اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 11/2025: KALIMAH TAYYIBAH ASAS PERUBAHAN UMMAH

TintaMufti.jpg

 

TINTA MUFTI – KALIMAH TAYYIBAH ASAS PERUBAHAN UMMAH

Konsep Kalimah Tayyibah merujuk kepada pendekatan Islam yang membawa umatnya kepada perkataan dan ucapan yang baik dan sopan. Islam menganjurkan umatnya agar menjaga lisan dan ucapannya serta berfikir sejenak ketika membuat kenyataan agar dapat memberi kebaikan dalam ucapan tersebut. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Riwayat Muslim)

Konsep “Kalimah Tayyibah” yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar mampu melahirkan semula masyarakat yang berakhlak dan berbudi bahasa serta berkeperibadian yang tiggi selaras dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda SAW. Negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang menerima hak bersuara. Namun akhlak dan adab hendaklah dijaga dan dijunjung sebagaimana Firman Allah SWT:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: “Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik”.

(Surah al-Baqarah: 83)

Konsep Kalimah Tayyibah juga dilihat mampu mengubah keadaan daripada perpecahan kepada pendamaian. Ucapan dan diplomasi yang baik mampu meredakan konflik dan membuka ruang kepada perpaduan. Firman Allah SWT:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”

(Surah al-Isra, 53)

Konsep ini juga dapat membimbing masyarakat dalam membina nilai diri dengan penuh amanah dan bertanggungjawab agar mampu mengubah kehidupan daripada kemiskinan kepada kekayaan dalam keberkatan dan keredaan Allah SWT. Hal ini sebagaimana Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

(Surah al-A’raf, 96)

Kalimah Tayyibah atau ucapan yang baik boleh memberi kesan dalam merawat kejahilan untuk menjadikan seseorang itu berilmu. Konsep komunikasi yang sopan dan berhikmah dalam mendidik masyarakat dapat menyentuh hati serta membuka jalan keilmuan di samping menghindar daripada kejahilan sebagaimana dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada masyarakat Arab Jahiliyyah. Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

(Surah al-Nahl, 125)

Konsep Kalimah Tayyibah yang bermaksud ucapan atau kata-kata yang baik merupakan asas kepada pembentukan akhlak mulia, masyarakat berilmu dan negara yang sejahtera. Perkataan yang baik mampu mengubah pelbagai aspek kehidupan iaitu daripada perpecahan kepada pendamaian, daripada kemiskinan kepada kekayaan dan daripada kejahilan kepada keilmuan.

Islam meletakkan ucapan sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dikawal dengan hikmah dan adab. Umat Islam dituntut untuk menjaga lisan dengan memilih kata-kata yang bermanfaat dan menjauhi tutur kata yang kasar serta memecahbelahkan. Prinsip ini bukan sahaja menyumbang kepada keharmonian masyarakat, malah membuka pintu keberkatan dan kemajuan.

Melalui dalil-dalil al-Quran dan hadis yang dikemukakan, jelas bahawa komunikasi yang baik dan sopan adalah asas kepada dakwah yang berkesan, pembinaan sahsiah dan kemakmuran sesebuah masyarakat. Justeru, gagasan Kalimah Tayyibah yang diketengahkan oleh pihak berautoriti agama negara adalah satu usaha murni ke arah membentuk masyarakat yang beradab, bersatu dan bertanggungjawab selaras dengan ajaran Rasulullah SAW.

Wallahu’alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
29 MUHARAM 1447H / 25 JULAI 2025