikan kepada penceramah, peserta serta urus setia daripada Unit Latihan dan Integriti, Unit Komunikasi Korporat dan Bahagian Penerbitan atas kerjasama menjayakan bengkel ini.

Semoga bengkel ini menjadi platform perkongsian ilmu yang bermanfaat dalam memperkukuh kefahaman asatizah serta meningkatkan keupayaan mereka membimbing masyarakat berkaitan hukum-hakam fiqh darah wanita.