KENAIKAN GAJI SEBAGAI SALAH SATU USAHA KERAJAAN KE ARAH KEMAKMURAN RAKYAT DAN PELAKSANAAN TUNTUTAN SYARIAT
Pendapatan gaji merupakan sumber kewangan bagi kebanyakan individu pada masa kini. Ia bukan sahaja menjadi asas dalam memenuhi keperluan harian seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian, malah turut menentukan tahap kesejahteraan hidup seseorang. Justeru, kepentingan pendapatan gaji dalam kehidupan manusia tidak dapat dinafikan, khususnya dalam era ekonomi yang semakin mencabar. Dalam hal ini, kerajaan bertanggungjawab memastikan struktur gaji sentiasa relevan dengan kos sara hidup semasa dan selaras dengan prinsip keadilan ekonomi yang dituntut oleh syariat Islam.
Seiring dengan itu, dalam memastikan kelestarian hidup manusia sentiasa terpelihara, maka syariat bukan hanya menuntut untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai penghambaan diri kepada Allah SWT melalui ibadah, tetapi syarak juga menuntut untuk memakmurkan dan memastikan kesejahteraan manusia sentiasa terjamin. Justeru Islam menekankan aspek pemeliharaan harta (ḥifẓ al-māl) sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara adil dan beretika, berpandukan kepada kehendak syarak. Lantaran itu, antara tanggungjawab sebagai manusia di muka bumi juga adalah untuk memakmurkan bumi dan penduduknya, seperti firman Allah SWT:
هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
Maksudnya: “....Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya...”.
[Surah Hūd, 61]
Sebagai salah satu daripada penjagaan syarak terhadap kesejahteraan manusia dan harta, syarak melarang segala bentuk perbuatan yang mengambil hak manusia tanpa kebenaran syarak. Oleh kerana itu, syarak menetapkan pelbagai hukum dan peraturan bagi memastikan harta diperoleh melalui jalan yang halal, dibelanjakan pada perkara yang bermanfaat, serta dilindungi daripada pencerobohan dan penyalahgunaan. Hal ini jelas dapat dilihat dalam firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...”.
[Surah al-Nisā’, 29]
Hal ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja mengiktiraf kepentingan harta, tetapi juga meletakkannya sebagai salah satu asas utama dalam pembinaan masyarakat yang adil dan bertamadun. Dengan seimbangnya antara neraca mencari akhirat melalui ibadah dan memakmurkan dunia melalui aktiviti-aktiviti yang tidak bercanggah dengan syarak, maka kehidupan individu tersebut pastinya akan berada dalam keadaan sejahtera di dunia dan juga akhirat.
Penekanan Syarak Terhadap Aspek Pembayaran Gaji dan Upah
Bagi memastikan kesejahteraan manusia sentiasa terpelihara, syarak menuntut agar setiap individu diberikan hak yang sewajarnya, dan segala bentuk pencabulan terhadap hak tersebut dianggap sebagai suatu kezaliman. Sehubungan itu, syarak menuntut setiap majikan membayar upah dan gaji yang selayaknya kepada para pekerja, bahkan dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT memusuhi majikan yang tidak memberikan hak secukupnya kepada mereka di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW:
قالَ اللَّهُ: ثَلاثَةٌ أنا خَصْمُهُمْ يَومَ القِيامَةِ: رَجُلٌ أعْطَى بي ثُمَّ غَدَرَ، ورَجُلٌ باعَ حُرًّا فأكَلَ ثَمَنَهُ، ورَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أجِيرًا فاسْتَوْفَى منه ولم يُعطِه أجرَه
Maksudnya: “Allah berfirman: “Tiga golongan yang Aku akan menjadi musuh mereka pada hari kiamat: (Pertama) seorang lelaki yang berjanji dengan nama-Ku kemudian dia mengkhianatinya; (Kedua) seorang lelaki yang menjual orang merdeka lalu memakan hasil jualannya; dan (Ketiga) seorang lelaki yang mengambil khidmat seorang pekerja, lalu setelah mendapatkan hasil kerjanya, dia tidak membayar upahnya”.
[Riwayat al-Bukhāri]
Oleh kerana itu, isu pembayaran gaji dan upah tidak seharusnya dipandang ringan. Kegagalan majikan untuk menunaikan bayaran gaji kepada pekerja merupakan perbuatan yang dilarang dalam Islam. Lantaran itu, setiap majikan sewajarnya menyedari bahawa pembayaran gaji dan upah adalah merupakan tanggungjawab penting dalam memberikan hak kepada para pekerja. Kegagalan dalam melaksanakan kewajipan ini bukan sahaja boleh mengundang tindakan undang-undang di dunia, bahkan turut membawa ancaman azab yang dahsyat di akhirat kelak.
Kerajaan Malaysia Dan Usaha Peningkatan Kadar Gaji
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa usaha ke arah kenaikan gaji dalam rangka untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merapatkan jurang pendapatan antaranya dengan meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan bermula 1 Februari 2025 dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.[1]
Dengan lebih daripada 250 ribu pekerjaan baharu yang diwujudkan sepanjang tahun 2023 dan 2024, paras pengangguran yang dahulunya pada tahun 2022 dicatatkan sebanyak 3.9% kini pada Mei 2025 paras pengangguran mencatatkan penurunan kepada 3%.[2] Statistik ini antara lain menunjukkan bahawa terdapat perkembangan yang positif pada aspek peningkatan peluang pekerjaan yang dinikmati oleh rakyat secara umumnya.
Selain itu, Kerajaan juga telah melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang melibatkan peningkatan gaji asas dan penambahan elaun. Melalui SSPA, struktur gaji penjawat awam telah ditambahbaik dengan pelarasan gaji sebanyak 15% yang diberikan secara berfasa, bermula dengan peningkatan 8%, atau minimum RM240 pada 1 Disember 2024.[3]
Langkah kenaikan gaji ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup rakyat, malah turut berperanan dalam mencegah rasuah, sebagaimana yang dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz. Walaupun langkah ini belum mampu menoktahkan kemiskinan secara keseluruhan dan jurang pendapatan masih melebar, namun sekurang-kurangnya ia wajar untuk dihargai agar Kerajaan terus komited bagi memastikan aspek kesejahteraan rakyat menjadi agenda yang akan diutamakan dalam setiap polisi dan dasar kerajaan sesuai dengan kaedah fiqh yang menyebut:[4]
تَصَرُّفُ الِإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ باِلمصْلَحَةِ
Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat”.
Oleh itu, segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan masyarakat diterima dengan baik. Walaupun masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan, maka sewajarnya sebagai rakyat untuk bersatu padu dan bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan keharmonian dan kesejahteraan negara.
Kesimpulan
Sebagai penutup, berikut adalah rangkuman utama yang boleh diambil sebagai kesimpulan:
- Adalah perlu menyeimbangkan antara neraca mencari akhirat melalui ibadah dan neraca memakmurkan dunia melalui aktiviti-aktiviti yang tidak bercanggah dengan syarak.
- Pembayaran gaji dan upah adalah merupakan satu tanggungjawab oleh majikan dan merupakan tuntutan syarak yang wajib dilaksanakan.
- Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan dalam menaikkan kadar gaji minimum dan pelarasan gaji adalah merupakan satu usaha yang baik dan selari dengan tuntutan syarak serta maqasid ‘umrān (pembangunan).
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Ucapan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, 23 Julai 2025, hlm. 4.
[2] Ibid.
[3] Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024, Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Awam, hlm. 40.
[4] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Sayutiy (1983), al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 121.