
IBRAH DI SEBALIK PENCIPTAAN: MEMAKNAI USAHA PEMERKASAAN ZOO NEGARA
Mukadimah
Pengumuman peruntukan tambahan RM5 juta oleh Kerajaan Persekutuan kepada Zoo Negara wajar disambut baik. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen ini ketika lawatan rasmi beliau ke sana. Dana tersebut dikhususkan bagi menampung kos penyelenggaraan dan penambahbaikan fasiliti sedia ada. Tindakan ini menjamin kelangsungan operasi pusat konservasi negara yang ikonik ini.[1]
Peruntukan kewangan tersebut bakal disalurkan kepada aspek pengurusan kritikal. Ia merangkumi penyediaan makanan berkualiti, rawatan kesihatan haiwan dan pembaikan habitat. Bantuan ini amat signifikan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat saban tahun. Kebajikan ‘penghuni’ Zoo Negara kini mendapat jaminan yang lebih kukuh melalui inisiatif ini.[2]
Zoo Negara memegang peranan besar sebagai gedung ilmu dan pusat pemuliharaan hidupan liar. Ia bukan sekadar destinasi pelancongan semata-mata. Infrastruktur yang selamat dan teratur adalah prasyarat utama bagi sesebuah pusat pendidikan zoologi. Penyelenggaraan yang rapi memastikan ekosistem di dalamnya kekal harmoni untuk tatapan generasi akan datang.
Zoo Sebagai Madrasah
Al-Quran mengemukakan pelbagai ayat perumpamaan yang berasaskan haiwan sebagai medium penyampaian bagi menzahirkan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Pendekatan ini bertujuan menggalakkan manusia meneliti, merenung serta bertadabbur terhadap alam ciptaan Allah SWT sebagai sumber pengajaran dan bukti keesaan-Nya. Ini sebagaimana firman Allah SWT:
خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ وَأَلْقَىٰ فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَن تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ
Maksudnya: Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
Surah Luqman (10)
Dr. Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini jelas Allah SWT berkuasa menciptakan pelbagai jenis haiwan di atas muka bumi dengan pelbagai bentuk serta warna yang tidak terhitung banyaknya dan hanya diketahui oleh Penciptanya sahaja. Jelas, ini menggambarkan kebesaran dan kewujudan Allah SWT yang maha Berkuasa ke atas segala makhluk.[3] Tambahan pula, dalam ayat yang lain Allah SWT juga menggunakan perumpamaan haiwan seperti nyamuk, keldai, labah-labah dan sebagainya untuk dijadikan pengajaran bagi seluruh manusia.
Terdapat pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada penciptaan haiwan. Hal ini sehinggakan Imam al-Damiri menyusun sebuah kitab yang diberi nama Hayat al-Hayawan al-Kubra yang menghimpunkan khusus nama-nama haiwan. Dalam kitab ini, beliau mengambil sumber dan maklumat yang menceritakan tentang haiwan daripada karya-karya Yunani, masyarakat arab klasik dan sumber-sumber pada zamannya sehinggakan dapat menghimpunkan pelbagai maklumat tentang haiwan yang sangat luar biasa sama ada dari sudut ayat al-Quran, hadis nabi, hukum-hakam bahkan dari sudut perubatan yang boleh memberi manfaat kepada manusia.
Falsafah dan Tujuan Penciptaan Haiwan
Menurut Imam al-Ghazali, maqasid penciptaan haiwan iaitu maqasid at-taskhir adalah untuk berkhidmat kepada manusia. Penundukan ini dicapai melalui dua cara iaitu dengan reka bentuk psikologi (ketiadaan akal) dan reka bentuk fisiologi (anatomi kaki). Allah SWT mencabut akal daripada haiwan bukan untuk menghina, tetapi sebagai mekanisme keselamatan agar haiwan yang kuat fizikalnya tidak memberontak terhadap manusia.[5] Anggota tubuh haiwan direka khusus mengikut peranan mereka di muka bumi, sama ada untuk berburu atau menanggung beban di tanah kasar.[6]
Selain itu, bagi memenuhi maqasid al-kifayah wa al-baqa' (kecukupan dan kelangsungan hidup), Allah SWT menjamin survival haiwan dengan melengkapkan tubuh mereka dengan 'pakaian' dan 'peralatan' semula jadi secara biologi. Kurniaan anatomi kekal ini adalah ganti kepada ketiadaan kemahiran tangan, membolehkan mereka hidup cukup tanpa perlu mencipta kelengkapan sendiri seperti manusia. Haiwan tidak perlu menjahit atau menukar pakaian kerana perlindungan mereka tumbuh secara biologi, sesuai dengan ketidakupayaan mereka membuat pakaian.[7] Kekurangan pada satu anggota (seperti leher pendek) diganti dengan kelebihan anggota lain (belalai) untuk memastikan haiwan boleh makan dan minum dengan mudah.[8]
Begitu juga dalam aspek maqasid ri'ayah an-nizam (pemeliharaan keteraturan alam), Allah SWT menanamkan naluri secara tertib agar haiwan menyembunyikan diri di tempat tersorok saat ajal menghampiri. Mekanisme semula jadi ini berfungsi menjaga kebersihan ekosistem, memastikan persekitaran kekal harmoni dan tidak tercemar dengan bangkai yang terdedah di merata tempat. Ini adalah mekanisme ‘pembersihan alam’ di mana haiwan secara naluri akan menyembunyikan diri saat ajal tiba.[9]
Sinergi antara ketiga-tiga dimensi maqasid ini menyerlahkan satu matlamat yang tertinggi. Ia bermula dengan maqasid at-taskhir yang berfungsi memudahkan urusan manusia. Seterusnya, maqasid al-kifayah wa al-baqa' berperanan menjamin kelangsungan hidup haiwan. Manakala maqasid ri'ayah al-nizam pula memastikan keseimbangan ekologi terjaga. Segala ketertiban fungsi dan biologi ini akhirnya bertujuan memimpin akal manusia ke arah al-tadabbur. Ia mengajak kita melakukan perenungan mendalam terhadap keagungan Allah SWT sebagai Pentadbir Yang Maha Bijaksana. Dialah yang menyusun atur ekosistem alam semesta ini dengan begitu rapi, harmoni dan sempurna tanpa sebarang kecacatan.
Penutup
Inisiatif kerajaan menyalurkan dana RM5 juta kepada Zoo Negara wajar disokong sepenuhnya. Langkah ini menepati prinsip ihsan terhadap haiwan yang dituntut agama. Penyelenggaraan habitat yang kondusif adalah tanggungjawab manusia selaku pentadbir bumi. Bantuan kewangan ini menjamin kelangsungan hidup spesies yang dilindungi. Ia bukan sekadar kos operasi, tetapi satu pelaksanaan amanah moral yang berat.
Zoo Negara perlu dilihat sebagai institusi pendidikan yang kritikal. Ia berfungsi sebagai madrasah terbuka bagi segenap lapisan masyarakat. Pengunjung dapat melihat bukti kebesaran Pencipta melalui kepelbagaian haiwan. Setiap ciri biologi haiwan memamerkan kebijaksanaan penyusunan alam yang rapi. Pemerhatian ini mengajak akal manusia melakukan tadabbur mendalam. Kunjungilah tempat ini untuk mencari pengajaran, bukan sekadar hiburan kosong.
Ekosistem zoo yang terurus mencerminkan ketinggian tamadun sesebuah bangsa. Kebajikan haiwan mesti diutamakan demi menjaga keseimbangan keteraturan alam. Konsep penundukan haiwan menuntut layanan penuh etika daripada manusia. Masyarakat diseru memanfaatkan fasiliti ini dengan penuh kesedaran sivik. Pendidikan awal di sini mampu membentuk generasi yang lebih insaf dan bertanggungjawab.
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
24 REJAB 1447H / 14 JANUARI 2026
[1]"RM5 juta tambahan tambah baik, selenggara Zoo Negara," Utusan Malaysia, 12 Januari 2026, diakses pada 12 Januari 2026, https://www.utusan.com.my/nasional/2026/01/rm5-juta-tambahan-tambah-baik-selenggara-zoo-negara/
[2]"PM umum peruntukan tambahan RM5 juta kepada Zoo Negara," Berita Harian, 12 Januari 2026, diakses pada 12 Januari 2026, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1494845/pm-umum-peruntukan-tambahan-rm5-juta-kepada-zoo-negara
[3] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-munir, (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu’asarah, 1418H) Jld. 21 Hlm. 140.
الدليل على وجود الله وقدرته العظمى وحكمته البالغة: هو خلق السموات بغير أعمدة تستند إليها، وإنما أمسكها الله بقدرته وإرادته وخلق الأرض ذات الجبال الشوامخ الثوابت لئلا تضطرب بأهلها وجعلها ذات أنس بما وزّع فيها من أصناف الحيوان في البر والبحر والجو، ذوات الأشكال المختلفة، والمناظر البديعة، والأصوات المختلفة وإنزال الأمطار عليها لإنبات النباتات البهية المنظر، البديعة التكوين، الكثيرة المنافع، سواء بثمرها إن كانت مثمرة، أو بظلها المريح وخضرتها الممتعة للنظر والمفرحة للنفس، أو بجعلها أسبابا لزيادة المطر.
[4] Muhammad bin Musa bin Isa bin Ali al-Damiri, Hayat al-Hayawan al-Kubra (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1424H) Jld. 1 Hlm. 8
إن الدميري، قد رتّب كتابه على حروف المعجم، وضمنه من أسماء الحيوانات ما تنامى إلى سمعه، ومن مصادر كثيرة ومختلفة تتراوح ما بين كتب يونانية وعربية قديمة أو ما كان قريبا لعهد المؤلف، الذي اطلع على تلك الكتب، المتخصصة في عالم الطب والحيوان، ووعى ما فيها، ونقّحها، وطرح جانبا ما لم يقتنع به، وأقرّ ما رأى عليه إجماعا لدى العلماء، ومع حذره الشديد، فإنه قد أبقى على معلومات كثيرة، غريبة وعجيبة، ولكنه نقلها على ذمة أصحابها وناقليها، فأيّد كل مروياته بإسنادها إلى رواتها، بالتسلسل المعروف وصولا إلى المنشإ الأساس، ولم يفته أن يرد، حيث يقتضي الأمر، على الأغاليط. أما طريقته في عرض المعلومات، فإنه يبدأ بوصف الحيوان، بعد أن يضبط اسمه ضبطا تاما بالشكل، ويعرّف بالأصل اللغوي له، ويقدم بعد ذلك عرضا لبعض الأخبار والمرويات التي تدل على طبائع ذلك الحيوان، وفي هذا الإطار يستحضر طائفة من الأحاديث النبوية الشريفة، والآيات القرآنية الكريمة التي لها علاقة بالموضوع، فضلا عما جاء حوله من أشعار قديمة، وأمثال وحكم. ثم يورد ما قاله الفقهاء في شأن الحيوان المذكور من حيث الحكم الشرعي في أكله أو عدمه، يؤيد ذلك بالأقوال المختلفة، وبأحاديث نبوية وآيات كريمة، وينتهي إلى ذكر الخواص الطبية من المنافع والمضار من لحم ذلك الحيوان أو غيره
[5] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Majmu‘at Rasail al-Imam al-Ghazali, (Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, t.t.), 33. Teks asal:
ثم منعت العقل والذهن حكمة من الله لتذل للإنسان فلا تمتنع عليه إذا أكدها عند حاجته إلى إكدادها في الطحن وحمل الأثقال عليها إلى غير ذلك. وقد علم الله أن بالناس حاجة إلى أعمالها وهم لا يطيقون أعمالها ولا يقدرون عليها، ولو كلف العباد القيام بأعمالها لأجهدهم ذلك واستفرغ قواهم فلا يبقى فيهم فضيلة لعمل شيء من الصناعات والمهن التي يخصون بعملها.
[6] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Majmu‘at Rasail al-Imam al-Ghazali, (Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, t.t.), 33. Teks asal:
واكلات اللحم لما قدر أن يكون عيشها من الصيد ولا تصلح لغيره خلقت لها مخالب وسرعة نهضة وأنياب واكلات النبات لما قدر أن تكون غير ذات صنعة ولا صيد، خلقت لبعضها أظلاف كفتها خشونة الأرض إذا جالت في طلب المرعى ولبعضها حوافر مستديرة ذات قعر كأخمص القدمين لتنطبق على الأرض وتتهيأ للحمل والركوب.
[7] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Majmu‘at Rasail al-Imam al-Ghazali, (Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, t.t.), 35. Teks asal:
ثم انظر كيف كسيت أجساد البهائم الشعر والوبر ليقيها ذلك الحر والبرد وغيره من الآفات ... ولما كانت البهائم لا أذهان لها ولا أكف ولا أصابع تتهيأ للأعمال، كفيت مؤنة ما يضر بها بأن جعلت كسوتها في خلقتها باقية عليها ما بقيت فلا تحتاج إلى استبدال بها ولا تجديد بغيرها بخلاف الآدمي.
[8] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Majmu‘at Rasail al-Imam al-Ghazali, (Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, t.t.), 36. Teks asal:
انظر إلى مشفر الفيل، وما فيه الحكمة والتدبير فإنه يقوم مقام اليد في تناول العلف وإيصاله إلى فمه، فلو لا ذلك ما استطاع أن يتناول شيئا في الأرض إذ لم يجعل له عنق يمده كسائر الأنعام، فلما عدم العنق في هذا الخلق جعل له هذا الخرطوم يمده فيتناول به ما يحتاجه.
[9] Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Majmu‘at Rasail al-Imam al-Ghazali, (Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, t.t.), 35. Teks asal:
انظر فيما ألهم الله البهائم والوحوش في البراري، فإنها تواري أنفسها كما يواري الناس موتاهم فما أحس منها بالموت توارى بنفسه إلى موضع يحتجب فيه حتى يموت وإلا فأين جئت السباع والوحوش وغيرها، فإنك لو طلبت منها شيئا لم تجده وليست قليلة فيخفى أمرها لقلتها ... والذي أجرى الله به عادتها أن تكون في أماكنها، فإذا أحست بالموت أنت إلى مواضعها خفية فتموت فيها.