اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 49/2025: MEMELIHARA KEMULIAAN KONSEP HALAL DALAM KERANGKA KEHARMONIAN: PANDUAN SYARAK TERHADAP DEKORASI PREMIS BERSIJIL HALAL

TintaMufti.jpg

MEMELIHARA KEMULIAAN KONSEP HALAL DALAM KERANGKA KEHARMONIAN: PANDUAN SYARAK TERHADAP DEKORASI PREMIS BERSIJIL HALAL

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari kiamat.

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan isu larangan mendekorasi berbentuk keagamaan di premis yang memegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Sehubungan dengan itu, penulisan Tinta Mufti pada kali ini diharapkan dapat memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai kepentingan pengambilan makanan halal lagi tayyib dalam kalangan umat Islam.

Masyarakat Islam amat menitikberatkan status halal dan haram dalam pemilihan makanan serta minuman. Mencari dan memastikan yang halal merupakan suatu kewajipan bagi setiap individu Muslim sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Mukminun: 51)

Isu dekorasi premis sempena sambutan perayaan Krismas perlu dilihat dari sudut hukum syarak terutamanya berkaitan penglibatan orang Islam dalam sesuatu perayaan bukan Islam agar tidak melanggar batasan yang ditetapkan oleh syarak. Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam antaranya adalah larangan menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

Lantaran itu, penglibatan umat Islam dalam aktiviti tersebut adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan tasyabbuh yang dilarang oleh syariat Islam. Walau bagaimanapun, agama Islam tetap menggalakkan hubungan baik dan sikap toleransi dengan penganut agama lain dalam urusan sosial dan kemanusiaan selagi tidak melibatkan unsur keagamaan. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud

Sebagai industri yang memegang SPHM, mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib adalah satu kewajipan. Hal ini kerana ketetapan dan urus tadbir daripada pemerintah atau pihak berwajib adalah berlandaskan kepada maslahah sebagaimana kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ ‌الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Pengurusan hal ehwal rakyat oleh pemimpin berteraskan kepada maslahat.”

Dalam masa yang sama, keharmonian antara kaum juga tidak boleh diketepikan bagi mengaplikasikan maqasid umran iaitu mematuhi undang-undang dan menjaga kesejahteraan masyarakat berbilang kaum. Perlu difahami bahawa penegasan dalam isu-isu berkaitan halal sama sekali tidak berkaitan dengan unsur perkauman mahupun penindasan. Sebaliknya, antara maqasid di sebalik pensyariatan halal dalam Islam bertujuan memelihara identiti umat Islam menerusi nilai jati diri dan kemuliaan daripada perkara-perkara yang haram serta meragukan.

Di samping itu, pendekatan berasaskan prinsip maqasid tadayyun juga perlu diambil kira terutamanya dalam memastikan keterjaminan makanan berstatuskan halal lagi tayyib yang merupakan tuntutan syarak. Oleh yang demikian, diinasihatkan kepada para pemegang SPHM agar sentiasa merujuk kepada pihak berwajib bagi mendapatkan penjelasan dan panduan yang tepat dari semasa ke semasa agar dapat mematuhi piawaian halal negara. Pada masa yang sama, isu ini juga menunjukkan bahawa nilai kehormatan terhadap kemuliaan agama perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat selari dengan prinsip “ihtiram al-muqaddasat” dalam syariat Islam.

Hakikatnya, penekanan terhadap konsep halal merupakan manifestasi ketaatan kepada perintah Allah SWT. Ia bukanlah sekadar alat yang bertujuan mengaut keuntungan dunia semata-mata.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
29 JAMADILAKHIR 1447H / 20 DISEMBER 2025