اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

SAHIBUS SAMAHAH MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN SEBAGAI MODERATOR MUZAKARAH PENASIHAT SYARIAH KEWANGAN ISLAM KALI KE-19

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah memenuhi undangan sebagai moderator bagi Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam Kali Ke-19 yang berlangsung di Hotel The Royal Chulan.

Dalam muzakarah tersebut, Sahibus Samahah mengendalikan sesi yang bertajuk “Sukuk Wakalah bil-Khadamat: Struktur, Aplikasi dan Kepatuhan Syariah” yang membincangkan aspek struktur, aplikasi serta pematuhan syariah dalam pelaksanaan instrumen kewangan Islam berkenaan.

Sesi ini menjadi platform perbincangan ilmiah bagi meneliti aspek-aspek berkaitan pelaksanaan sukuk berasaskan prinsip wakalah bil-khadamat, termasuk pertimbangan syariah dalam struktur dan aplikasinya dalam industri kewangan Islam. Perbincangan ini turut membuka ruang perkongsian pandangan dan kepakaran dalam kalangan penasihat syariah serta pihak berkepentingan.

Penglibatan Sahibus Samahah sebagai moderator mencerminkan komitmen Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam menyumbang kepada wacana ilmu dan memperkukuh kefahaman terhadap prinsip syariah dalam industri kewangan Islam, selaras dengan usaha memartabatkan sistem kewangan yang berlandaskan hukum syarak.