اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 50/2025: ISLAM RAHMAH DAN BERKEMAJUAN SEBAGAI TERAS AMANAH KEPIMPINAN AGAMA DALAM KERANGKA MALAYSIA MADANI

TintaMufti.jpg

Mukadimah

Pelantikan Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu merupakan kesinambungan kepada usaha dan dasar yang telah digerakkan sebelum ini, sekali gus mencerminkan kepercayaan tinggi kepimpinan negara serta membawa nafas baharu ke arah pengukuhan hal ehwal agama dalam era Malaysia MADANI.

Wawancara beliau bersama wartawan Berita Harian memperlihatkan suatu kerangka pemikiran yang matang, berteraskan ilmu, berpaksikan maqasid syariah dan berpandangan jauh dalam mengemudi hal ehwal Islam di negara berbilang kaum dan agama.

Amanah dan Taklif sebagai Beban Tanggungjawab Bukan Kemuliaan

Penegasan Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan bahawa jawatan menteri adalah amanah dan taklif bukan tasyrif, selari dengan tradisi keilmuan Islam yang melihat kekuasaan sebagai tanggungjawab berat di hadapan Allah SWT. Prinsip ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa kepimpinan adalah satu amanah yang akan dipersoalkan pada Hari Akhirat.

Pendekatan ini amat penting bagi memastikan pengurusan hal ehwal agama tidak bersifat simbolik atau retorik semata-mata, sebaliknya berpaksikan keikhlasan, integriti dan keberanian membuat keputusan yang adil serta berhemah.

Menampilkan Wajah Islam Rahmah dan Berkemajuan

Antara intipati utama yang ditekankan ialah usaha menampilkan wajah Islam yang rahmah, progresif dan berkemajuan, bukan Islam yang ekstrem, keras atau bersifat menghukum. Penolakan terhadap budaya takfiri, bidaah membidaahkan dan seumpamanya adalah langkah penting bagi memelihara kesatuan ummah serta keharmonian masyarakat.

Islam tidak boleh dilihat hanya berlegar di ruang ibadah seperti masjid dan surau, tetapi mesti dizahirkan dengan seimbang dalam seluruh dimensi kehidupan sebagai solusi kepada permasalahan masyarakat, agama yang inklusif serta pembina tamadun.

Pendekatan ini sejajar dengan firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ

Maksudnya: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.


Surah al-Baqarah (143)

Persoalan mengenai Islam dimajukan atau kemajuan diislamkan bukanlah wacana baharu dalam pemikiran Islam kontemporari. Almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi telah membahaskan isu ini secara mendalam dalam beberapa karya dan siri pemikirannya tentang kebangkitan Islam. Islam sebagai agama yang sempurna dan bersumberkan wahyu tidak memerlukan untuk dimajukan seolah-olah ia ketinggalan zaman, sebaliknya kemajuanlah yang perlu diislamkan agar selari dengan nilai tauhid, akhlak, keadilan dan maqasid syariah. Kemajuan yang dicapai tanpa panduan wahyu berpotensi melahirkan kerosakan, ketidakadilan dan penindasan terhadap nilai kemanusiaan. Dalam konteks inilah, penegasan YB Menteri berkenaan Islam rahmah dan berkemajuan perlu difahami sebagai usaha mengislamkan kemajuan. Justeru ia dapat memandu pembangunan, teknologi, tadbir urus dan kehidupan moden dengan nilai-nilai Islam yang wasatiy, bersifat ihsan dan selari dengan maqasid.

Tadbir Urus Hal Ehwal Agama, Digitalisasi dan Pencerahan Awam

Fokus terhadap pengukuhan tadbir urus hal ehwal agama di peringkat Persekutuan dan Negeri, serta penekanan kepada pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), menandakan kesediaan institusi agama untuk bergerak seiring dengan perubahan zaman.

Pendekatan data-oriented, value-based, community-oriented dan future-oriented bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan, malah membina kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama sebagai institusi yang relevan, progresif dan berwibawa.

Pencerahan dan pencerdasan masyarakat pula perlu digerakkan secara berterusan agar kefahaman Islam tidak terperangkap dalam kejumudan atau sentimen yang rigid dan sempit.

Keharmonian Masyarakat Majmuk dalam Meneladani Piagam Madinah

Penekanan terhadap konsep ta’aruf, tafahum dan ta‘aqul serta rujukan kepada Piagam Madinah dan pengalaman la convivencia Andalus telah menunjukkan kejelasan hala tuju Islam dalam mengurus kepelbagaian beragama di Malaysia.

Islam mengiktiraf perbezaan sebagai sunnatullah dan meletakkan asas kehidupan bersama secara damai (ta‘ayush silmi), berteraskan ihsan, tasamuh dan saling menghormati. Inilah wajah Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin yang perlu diterjemahkan dalam konteks Malaysia.

Pendekatan Menyeluruh Terhadap Isu Moral dan Sosial

Dalam menangani isu seks songsang, pendekatan yang ditegaskan adalah menyeluruh dan bersepadu, tanpa kompromi terhadap prinsip agama. Namun dalam masa yang sama dilaksanakan dengan hikmah dari sudut pencerahan, kebajikan sosial dan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang.

Ini menggambarkan keseimbangan antara prinsip yang tetap dan fleksibiliti pendekatan (murunah), agar Islam kekal tegas pada nilai, namun santun dalam pelaksanaaan dan pendekataannya.

Institusi Agama sebagai Teladan dan Peneraju Islah

Peranan institusi agama sebagai pendidik masyarakat perlu digerakkan melalui hikmah, mau‘izah hasanah dan dakwah bil hal. Institusi agama bukan sekadar menyampaikan hukum, tetapi menjadi contoh teladan dalam adab berbeza pandangan, budaya nasihat-menasihati dan keadilan sosial.

Latihan berterusan kepada pegawai agama amat penting agar mereka menjadi duta rahmah, bukan agen perpecahan yang menyebabkan keruntuhan sesuatu tamadun.

Penutup

Gagasan dan wawasan yang dijelaskan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini memperlihatkan satu visi kepimpinan agama yang jelas, seimbang dan berpaksikan maqasid syariah. Islam yang diangkat ialah Islam yang membina, menyatukan dan memajukan negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Semoga amanah besar ini dapat digalas dengan taufiq dan hidayah Allah SWT, serta menjadi titik tolak kepada pengukuhan peranan agama sebagai jantung pembinaan peradaban, bukan alat polarisasi masyarakat. Sesungguhnya Allah SWT menyuruh manusia untuk berlaku adil dan berbuat ihsan.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

30 JAMADILAKHIR 1447H / 21 DISEMBER 2025